Pengguna Internet bidas kempen siber BN Permatang Pauh
Sebuah laman Facebook yang ditaja mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan menggesa rakyat Malaysia mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan datang, kini memakan diri apabila pengguna media sosial meninggalkan komen mempersendakan dasar BN itu sendiri.
Laman itu yang dinamakan 'Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh P44' pada 24 April memuatnaik imej Lim dengan kata-kata: "Inilah contoh pemimpin yang berjaya".
Pentadbir laman pula menulis di sebelah gambar itu: "Tahniah buat rakyat Pulau Pinang, Cukuplah... Kami Pulak!"
Bagaimanapun, ramai pengguna Facebook sebaliknya menjawab di ruang komen mengatakan sesetengah daripada dakwaan yang disenaraikan itu menipu dan isu yang dibangkitkan tersebut tidak jauh bezanya dengan apa yang dialami di negeri yang ditadbir BN.
Sofian Hakem menulis: "Aku bukanlah penyokong parti politik. Bukan nak jilat. Aku duk Penang. Tempat aku dulu banjir teruk kalau 1 jam hujan lebat 'confirm' banjir. Sekarang ini takda la pulak banjir dah.
"Masjid pun dah ada 'aircond'. Tempat niaga aku dah dinaik taraf tapi harga tetap kekal RM7.50 sebulan."
Dunia Orina berkata, harga rumah dan cukai pintu meningkat di banyak negeri, "Tak kira siapa pun perintah di mana-mana negeri. Admin, tolong semak dulu sebelum keluarkan statement sengal."
"Ouhhh, Melaka takda rumah urut? Johor takda rumah urut? Cukai tak semakin naik di Johor dan Melaka?" tulis Khairil Rijal Khizhir pula.
Mohd Iskandar Mohd Othman pula berkata: "Tarif air di Johor paling tinggi di Malaysia, admin tak tahu kah? Jangan ingat duduk di negeri BN Melayu boleh senang. Manakah janji BN semasa pilihan raya?"
Pengguna lain mengatakan dosa BN sendiri seperti dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih besar daripada mana-mana kesilapan yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang.
Remy Alamshah malah menyalahkan GST yang diperkenalkan kerajaan persekutuan sebagai menyebabkan cukai naik di Pulau Pinang.
Proton Putra Putri berkata tiada satu pun masalah yang disenaraikan itu sama dengan skandal 1MDB dan dananya yang lesap.
Putra Razif Thesoullok pula menulis: "Nak sokong BN pulak? Tak payah lah. Nanti datang masalah baru."
Wan Paan pula menyindir menyatakan: "Setuju admin. Hanya BN dapat ringankan beban rakyat. Nak tau tak admin? Sekarang ni beli apa jenis barang pun murah. Dulu beli top-up RM10, sekarang RM10.60. Makin murah kan?
"Sebab itu member-member gua makin sayang BN. Hanya BN yg dapat meringankan beban kami semua. Hidup BN!!!!"
Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan calonnya dari PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau memegang kerusi itu 3 kali sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil 1999 dan pilihan raya umum 2004 dan 2008, sebelum suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali ke kancah politik.
Beliau ditentang pendatang baru dari BN, Suhaimi Sabudin, 43, seorang pengarah urusan syarikat pembinaan dari Guar Perahu, Permatang Pauh.
Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,513 pengundi, yang mana 70% daripadanya Melayu dan yang selebihnya terdiri daripada Cina (20%), India (6%) dan lain-lain (4%).
Terdapat 3 kerusi Dewan Undangan Negeri di Permatang Pauh. PKR memegang Penanti dan Seberang Jaya manakala PAS memegang Permatang Pasir.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mengekalkan kerusi itu dengan memperolehi 37,090 undi atau 58,56% daripada jumlah 63,332 undi - majoriti 11,721 undi. -TMI
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.