`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, July 29, 2015

JUGA KERANA 1MDB, PEMECATAN DARIPADA UMNO MENANTI MUHYIDDIN?

Image result for Muhyiddin di pecat

Walaupun sudah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin masih lagi merupakan Timbalan Presiden UMNO sehinggalah pemilihan UMNO yang akan datang.

Oleh kerana pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 telah ditangguhkan selama 18 bulan lagi untuk memberi laluan kepada pengukuhan parti dan pilihanraya ke 14 terlebih dahulu,  ia dijangka hanya akan diadakan pada tahun 2018.

Ini bermakna, meskipun tanpa jawatan dalam kerajaan, Muhyiddin masih lagi merupakan pemimpin nombor dua dalam UMNO sehinggalah tahun 2018  akan datang nanti.

Ia bukan saja bermakna Najib sebagai Presiden UMNO terpaksa duduk bersebelahan dengan Muhyiddin setiap sebulan sekali dalam mesyuarat Majlis Tertinggi parti, malah tidak boleh mengelak daripada duduk bersama di pentas utama ketika Perhimpunan Agung UMNO yang diadakan setiap tahun dengan disaksikan oleh para perwakilan daripada seluruh negara.

Termasuk tahun ini sehinggalah pemilihan 2018 nanti, bermakna sekurang-kurangnya ada empat kali lagi Perhimpunan Agung UMNO yang perlu dilalui secara bersama oleh Najib dan Muhyiddin dan ia sekaligus memberi erti kedua-duanya akan terus dalam dilema "mata berpandangan, budi kedapatan" dalam acara tahunan itu.

Lebih daripada itu, sebagai Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin juga masih perlu menunaikan tanggungjawab merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri pada setiap tahun.

Bagi Muhyiddin, beliau mungkin tiada masalah menghadiri, baik mesyuarat bulanan MT UMNO mahu pun Perhimpunan Agung tahunan parti kerana sebagai orang yang sudah dipecat, itulah peluang untuk terus menampilkan dirinya sambil meraih sisa-sisa simpati daripada mereka yang menyaksikan kehadirannya, tetapi ia tentu saja berlainan bagi Najib.

Setelah menendang timbalannya itu daripada jawatan kerajaan hanya kerana isu 1MDB dan demi menyelamatkan kerusi Perdana Menterinya, Najib barangkali tidak memerlukan lagi Muhyiddin untuk terus berada di sebelahnya dalam apa jua urusan parti selepas ini.

Najib tentu saja lebih selesa untuk duduk, bercakap, senyum mahu pun ketawa dalam mesyuarat, perhimpunan agung atau ataupun apa-apa program parti jika kelibat Muhyiddin tiada lagi di sisinya.

Tambahan lagi, beliau kini sudah ada Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menterinya yang baru. Setelah mengenepikannya daripada kerajaan, Najib juga tidak memerlukan lagi Muhyiddin sebagai orang nombor duanya dalam parti.

Lalu, apa nasib Muhyiddin dalam UMNO sebenarnya meskipun kedudukannya sebagai Timbalan Presiden adalah dipilih dan bukannya dilantik?

Apakah Najib sanggup membiarkan saja Muhyiddin terus berada dalam parti sebagai orang nombor dua sehingga tahun 2018 nanti atau bakal "menendangnya" sekali lagi?

Kebetulan pada Jumaat, 31 Julai ini akan diadakan mesyuarat bulanan MT UMNO. Ia bukan saja akan menjadi mesyuarat MT UMNO yang pertama dihadiri oleh Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO tanpa jawatan dalam kerajaan, bahkan mungkin yang terakhir juga baginya.

Tidak lama selepas dipecat semalam, berlegar desas-desus bahawa ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras pada Ahad lalu sedang dikaji dan dianaliasa oleh pihak tertentu dalam UMNO untuk mencari kemungkinan ia turut melanggar disiplin parti.

Jika tegurannya dalam perasmian itu  berkenaan Perdana Menteri dan 1MDB telah menjadi asas pemecatannya sebagai Timbalan Perdana Menterti, sebenarnya tidak mustahil ia juga boleh dijadikan hujah untuk menuduh Muhyiddin sebagai telah mencemar serta memburuk-burukkan nama baik parti dan juga Presidennya secara terbuka kepada ahli-ahli UMNO sendiri.

Dengan itu, sekiranya usul pemecatan Muhyiddin dibawa dalam mesyuarat MT UMNO Jumaat ini, ia pasti akan diluluskan dengan majoriti yang selesa berikutan "mood" Ahli-Ahli MT ketika ini lebih kepada menunjukkan sokongan terhadap Najib berikutan rombakan kabinet yang baru saja berlaku.

Melalui pemecatan itu nanti, maka tergugurlah jawatan Timbalan Presiden UMNO yang sedang disandang oleh Muhyiddin itu.

Sekiranya tindakan tidak dilakukan terhadap Muhyiddin Jumaat ini, pemecatannya juga sedang menanti selepas ini jika beliau aktif mengeluarkan kenyataan mengenai 1MDB atau turut serta dalam program-program bersama dengan Tun Mahathir Mohamad.

Meskipun Najib sering mengatakan tentang keterbukaan dan sedia dikritik, tetapi beliau pasti tidak akan membiarkan Muhyiddin boleh sebebasnya menyusahkannya atau mengkritiknya dalam menguruskan parti dan kerajaan tanpa mengambil apa-apa tindakan.

Lagi pula, membiarkan Muhyiddin lepas bebas bercakap apa saja sehingga tahun 2018 adalah tindakan yang boleh merugikan dan menyebabkan ketidakselesaan kepada Najib sendiri.

Kecuali ucapannya di Cheras Ahad lalu, Muhyiddin hanya boleh selamat dan mampu bertahan sehingga beliau berundur sendiri pada pemilihan 2018 nanti sekiranya beliau dapat mengawal perasaan dengan berdiam diri dan mengelakkan daripada berkolaborasi sama sekali dengan gerakan Tun Mahathir.

Itu pun jika Muhyiddin sedia memencilkan dirinya dan sanggup  keluar hanya sebulan sekali untuk menghadiri mesyuarat MT UMNO atau setahun sekali untuk Perhimpunan Agung UMNO.

Soalnya, sanggupkah Muhyiddin? (SH).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.