A Kadir Jasin
SAYA tidak mengulas secara khusus skandal pembelian hartanah oleh Majlis AMANAH Rakyat (Mara) di Australia kerana bagi saya ia tidak sedikit pun memeranjatkan.
Lagi pun kes ini masih berjalan dan lebih banyak hal didedahkan. Yang terbaru Pengerusi Mara Incorporated, Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Halim A. Rahim digantung jawatan dan firma audit PWC dilantik bagi menyemak pembelian harta oleh Mara Inc.
Mohammad Lan digantung jawatan |
Selepas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak ada apa lagi yang memeranjatkan, mustahil dan luar biasa. 1MDB mencetuskan piawaian dan tanda aras baru urus niaga dan urus tadbir syarikat dan agensi berkaitan kerajaan.
Ini cerita bapa borek anak rintik. Kata orang Johor, “engkau garuk belakang aku, aku garuk belakang engkau” atau kata orang putih, birds of a feather flock together – burung yang sama bulunya berkumpul bersama.
"Birds of a feather flock together" |
Bukan rahsia lagi. Banyak orang tahu dan lagi banyak dengar apa yang berlaku ketika peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada penghujung tahun 2003.
Mereka tahu dan dengar mengenai fail-fail segar Badan Pencegah Rasuah (SPR/ACA) – kini Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (PSRM/MACC) - yang diserahkan oleh Dr Mahathir kepada Abdullah.
Mereka tahu dan dengar bagaimana kandungan fail-fail itu tidak diambil tindakan sebaliknya digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politik orang tertentu.
Beberapa watak dalam fail-fail ACA itu bukan sahaja tidak didakwa malah diberi habuan lumayan dengan syarat mereka menyokong pentadbiran baru.
Amalan “engkau garuk belakang aku, aku garuk belakang engkau” berterusan ke zaman Mohd Najib Abdul Razak apabila individu-individu yang dihukum dan disingkir oleh Umno pada era Abdullah kerana politik wang kembali dimuliakan dan diberi kuasa luar biasa kerana mereka tahu “what you did last summer”.
Poster "I know what you did last summer" |
Bila bapa borek, logiknya anak rintik. Bila atuk borek, bapa rintik, cucu tentu tidak banya berbeza warna dan coraknya.
Apabila berlaku persepsi dan realiti bahawa orang di atas rasuah maka anak buah pun tidak teragak-agak untuk rasuah juga. Apatah lagi apabila berlaku persekongkolan ala birds of a feather flock together atau macam dalam filem seniman agung P Ramlee Nujum Pak Belalang – “satu untuk engkau, satu untuk aku”.
Jangkitan moral itu menyebabkan rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor awam merebak menjadi sistemik.
Apa yang salah, korup dan seleweng di 1MDB, Felda, FGV, Tabung Haji, LTAT, Pembinaan PFI SRCI adalah lebih dahsyat dan hanyir apabila berlaku di Mara.
Sesiapa yang celik sejarah tentu sedar betapa keramatnya Mara. Lagi keramat apabila kerajaan pimpinan Umno sendiri mengubah nama asalnya kepada Mara dengan kata kuncinya “amanah”. Amanah yang dipegang atas nama rakyat Melayu dan Bumiputera.
Mara Dalam Kontrak Sosial
Mara adalah antara manifestasi terawal kontrak sosial di antara peribumi dan pendatang. Apabila pada tahun 1950-an Inggeris mencuba memujuk Raja-Raja Melayu untuk memberi “kewarganegaraan negeri” kepada pendatang Cina dan India, sebagai ganti British menubuhkan Rida (Rural Industrial Development Authority) untuk memajukan ekonomi dan pendidikan orang Melayu.
Rida/Mara banyak berjasa kepada orang Melayu dan penduduk luar bandar. Ada rumah Rida, kilang Rida, bas Mara dan yang paling unggul pembabitannya dalam bidang pendidikan.
Bas Mara tahun 1960-an |
Malangnya sejak dekad-dekad kebelakangan ini Mara sudah menjadi seolah-olah pusaka keluarga atau “fiefdom” elit politik yang diberi amanah mengurus dan mentadbirnya.
Dalam konteks pendedahan di Australia dan UK sekarang, kita janganlah terlalu yakin bahawa yang bersalah akan dihukum.
Selagi orang yang bertanggungjawab tidak dihadapkan ke mahkamah dan didapati bersalah, kita janganlah terlalu menaruh harapan. Kita sudah terlalu kerap mendengar guruh berdentum tetapi hujan tak jadi.
Mengapa Diam Mengenai Siasatan MAS?
Berkenaan 1MDB saya terfikir, kalau penangkapan Xavier Andre Justo (XAJ) di Thailand menjadi modal besar kepada kerajaan dan penyokong Perdana Menteri, mengapakah Bank Negara berdiam diri mengenai hasil siasatan Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) ke atas simpanan “unit” 1MDB di Singapura?
Mengapa rahsiakan laporan MAS? |
Kalau hasil penyiasatan itu positif kepada 1MDB, mengapakah Bank Negara tidak menguar-uarkannya sebaliknya berselindung di sebalik kerahsiaan (confidentiality)?
Kalau laporan MAS itu positif, hebahkanlah saja demi membersihkan nama 1MDB dan membebaskan Bank Negara sendiri daripada tuduhan cuai (oversight)!
Dan adakah Bank Negara dalam penyiasatannya berani menyeluk pekasam seperti ini? - http://www.sarawakreport.org/2015/07/sensational-findings-prime-minister-najib-razaks-personal-accounts-linked-to-1mdb-money-trail-malaysia-exclusive/
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.