`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, September 29, 2015

PM MALAYSIA: MUHAJIR CINA?

image
Akhlak Muhajirin begitu terpuji sehingga Aws dan Khazraj, walaupun asabiyah mereka amat kuat, rela melepaskan kepimpinan ke tangan Muhajirin. Tidak timbul isu ketuanan Ansar, Bumiputra atau bukan Bumiputra.
Xifu Naser, Sinar Harian
“XIFU, benarkah Islam halalkan rasisme atau perkauman?”
Soalan ‘penumbuk’ daripada rakan soka gakkai. Dakwah dalam masyarakat multikultural semakin ‘gila’ kerana Islam dikaitkan dengan macam-macam isu sehingga ke rasisme.
Saya terus bagi jawapan mudah, “Kalau orang kata bahawa neneknya kata bahawa gurunya kata bahawa Islam suruh beli Samsung Galaxy Note 5, lu percayakah?”
“Check dulu apa Islam cakap. Refer pada al-Quran,” saya nasihat. “Jangan dengar cakap sana, cakap sini saja. Islam agama Tuhan, bukan cakap-cakap orang atau media.”
Rasisme adalah perkataan Inggeris. “Perkauman” asalnya perkataan Arab tetapi sudah berubah makna bila digunakan dalam Bahasa Malaysia. Perkataan Arab yang Nabi SAW guna ialah “asabiyah”.
Ibnu Khaldun jelaskan makna asabiyah. Seorang ibu mempunyai naluri fitrah untuk lebih sayang pada anaknya sendiri daripada anak orang lain. Naluri fitrah ini adalah asabiyah. Seorang Cina akan lebih condong kepada membela kaumnya sendiri daripada kaum lain. Perasaan ini adalah fitrah.
Tetapi perasaan ini adalah salah kalau sifat asabiyah menzalimi hak-hak asasi kemanusiaan. Asabiyah adalah seperti perasaan marah, kata Ibnu Khaldun.
Tidak salah mempunyai perasaan marah supaya tidak dayus tetapi adalah salah kalau perasaan marah itu gagal diurus dengan baik. Perasaan asabiyah juga berguna untuk bela agama kalau diuruskan dengan baik.
Kita sudah ada banyak kursus Anger Management. Kita perlu juga kursus Asabiyah Management!
Kita imbas kembali sejarah asabiyah secara ringkas untuk faham Asabiyah Management. Nabi SAW dan sahabat-sahabatnya yang awal adalah berasal dari Makkah. Majoriti ialah daripada qabilah Quraysh tetapi al-Quran telah menamakan mereka sebagai Muhajirin.
Pihak Muhajirin ditindas dengan zalim di Makkah. Maka, mereka diberi citizenship oleh dua qabilah Madinah untuk berhijrah ke sana iaitu qabilah Aws dan Khazraj. Al-Quran telah menamakan mereka ini sebagai Ansar. Ansar adalah Bumiputra Madinah.
Muhajirin adalah sebenarnya pendatang atau penumpang.
Tetapi yang peliknya, Bumiputra Madinah ini menunjukkan akhlak tamadun yang begitu tinggi kerana bukan sahaja mereka terus memberi status kerakyatan, mereka juga melantik Muhajirin untuk memimpin Madinah.
Bagaimana wujud kepercayaan yang tinggi ini yang merupakan langkah pertama Asabiyah Management?  Kepercayaan ini terbina hasil akhlak management sendiri yang telah menunjukkan contoh good governance. Nabi SAW dikenali sebagai al-Amin (yang beramanah) sejak sebelum menjadi Nabi lagi.
Selain daripada Abu Bakr, Umar al-Khattab yang memang terkenal hebat, seorang sahabat yang bernama Abu Ubaidah al-Jarrah juga dikenali sebagai al-Amin.
Maknanya, Muhajirin mempunyai jemaah menteri yang diyakini. Aws dan Khazraj yang telah lama berperang antara satu sama lain tidak akan menundukkan asabiyah mereka kepada kepimpinan asabiyah Quraysh kalau akhlak Muhajirin adalah rasis dan samseng!
Akhlak Muhajirin begitu terpuji sehingga Aws dan Khazraj, walaupun asabiyah mereka amat kuat, rela melepaskan kepimpinan ke tangan Muhajirin. Tidak timbul isu ketuanan Ansar, Bumiputra atau bukan Bumiputra.
Ahli politik atau ulama politik kontemporari suka merujuk kepada Ibnu Khaldun tentang asabiyah sebagai reaksi kepada masalah rasisme di negara.
Biasanya kekuatan majoriti ditonjolkan sebagai syarat asabiyah Islam tetapi mereka tidak pula tekankan bahawa Ibnu Khaldun juga telah meletakkan ‘Sharaf’ (akhlak Mulia) sebagai syarat utama. Kekuatan bukan terletak pada kiraan batang hidung sahaja tetapi juga pada kemuliaan akhlak.
Nabi SAW pula secara berperingkat memindahkan wacana asabiyah kepada wacana ‘Ummah’. Ansar dilayan sama seperti layanan terhadap Muhajirin kerana mereka dianggap ummah yang satu.
Maka, adakah sesuai bila seorang Cina atau India berhijrah ke Islam, kita kekal menganggapnya mualaf? Penumpang, bukan penyumbang?
Masyarakat multikultural sedang tunggu dan lihat pencapaian mualaf ini dalam dunia Islam Malaysia. Benarkah Islam rahmat untuk semua? Mungkinkah satu hari nanti PM adalah seorang Cina Muslim dalam satu negara yang sepatutnya berpegang pada wacana ummah?
Bangsa Melayu telah menunjukkan akhlak dan kepimpinan yang dihormati selama ini. Masih boleh diislahkan lagi supaya menjadi contoh kepada yang ingin kenal Islam. Selamat Hari Raya Korbankan Ego. Islahkanlah!
* Abdul Naser Tun Rahman Tokoh Pendakwah Perak

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.