KUALA LUMPUR, 7 Jul ― Ketika umat Islam berkumpul bersama keluarga di kampung menyambut Aidilfitri, bandaraya Kuala Lumpur bertukar wajah dengan dipenuhi ribuan warga asing yang membanjiri tempat-tampat tumpuan pelancong.
Walaupun bukan fenomena baharu tetapi ia sudah menjadi tradisi ketika cuti perayaan, mereka akan bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur bagi memenuhi masa terluang.
Keadaan jalan raya dan stesen pengangkutan awam yang lengang berbanding hari biasa memudahkan mereka untuk bergerak di sekitar bandar metropolitan itu.
Namun lambakan warga asing sentiasa menimbulkan rasa kurang menyenangkan di kalangan warga kota kerana sikap mereka yang kurang menjaga kebersihan kawasan sekitar.
Berdasarkan tinjaun Bernama, ribuan warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Pakistan, Vietnam, Indonesia dan Nepal mengambil kesempatan cuti umum untuk 'menyerbu' beberapa kawasan tumpuan ramai.
Antara lokasi “panas” ialah di pusat beli-belah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), Bukit Bintang, Pasar Seni dan Kota Raya.
Menurut Siti Sarah Abdul Rahman, beliau yang terpaksa bekerja di hari raya sudah lali dengan pemandagan KLCC yang tidak ubah seperti berada di negara asing.
Menurut Siti Sarah Abdul Rahman, beliau yang terpaksa bekerja di hari raya sudah lali dengan pemandagan KLCC yang tidak ubah seperti berada di negara asing.
Beliau yang bekerja di sebuah premis di dalam KLCC berkata sekitar Menara Berkembar Petronas akan dibanjiri warga asing setiap kali musim perayaan.
“Saya dah lali dengan pemandangan macam ini, memang tak selesa sebab ada di antara warga asing ini suka meludah di tepi jalan.
“Saya pun ada rasa takut sebab mereka suka duduk secara berkumpulan, saya khuathir dengan keselamatan saya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini, semalam.
Walaupun kehadiran warga asing merimaskan segelintir warga kota, namun bagi pemandu teksi, ia ibarat lombong emas buat mereka kerana warga asing kerap menggunakan teksi untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
Menurut Chin Chew Wong, seawal jam 7 pagi hingga 1 petang, beliau telah membuat lebih 10 perjalanan dari Kampung Pandan, Batu Cave, Pandan Jaya dan Kepong membawa warga asing yang hendak ke pusat bandar.
Malah menurut beliau, setiap perjalanannya tidak lekang membawa lebih tiga penumpang.
Tidak hairanlah jika dilihat kawasan-kawasan di Kota Raya, KLCC dan Bukit Bintang penuh dengan teksi menanti warga asing untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
Sementara itu, seorang penjaja di Jalan Ampang, Saiful Razak turut bersependapat, kebanjiran warga asing di musim perayaan adalah rezeki di musim raya buat beliau.
Saiful yang menggunakan motorsikal beroda tiga untuk menjual air tidak putus-putus dikunjungi warga asing yang dahaga setelah bersiar-siar di bandaraya.
Namun Saiful tidak menafikan bahawa warga asing ini menyebabkan kawasan persekitaran di ibu kota kotor dengan plastik-plastik minuman dibuang merata-rata. ― Bernama


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.