PERDANA Menteri Najib Razak tidak pernah sayang pada orang Melayu dan menganggap kaum ini sebagai golongan bodoh dan mudah ditipu, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata, dakwaannya itu berdasarkan tindakan perdana menteri mengasingkan kaum Melayu dan kaum lain menerusi cadangan persempadanan semula yang baharu.
Kata Dr Mahathir kononnya alasan pengasingan itu kerana mahu Umno bertanding di kawasan yang lebih ramai orang Melayu.
“Ada dari kita yang anggap tindakan mengasing itu (sebab) dia sayang orang Melayu.
“Tapi sebenarnya Najib anggap orang Melayu mudah ditipu, dia anggap orang Melayu bodoh,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Agung Bersatu, di Shah Alam hari ini.
Beliau berpendapat, Najib juga melihat orang Melayu tidak dapat memahami isu berhubung dakwaan penyelewengan melibatkan jumlah berbilion ringgit.
“Curi seratus dua mereka faham, curi ayam faham, tapi curi bilion ringgit konon orang Melayu tak faham,” katanya.
Beliau telah berulang kali menuduh Najib dengan dakwaan mencuri berjumlah berbilion ringgit dari dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad.
Najib menafikan terlibat dengan kesalahan berhubung skandal tersebut, yang menjadi fokus siasatan di enam negara atas berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah.
Dalam ucapannya hari ini, Mahathir mendakwa Najib juga terlalu bergantung kepada pengundi Melayu.
Negarawan berusia 93 tahun itu berkata demikian dengan mengaitkan usaha yang didakwa dijalankan untuk mengubah daftar pengundi.
“Kenapa saya kata begitu, bukan saja (Najib) ubah persempadanan tapi daftar pilihan raya (pun) diubah kali ini.
“Kita dapati rakyat tak berhak undi kawasan pilihan mereka atau tempat mereka. Mereka akan bawa (pengundi) dari satu kawasan ke kawasan lain dengan harapan orang Melayu akan disogokkan dan undi BN.”
Dewan turut dihangatkan dengan dakwaan Dr Mahathir bahawa senarai daftar pemilih telah diseleweng ketika Pilihan Raya Umum Ke-13.
Katanya terdapat 30.9 juta senarai pengundi yang alamat mereka diubah dalam pilihan raya itu.
“Bermacam pertukaran dibuat. Ada 110 (orang pengundi) di rumah kosong, ada yang rumah tidak ada langsung, ada yang ada blok tidak ada rumah tapi ada pengundi.
“Ada rumah tidak ada jalan mungkin duduk atas angin ada nama yang sama tapi nombor kad pengenalan lain, hujungnya lain tapi duduk di kampung sama,” katanya disambut gelak tawa kira- kira lebih 1,000 orang perwakilan.
Mahathir turut membangkitkan mengenai jumlah pengundi di Pekan yang didakwa bertambah mendadak pada PRU13.
“Keadaan di satu (Pekan), senarai di Pekan, pengundinya bertambah dari 1999 (35,832) tetapi 2013 (80,260) yang beri kelebihan undi kepada MO1,” kata Mahathir.
Dengan sinis, beliau berkata pencapaian itu melayakkan Najib mendapat anugerah.
“Saya ingat kalau saya ada pingat, pingat Olimpik ke, saya nak bagi pada dia (Najib).”
– https://www.themalaysianinsight.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.