`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Wednesday, September 30, 2020

Perkembangan bahasa Melayu bergantung kepada pembangunan intelektual

 

Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada bahasa yang paling luas ditutur di dunia. Hampir 200 juta orang di Asia Tenggara bertutur dalam bahasa ini. Namun begitu, ada yang mengatakan bahasa Inggeris seharusnya dititik beratkan kerana ia merupakan bahasa antarabangsa dan pengantar ilmiah. Pada pihak lain, bahasa Melayu sering dianggap sebagai bahasa yang kurang mampu memenuhi keperluan semasa kerana taraf pembangunan bahasa ini tidak setara dengan cabaran zaman yang berasaskan kepada perkembangan teknologi dan sumber manusia yang pesat.

Walaupun bahasa Melayu dianggap secara rasmi sebagai bahasa kebangsaan di Malaysia, secara praktikal ia masih belum mencapai kedudukan bahasa utama, khususnya yang menyangkut wacana ilmiah dan teknikal. Yang menggarisbawahi keadaan seumpama ini adalah kepercayaan dalam kalangan sesetengah pihak kepada keunggulan bahasa Eropah dibandingkan dengan bahasa Melayu, dari segi kemampuan menjadi pengantar wacana rasional. Malangnya, pendapat ini ditemui dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.

Ini merupakan sesuatu yang bahaya bagi perkembangan kesedaran kebangsaan dan amat melemahkan semangat untuk yang masih memperjuangkan bahasa kita sebagai bahasa rakyat Malaysia. Di samping itu, sikap seumpama ini hanya merupakan rintangan kepada usaha mempertingkatkan bahasa Melayu kepada taraf bahasa sastera dan ilmiah.

Pendapat bahawa bahasa Melayu masih terbelakang secara linguistik sepanjang yang menyangkut menjadi pengantar wacana ilmiah adalah jauh dari kebenaran. Kenyataan bahawa kita sering meminjam dan memperolehi istilah ilmiah dari bahasa Inggeris tidak membuktikan bahasa Melayu merupakan bahasa yang rendah tarafnya. Bahasa-bahasa Eropah sendiri terdiri daripada ribuan perkataan, istilah dan ungkapan yang berasal daripada bahasa Latin and Yunani, tambahan lagi, bahasa Arab dan bahasa Melayu sendiri. Apakah ini bermakna bahasa Inggeris, Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol tidak layak menjadi pengantar wacana rasional?

Yang penting untuk perkembangan pemikiran ilmiah adalah kemampuan seorang penutur bahasa yang tertentu mempergunakan bahasa itu untuk mengungkapkan konsep dan gagasan. Bukan bahasa yang menentukan perkembangan ilmiah tetapi perkembangan ilmiah yang mempengaruhi perkembangan sesuatu bahasa itu, asal penutur-penuturnya berusaha untuk mencapai tujuan ini. Perkembangan bahasa Melayu itu tidak dapat lepas dari pembangunan sosio-budaya masyarakat di Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura yang mempergunakan bahasa itu.

Kalau kita mengambil contoh dari bahasa Arab, ia menjadi bahasa perantara dalam falsafah dan bidang keilmuan selainnya hanya selepas orang Arab menguruskan penterjemahan naskah falsafah dari bahasa Parsi, Syria, dan Yunani kepada bahasa Arab. Penaklukan Arab di Asia Barat dan penyebaran Islam ke benua Hindi dan Nusantara mewujudkan keadaan dalam mana para pemikir dan cendekiawan dari pelbagai bangsa termasuk Andalusia, Barbar, Urdu, Melayu, Parsi, Syria, dan Arab menulis dan mengungkapkan fikiran mereka dalam bahasa Arab. Daya pemersatu seumpama itu ada juga pada bahasa Melayu yang pada zaman yang lampau menjadi bahasa perantara di Nusantara antara orang Portugis, Belanda, dan penduduk kepulauan Melayu-Indonesia.

Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang amat kaya. Dalam nahu Melayu, sistem imbuhan yang terdiri daripada awalan, akhiran dan sisipan membolehkan penggunanya menukar kala, berpindah mundar-mandir antara kata kerja aktif dan pasif, dan merubah kata kerja menjadi kata nama. Dipandang dari sudut tatabahasa, alat nahu Melayu dapat memenuhi keperluan pembangunan masa kini. Yang merendahkan bahasa Melayu dan membayangkannya sebagai bahasa rendah taraf harus meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa ini supaya dapat mempergunakannya secara bermanfaat.

Perkembangan bahasa Melayu bergantung kepada pembangunan intelektual dan ilmiah dalam kalangan rakyat dan sikap mereka terhadap menggunakan bahasa mereka dengan seluas mungkin. Perkembangan bahasa Melayu tidak dapat lepas dari taraf intelektual masyarakat yang menghidupi bahasa itu.

Kita semua mengkehendaki supaya bahasa Melayu menjadi bahasa sains dan teknologi. Demi mencapai matlamat ini bahasa Melayu seharusnya sanggup membawa pengertian yang jelas, tidak samar-samar dan tepat. Yang tidak percaya bahasa Melayu mempunyai kemampuan ini ingat bahawa bahasa kita terdiri daripada perkataan yang maknanya kabur. Mereka tidak faham masalahnya adalah kekaburan dalam pemikiran pengguna bahasa itu. Inilah yang mewujudkan bahasa yang samar-samar.

Janganlah serah kepada status maha kuasa. Bahasa tidak merupakan suatu kuasa yang bebas dan terpencil dari masyarakat. Bahasa tidak menentukan masyarakat, malahan masyarakat menentukan bahasa. Perkembangan bahasa Melayu bergantung kepada pembangunan masyarakat yang mempergunakan bahasa itu dalam bidang ekonomi, sosial, dan budaya.

Di samping itu, ia juga bergantung kepada usaha penyatuan bahasa Melayu-Indonesia yang sudah lama menjadi hasrat orang Malaysia dan Indonesia. Sebahagian dari tujuan ini dicapai, iaitu penyatuan sistem ejaan. Supaya proses penyatuan ini berterusan dan segala halangan terhadap kemasukan pelbagai jenis penerbitan antara negara berbahasa Melayu, iaitu, Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura harus dihilangkan. Proses penyatuan bahasa seharusnya dapat dipercepatkan agar pembaca dari kelima negara itu dapat saling membaca dan memakai tulisan mereka.

Syed Farid Alatas, professor di Jabatan Sosiologi, Universiti Nasional Singapura, mengkhususkan dalam pemikiran sosial dalam tradisi bukan Barat, di samping masalah kebangkitan masyarakat Islam pada zaman moden. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.