`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 8, 2021

Babi dan menjadi umat mulia

 

Punyalah benci, geli, loya, jijiknya umat Melayu terhadap babi, nak pandang pun tak nak. Apa lagi pegang dan sentuh. Makan memang taklah. Nauzubillah minzalik.

Malah ada yang sebut “babi” pun tak mau. “Khinzir” kata mereka bila merujuk kepada haiwan itu. Namun apabila marah “babi” digunakan untuk memaki. Yang kena maki, marah hingga tak terkata kerana dipanggil “babi”.

Masa saya kecil, di tadika (masa itu orang semua bangsa, tak kira Melayu atau bukan Melayu mengenalinya sebagai “kindergarten”) saya dan rakan-rakan kerap dengar bacaan cerita dongeng oleh cikgu mengenai “The Three Little Pigs”.

Saya tak pasti sama ada kanak-kanak tadika masa kini masih dihidangkan dengan cerita tiga anak babi itu yang rumah mereka dihembus oleh “the big bad wolf” – sang serigala yang besar dan jahat . Rasanya tidak kerana kebanyakan ibu bapa Melayu sekarang tidak mahu pembelajaran anak-anak mereka ada kaitan dengan babi. Geli dan meloyakan kata mereka gamaknya.

Porky Pig, watak animasi siri kartun Looney Tunes dan Merrie Melodies terbitan Warner Bros juga popular suatu masa dulu. Adakah Porky Pig masih popular?

Yang agak popular kini ialah Peppa Pig, siri animasi British untuk pembelajaran pra sekolah. Cucu saya sejak berusia dua tahun lagi suka si Peppa dan famili. Namun saya (dan keluarga) kerap dimarahi malah disekolahkan kenalan kerana membiarkan cucu “menggemari” sang babi. Saya tidak bercadang berpolemik mengenai itu di sini.

Kadangkala binatang yang bukan babi pun dilihat sebagai babi. Contoh apa yang terjadi pada Ramadan 2015. Ia membabitkan syarikat yang dikenali sebagai Servcorp dan wombat, sejenis mamalia .

Servcorp ialah syarikat Australia. Wombat pula mamalia yang hanya didapati di Australia. Oleh itu tidaklah pelik Servcorp menggunakan wombat sebagai maskotnya.

Sempena Aidilfitri yang menjelang tiba ketika itu, Servcorp memaparkan wombat berbaju Melayu dan songkok untuk iklannya mengucapkan Selamat Hari Raya.

Imej wombat berbaju Melayu dan bersongkok dipaparkan menerusi papan elektronik yang ditempatkan di Jalan Bukit Bintang Kuala Lumpur .

Wombat sebenarnya “mirip” beruang koala. Akan tetapi ada orang Melayu yang melihat mamalia itu sebagai babi. Lalu wombat dituduh babi. Lantas menimbulkan kemarahan kerana si babi memakai baju Melayu dan songkok untuk menyambut Hari Raya.

Untuk memendekkan cerita yang panjang, kemarahan itu mengakibatkan iklan berkenaan ditarik balik (walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata tindakan itu berkaitan isu perlesenan, bukan kerana kemarahan orang Melayu) dan Servcorp memohon maaf kepada mereka yang tersinggung.

Menurut laporan, imej wombat pernah digunakan oleh Servcorp di Arab Saudi tanpa masalah, tanpa menimbulkan kemarahan mana-mana pihak. Dalam erti kata lain, umat Islam di Arab Saudi apabila mereka tengok atau lihat wombat mereka nampak wombat. Bukan nampak babi. Tidak perlulah dipertikaikan siapa betul, siapa salah. Siapa keterlaluan siapa sebaliknya.

Babi memang haram menurut Islam. Oleh itu umat Islam menjauhi binatang itu. Memang wajar, tepat, dan betul tindakan itu. Pun begitu tahap benci, jijik, loya, geli terhadap babi agak melebihi umat Islam lain.

Saya pernah menulis sebegini dengan jalan cerita sama enam tahun lalu untuk portal berita The Malaysian Insider. Portal itu sudah tiada (digantikan dengan The Malaysian Insight).

Saya menulis semula kisah ini bukan kerana tidak punya modal untuk mengisi kolum ini. Cuba ingin dinyatakan sejak kisah babi ini mula-mula ditulis pada 2015, gelaja rasuah berterusan diperkatakan. Maksudnya gejala rasuah tidak pernah terhapus, dan kerap membabitkan orang Melayu beragama Islam.

Apa kaitan babi, rasuah, dan orang Melayu? Yang mendorong saya tulis apa yang saya tulis ini begini:

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kegiatan kartel daging seludup. Semua sudah maklum isu ini, maka tidak perlu dihuraikan pada artikel ini. Dipercayai rasuah berlaku dan ada orang Melayu Islam terbabit. Waullahualam.

Beberapa hari lalu diberitakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia Johor kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah berhubung aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Tidaklah saya tahu sama ada yang disyaki itu orang Islam atau orang bukan Islam. Sekali lagi waullahualam.

Cuma saya ulangi apa yang saya tulis lima tahun lalu, yakni secara am saya menyatakan, kalau rasuah, pecah amanah (dan juga zina, arak, dan judi) dibenci, loya, geli, jijik seperti benci, loya, geli, jijik terhadap babi, umat Melayu akan menjadi umat paling mulia di muka bumi ini. In sha Allah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.