Mana yang betul? Dipanggil “goreng pisang” atau “pisang goreng”?
Saya sudah biasa memanggilnya “goreng pisang”. Satu “habit” yang susah nak diubah meskipun kerap diberitahu “goreng pisang” maknanya perbuatan menggoreng buah pisang. Maka buah pisang yang digoreng untuk dimakan ialah “pisang goreng”. Pisang yang digoreng.
Masa saya budak, keluarga saya selalu beli goreng pisang (oops maaf)…pisang goreng di satu gerai kecil di simpang Princess Road dengan Hale Road berdepan Stadium TPCA.
Ini di Kampung Baru Kuala Lumpur. Princess Road sekarang Jalan Raja Muda Abdul Aziz. Begitu juga Stadium TPCA ialah Stadium Raja Muda manakala Hale Road ialah Jalan Raja Abdullah.
Memang banyak tempat jual pisang goreng tetapi gerai yang saya sebut ini antara yang paling popular waktu itu – 1960-an. Zaman belum ada pisang cheese dan pelbagai perasa.
Di gerai itu pisang digoreng rangup, tidak berminyak. Sedap dan lazat. Cukup laku. Datang lambat pisang goreng dah habis. Gerai itu sudah tidak wujud walaupun tapaknya masih ada – digunakan untuk aktiviti perniagaan lain.
Kita semua tahu pisang ada pelbagai jenis dan hampir semuanya boleh digoreng. Dimakan terus, dicicah gula atau sambal. Bagi saya sambal tumis ikan bilis dengan bawang kegemaraan. Suka juga saya makan pisang goreng dengan mentega. Syaratnya makan masa pisang goreng masih panas. Mungkin itu sebabnya timbul perumpamaan “laris macam pisang goreng panas”. Yang sejuk? Bagi saya ok je walaupun diakui agak “kureng”.
Pisang goreng sajian popular bukan sahaja di negara kita bahkan Indonesia, Singapura, Flipina, Thailand antaranya – di bandar dan di desa.
Dihidangkan di gerai, restoran, café dan hotel. Cuma di café and hotel lima bintang ia dikenali sebagai “banana fritters” dan harganya juga taraf lima bintang. Ia santapan semua. Orang kaya, pertengahan, mahupun miskin.
Mungkin sebab pisang goreng ada “appeal” ke atas setiap lapisan masyarakat. Perdana menteri juga menggunakannya untuk menyampaikan mesej. Ingat tak masa Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi tahun lalu untuk menghadapi krisis Covid-19?
Beliau memilih “Mak Cik Kiah” sebagai contoh atau simbol rakyat marhean. Daripada banyak-banyak Mak Cik Kiah, PM memilih Mak Cik Kiah penjual pisang goreng. Begitu berkesan pisang goreng.
Baru-baru ini apabila pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin, mengulas kenyataan seorang lagi pemimpin Umno, Ahmad Maslan, beliau mengheret pisang goreng.
Namun kali ini pisang goreng tidak diletak pada tahap tinggi. Sebaliknya pada tahap rendah atau bawahan. Malah boleh dilihat menghina pisang goreng.
Imbas kembali. Ahmad berkata sebab Umno tidak menyokong PPBM ialah kerana Perikatan Nasional yang dikemudinya tidak sanggup menggugurkan kes mahkamah yang beliau anggap tidak adil. Ramai yang yakin Ahmad merujuk kes membabitkan pemimpin Umno.
Apa pun Khairy menyifatkan kenyataan itu sebagai pemikiran “goreng pisang” (Khairy pun macam saya guna istilah goreng pisang, bukan pisang goreng).
Tak kisah lah tu. Hakikatnya memang kata-kata Ahmad wajar dikiritik tetapi mengapa pisang goreng digunakan?
Wartawan veteran A Kadir Jasin marah. Begitu juga ramai orang termasuk saya. Bukan kerana kami sayang dan mempertahankan Ahhmad tetapi marah melihat Khairy memperkecilkan (secara sedar atau tidak) pisang goreng. Seakan-akan menuduh pisang goreng “low class”.
Dengan sinis berkata Kadir melalui Facebook: “Mana boleh Khairy samakan pemikiran Ahmad dengan pisang goreng. YB Lulusan Oxford (Khairy) sepatutnya tahu pisang goreng antara hidangan ikonik Nusantara. Di Englang tempat lama dia belajar pun pisang goreng adalah ‘treat’ di restoran-restonan Asia”.
Kata Kadir, memang pisang goreng hidangan biasa, sajian harian tetapi ia bukan “low class”. Ramai pekebun kecil dan peniaga mendapat rezeki menanam pisang dan menjual pisang goreng. Saya setuju.
Lantas Kadir mahu Khairy menaik balik kata-katanya yang membandingkan standard pemikiran Ahmad dengan pisang goreng.
Ini pula tentang Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Rasanya ramai sudah tahu tapi saya tulis juga.
Wan Ahmad baru-baru ini singgah di gerai jual pisang goreng. Tiba-tiba muncul dan terus menyentuh pisang goreng tanpa menggunakan penyepit yang disediakan penjual.
Berita ini tular. Siap dengan gambar. Maklumlah era media social. Si timbalan menteri dikecam hebat. Ramai yang tuduh Wan Ahmad kurang sopan. Tidak kurang yang menuduhnya pengotor.
Setahu saya sehingga kini belum ada reaksi daripada Wan Ahmad terhadap cemuhan yang dilempar keatasnya. Begitu juga Khairy. Belum tarik balik kenyataannya seperti yang dituntut Kadir.
Oh seperkara lagi. Wan Ahmad tidak pakai pelitup muka masa beliau singgah ke gerai dan dengan selamba menyentuh pisang goreng.
SOP? Apa tu? Jelas yang tahu dan akur ialah si penjual pisang goreng. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.