`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, January 11, 2021

Malaysia negara pertama di luar China sertai kajian vaksin dari Beijing

 

Kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 yang akan bermula 21 Jan ini ialah kajian klinikal pertama dilakukan di Malaysia. (Gambar AP)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan kajian klinikal fasa 3 vaksin Covid-19 akan bermula 21 Jan ini di sembilan hospital Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah kelolaan pusat kajian klinikal (CRC) masing-masing.

Katanya, kajian klinikal yang pertama dilakukan di Malaysia itu dijangka melibatkan 3,000 sukarelawan.

“Malaysia bakal menjadi negara pertama di luar China untuk kajian calon ‘inactivated Covid-19 vaccine’ buatan Institute of Medical Biology Chinese Academy of Medical Sciences, China (IMBCAMS) ini.

“Semua keperluan regulatori, termasuk kelulusan etika daripada Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan (MREC) dan akhir sekali, Lesen Import Kajian Klinikal (CTIL) dari NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) diperolehi 8 Jan 2021,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung.

Beliau berkata, NPRA KKM turut meluluskan pendaftaran vaksin Covid-19 yang dihasilkan syarikat farmaseutikal, Pfizer dengan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin untuk fasa pertama pada hujung bulan depan.

Katanya, sebagai persediaan awal bagi memastikan pengagihan vaksin Covid-19 kepada rakyat berjalan lancar apabila bekalan diperolehi, KKM sudah membuat Pelan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Bagi mencapai imuniti kelompok, sebanyak 60 hingga 70 % atau 20 hingga 23 juta populasi Malaysia perlu diberikan vaksin Covid-19.

“Buat masa ini, kerajaan telah menandatangani perjanjian awal dengan fasiliti Covax, syarikat Pfizer dan AstraZeneca bagi perolehan vaksin Covid-19 untuk mendapatkan jaminan bekalan vaksin sebanyak 40% liputan populasi.”

Muhyiddin berkata, kerajaan juga dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin tambahan melebihi 80% jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

Katanya, kerajaan akan memastikan hanya vaksin memenuhi ciri-ciri keselamatan, berkualiti dan berkesan akan didaftar serta digunakan di Malaysia.

Beliau berkata, proses penilaian dibuat Jawatankuasa NPRA untuk kelulusan dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah bagi tujuan pendaftaran sebelum vaksin Covid-19 boleh digunakan.

Muhyiddin mengingatkan rakyat untuk terus mematuhi semua SOP, walaupun bekalan vaksin akan diterima tidak lama lagi.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan melakukan terbaik untuk memberi perlindungan kepada semua rakyat.

“Saya juga memohon kepada anda semua untuk lakukan yang terbaik untuk melindungi diri masing-masing, komuniti dan masyarakat. Hanya dengan bersatu melawan virus ini, kita boleh menang. Insya Allah.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.