`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 27, 2021

Noor Hisham dituduh belakangkan kabinet

 

Penganalisis politik percaya Dr Noor Hisham kini dalam keadaan terhimpit, antara menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham kini dalam keadaan terhimpit, antara menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat dengan memastikan ekonomi negara bergerak ketika wabak Covid-19 terus menyerang.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Noor Hisham tidak wajar mengeluarkan kenyataan bahawa PKP di seluruh negara, (kecuali Sarawak ) yang dijadualkan berakhir 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan. Menurut Noor Hisham selepas tarikh itu perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) akan menyusuli.

“Kenapa pengarah kesihatan tiba-tiba buat kenyataan sedemikian? Masih awal sedangkan perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Kabinet. Sepatutnya belum ada lagi pengumuman seperti ini yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata Kamarul Zaman.

Menurut beliau kenyataan Noor Hisham itu seolah-olah mendahului keputusan jemaah Menteri.

“Sepatutnya keputusan kena kolektif, bukannya keputusan berseorangan. Bukan kerja dia buat pengumuman seperti itu. Sebab kalau lihat, keadaan Covid-19 di negara masih serius.

“Lainlah jika boleh dipastikan bahawa kes Covid-19 di dalam negara sudah berkurangan pada 4 Februari depan. Kita ketika ini juga tidak tahu keadaan bagaimana situasi kes Covid-19 pada minggu hadapan,” katanya.

Menurut Kamarul, tidak wajar isu kesihatan rakyat dan isu ekonomi digandingkan secara bersama, memandangkan isu kesihatan rakyat sewajarnya lebih diutamakan berbanding isu lain.

“Nyawa rakyat perlu lebih diutamakan. Jadi, belum berbangkit juga isu bila PKP tidak diteruskan, maka proklamasi darurat juga perlu ditamatkan. Memandangkan Jawatankuasa Khas Bebas juga masih belum bermesyuarat lagi,” katanya.

Noor Hisham ketika membuat kenyataannya menegaskan kepentingan ekonomi dan kesihatan perlu diseimbangkan dan keputusan tidak melanjutkan PKP diambil bagi mengelak kesan negatif ke atas ekonomi negara.

Sehingga 26 Januari, Noor Hisham melaporkan masih ada 40,574 kes aktif dengan 111 daripada 280 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan, manakala 3,585 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Selain itu 11 kematian dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian 700 orang daripada 190,434 kes Covid-19 setakat ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berpendapat keputusan untuk menamatkan (PKP)2.0 pada 4 Februari ini bukan satu keputusan paling tepat.

“Ia keputusan sukar buat Noor Hisham, untuk mengekang penularan Covid-19 sebenarnya perlu teruskan darurat. Daripada sekarang ini dilaksanakan separuh-separuh, dilema paling besar adalah ekonomi rakyat.

“Saya dengar itu yang menyebabkan Noor Hisham keluarkan kenyataan itu, sebab dia kena ‘sandwich’ di tengah-tengah. Saya secara peribadi katakan, PKPB tidak efektif, masih banyak kelonggaran,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun menurut Lee pelaksanaan PKPB masih menyebabkan masyarakat bergerak ke sana sini. Baginya, adalah lebih baik sekiranya ‘total lockdown’ dilaksanakan untuk suatu tempoh waktu yang ditetapkan.

“Dua minggu atau tiga minggu, selepas itu baru kita lihat, tidak perlu lagi PKP atau PKPB dan sebagainya. Ambil pendekatan yang drastik sedikit. Minta maaflah, walaupun sudah diisytihar darurat ia masih juga sama. Bagi saya tiada erti itu,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.