`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, January 20, 2021

Polis sahkan 8 anggota FRU ditahan Perhilitan

 

SEREMBAN: Polis mengesahkan lapan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) cawangan Seremban termasuk seorang berpangkat inspektor, ditahan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) pada Ahad.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Mohamad Mat Yusop, berkata mereka yang berusia 33 hingga 47 tahun ditahan kerana disyaki memiliki hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

“Kita menerima laporan dan tindakan dibuat oleh Perhilitan,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Seremban-Labu (arah utara) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Katanya, perbuatan menangkap, menembak, atau memburu haiwan dilindungi merupakan satu kesalahan, dan mereka yang terlibat, baik orang awam mahupun anggota polis, tertakluk kepada undang-undang berkenaan.

Beliau mengulas mengenai laporan penahanan lapan anggota polis itu yang ditularkan menerusi aplikasi WhatsApp.

Berdasarkan maklumat yang tular itu, lapan anggota FRU terbabit ditahan di Kuala Pilah pada 17 Jan lalu selepas pemeriksaan oleh Perhilitan ke atas kenderaan dinaiki mereka menemukan satu kampit plastik yang berisi hidupan liar disyaki pelanduk.

Mereka disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar yang memperuntukkan denda hingga RM1 juta dan penjara hingga 15 tahun, jika sabit kesalahan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.