PETALING JAYA: Pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion mendapat pelbagai reaksi daripada kumpulan majikan dan pekerja, dengan kedua-dua pihak menggesa penambahbaikan demi mendapat manfaat lebih baik.
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) menyambut baik keputusan kerajaan memperluaskan program subsidi upah kepada semua sektor yang menunjukkan kerajaan mendengar permintaan majikan.
Bagaimanapun, Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan berkata, tempoh sebulan mungkin terlalu pendek untuk menunjukkan hasil berkekalan.
“Ia perlu sekurang-kurangnya tiga bulan, seperti program subsidi upah terdahulu (pada 2020),” katanya pada FMT.
Menyentuh pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai moratorium pinjaman akan terus ditawarkan, Shamsuddin berkata, moratorium pinjaman harus diberikan secara automatik kepada semua peminjam.
“Sama ada pekerja atau syarikat, kita semua menghadapi masalah aliran tunai sekarang, terutamanya majikan. Bagi pekerja, banyak syarikat akan melakukan banyak pengurangan kos daripada segi elaun dan gaji lebih masa. Bahkan, ada syarikat yang melaksanakan potongan gaji.”
Katanya, tindakan mewajibkan individu dan firma membuat permohonan untuk moratorium terlalu bermasalah dan birokratik.
Tetapi, beliau menyambut baik lanjutan geran khas Prihatin kepada 500,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), dengan bayaran RM1,000 buat setiap penerima.
Walaupun PKS di negeri lain hanya akan menerima RM500 setiap satu, katanya, perbezaan itu munasabah kerana syarikat di negeri dikenakan PKP bersyarat dan pemulihan menghadapi kurang sedikit sekatan.
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak nampak manfaat lebih besar untuk pekerja menerusi pakej PERMAI dan dua isu utama utama pekerja adalah moratorium pinjaman automatik serta skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Timbalan Presiden Mohd Effendy Ghani memahami keperluan menetapkan beberapa kriteria untuk skim i-Sinar, tetapi berharap kerajaan dapat melonggarkan lagi syarat kerana pekerja terdesak akibat PKP.
Katanya, lebih banyak boleh ditawarkan kepada guru, terutama dengan kelas tahun ini yang akan bermula secara dalam talian pada 20 Jan, kecuali untuk mereka yang menduduki SPM dan STPM.
“Mungkin ada diskaun yang dapat diberikan kepada guru untuk pembelian pakej data, komputer atau peranti. Mereka memerlukan peranti itu untuk bekerja dengan berkesan dari rumah,” katanya kepada FMT.
Ditanya jika pakej PERMAI cukup untuk membantu pekerja mengatasi masa-masa sukar, katanya, pakej Penjana yang diumumkan Jun tahun lalu nampaknya tidak cukup.
Beliau menggesa kerajaan tampil dengan strategi jangka panjang dalam memerangi pandemik dan mengelak daripada melaksanakan semula PKP.
Sebahagian besar, jika bukan semua, sektor ekonomi boleh dibenarkan beroperasi, selagi SOP ketat ditetapkan dan dipatuhi.
Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia, Soh Thian Lai juga mendesak tempoh subsidi upah dipanjangkan sehingga tiga bulan kerana akan ada kesan bertindih kepada perniagaan, walaupun selepas operasi disambung semula sepenuhnya selepas PKP berakhir.
Beliau turut menggesa Akta Covid-19 diperluaskan untuk merangkumi sektor pembuatan dan perkhidmatan lain yang berkaitan untuk meringankan beban industri akibat penguncupan aktiviti. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.