PETALING JAYA: Dengan beralihnya status Lembah Klang ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam memberi peluang kepada pasangan pengantin ‘merentas daerah’ dari Kuala Lumpur untuk merakamkan detik kegembiraan mereka dengan berlatar belakangkan panorama Putrajaya.
Sebaik saja melafazkan akad nikah di Pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Amin dan pasangannya June Asmerahawa Minhad menuju ke Dataran Putra untuk merakamkan detik indah mereka antaranya dengan latar belakang ikonik Putrajaya iaitu Perdana Putra dan Masjid Putra.
Kehadiran Mohd Fauzi, 29, dan June Asmerahawa, 33, lengkap berbusana pengantin berwarna putih berserta memakai pelitup muka, menarik tumpuan pengunjung yang beriadah di lokasi itu dengan aksi romantis mereka ketika bergambar.
“Putrajaya memang terkenal dengan pemandangan cantik. Bila boleh merentas, kami buat keputusan untuk datang ambil gambar di tempat ini,” kata Mohd Fauzi yang menetap di Sentul, menurut laporan Bernama.
Beliau tidak menyangka kegembiraan berpeluang ke Putrajaya untuk merakamkan detik indah itu juga hadir pada hari bahagianya kerana sebelum ini aktiviti rentas daerah adalah tidak dibenarkan dan terdapat sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri.
“Bila dah beralih masuk Fasa 2 (PPN) ini memang mudahlah urusan perkahwinan kami kerana sudah tiada sekatan jalan raya, jimat masa perjalanan dan urusan lain,” katanya.
Pasangannya, June Asmerahawa berkata beliau sebelum ini hanya bercadang untuk merakam gambar perkahwinan mereka di sekitar ibu negara seperti KLCC dan Taman Tasik Titiwangsa.
“Bila rentas sempadan daerah dibuka kami terus datang ke Putrajaya kerana pemandangan di kawasan ini amat cantik,” katanya.
Beliau juga menzahirkan rasa syukur apabila urusan perkahwinannya yang tertangguh sejak enam bulan lepas atas pelbagai halangan akhirnya dapat disempurnakan.
“Majlis akad nikah pun berjalan lancar dengan ikut SOP (prosedur operasi standard). Pasangan yang berkahwin di JAWI perlu buat ujian saringan Covid-19 dan ia (SOP) ketat bagi memastikan tidak berlaku penularan Covid-19 di tempat itu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penduduk Lembah Klang yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 boleh merentas sempadan daerah bermula semalam berikutan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke Fasa 2 PPN. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.