PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki warga Filipina yang dilaporkan hilang selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Kampung Bakau Lama, Lahad Datu semalam, ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu Sumsoa Rashid berkata mayat Ibrahim Tolento, 10, ditemukan penduduk kampung terapung kira-kira 700m dari lokasi kejadian di sungai berkenaan pada 6.41 pagi.
“Mayat ditemui dengan kesan gigitan di kaki kiri dan pinggang, dipercayai akibat diserang buaya, namun mayat itu masih dalam keadaan sempurna, dan sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya menurut laporan Bernama.
Katanya beliau difahamkan dalam kejadian sekitar tengah hari semalam, mangsa dan dua rakannya sedang mencari udang di bawah rumahnya untuk dijadikan umpan memancing, apabila tiba-tiba diserang buaya.
“Rumah Ibrahim terletak di atas air. Difahamkan mulanya dia dapat melepaskan diri, namun buaya itu menyerang sekali lagi sebelum dia ditarik ke dalam sungai dan hilang,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.