`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, November 30, 2021

Realiti Muafakat Nasional

 

Bagi saya ulasan mengenai Muafakat Nasional oleh Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Umno, adalah yang paling jujur, terus-terang, dan tepat yang dibuat pemimpin parti itu setakat ini.

Perhatikan apa hujah beliau yang dimuat naik di Facebooknya tempoh hari. Ada 14 perenggan. Tetapi yang menarik perhatian saya berbunyi begini:

“Sebenarnya orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk. Kesatuan Umno dan PAS melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat.

“Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai Umno dan PAS.”

Jujur dan berterus-terang bukan? Malah berani. Sebelum ini Umno (dan PAS) ketika menubuhkan MN pada 2019 menegaskan permuafakatan itu membawa agenda “penyatuan ummah” bagi mensejahterakan Malaysia.

Annuar Musa yang ketika itu Setiausaha Agung Umno menekankan segala pertimbangan MN berasaskan kebaikan kepada ummah, bangsa, dan negara. Manakala Noh Omar Ahli Majlis Tertinggi Umno menyifatkan MN satu manifestasi suara akar umbi yang mahu umat bersatu padu.

Kesimpulannya gambaran yang dihidangkan kepada khalayak ialah orang Melayu dan umat Islam mesti bersatu dan itu boleh dicapai “hanya” menerusi MN. Mohamad atau panggilan mesranya Tok Mat ketika itu turut memberi gambaran sedemikian.

Saya rasa masa itu beliau mungkin yakin akan “keupayaan” MN. Atau mungkin beliau masa itu kurang setuju atau punya pandangan tersendiri tetapi oleh kerana itu naratif rasmi parti (ketika itu) beliau turuti juga. Wallahualam.

Apa pun yang Mohamad perkatakan sekarang pada hemat saya adalah benar. Memang orang Melayu Islam ada pertelingkahan sesama sendiri, ada perbezaan pendapat, dan pandangan serta kerap bertegang leher. Tetapi bak kata Mohamad, “orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk”. Ya tidaklah “bagai nak rak macam dunia nak kiamat” seperti yang digembar-gembur selama ini. Siapa yang menggembar-gembur? Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Yang pasti saya tahu anda tahu.

Betul lagi kata Mohamad, takkan semua orang Melayu akan bersatu hanya kerana Umno dan PAS menjalin hubungan baik dalam MN. Seperti kata beliau “puluhan juta” orang Melayu bukan jadi ahli Umno atau PAS. Ya kita tahu ramai orang Melayu menganggotai pelbagai parti politik. Tidak kurang ramai yang tidak berminat jadi ahli parti politik.

Saya rumuskan apa yang beliau katakan itu ialah MN bukanlah segala-galanya. “Its not a big deal”. Kerana itu saya nyatakan tadi ulasan Mohamad berani, terus-terang, jujur.

Imbas kembali penubuhan MN tiga tahun lalu. Pandangan umum MN adalah gabungan politik yang diwujud oleh Umno-PAS untuk memenangi PRU15. Kedua-dua parti bercakap dan bertindak bagai mengiyakan pandangan sedemikian.

Malah pemimpin Umno dan PAS kerap bercakap mengenai jumlah undi yang diperolehi parti masing-masing pada PRU14 ketika bertarung antara satu sama lain. Lalu kata mereka jika undi itu dicampurkan jumlahnya mengatasi undi yang didapati calon Pakatan Harapan, terutama di kawasan majoriti Melayu. Lalu mereka menzahirkan kepercayaan dan keyakinan apabila mereka “bersatu” melalu MN; Umno-PAS akan menang PRU15. Ramai penganalisis politik menyifatkan itu perkiraan “simplistik”. Namun kedua-dua parti tetap yakin dan formula itulah yang diuar-uarkan kepada khalayak.

Sekarang Mohamad mendakwa Umno sangat jelas semasa mengasaskan MN. Bagi Umno, katanya, MN mempertemukan dua parti Melayu menjadi wadah ke arah kesatuan dan penyatuan tetapi wadah itu mesti menjangkaui politik.

Ia perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan dan “kerana itu sedari awal Umno tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik walaupun pelbagai pihak dalam Umno dan PAS mendesak ke arah itu”.

Bercakap mengenai MN sebagai medan perbincangan dan rumusan kepentingan Melayu-Islam yang dikatakan Mohamad, teringat saya akan sesi muzakarah Umno-PAS yang diadakan pada 1980-an dan 1990-an. Tujuannya juga untuk membincangkan masalah berkait agama dan umat Islam dan mencari penyelesaian. Akan tetapi itu semua “tidak ke mana” dan dilihat ramai sebagai cara kedua-dua parti mengutip markah politik dengan menonjolkan “keislaman” masing-masing.

Apa pun dalam konteks MN, kata Mohamad, Umno mahu MN jadi wadah yang boleh memayungi semua bukan sekadar kepentingan politik Umno dan PAS “apa lagi ideologi dan pendekatan kedua-dua parti sangat berlainan”.

Menurut beliau, partinya tidak pernah membelakangkan dan meninggalkan MN. Malah cuba memperkukuhkannya “tetapi sebaik Perikatan Nasional terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik, dan seperti sudah tidak ada erti”.

“Sebahagian pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa. Mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik hilang dan dilupakan. Ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan.”

Siapakah yang dimaksudkan Mohamad? Rasanya ramai yang tahu.

Namun walaupun tidak menganggap MN sudah tidak relevan, Mohamad berkata: “PAS teruslah dengan PN dan Umno teruslah dengan BN.”

Meskipun beliau juga berkata jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan Umno dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya. Yang cukup menarik ialah kata-kata “PAS teruslah dengan PN, Umno teruslah dengan BN”.

Kata-kata itu jelas dan nyata. Ia ucapan selamat tinggal daripada Umno kepada MN dan PAS khususnya. Bagi saya itu kata-kata pemutus atau perpisahan.

Sekali lagi saya tegaskan itu kata-kata berani, jujur, terus-terang Timbalan Presiden Umno.

Apa pula langkah PAS?

Yang kita tahu Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhil Shaari, dilapor berkata tidak timbul soal PAS dibuai kedudukan dan jawatan sehingga gagal memilih sama ada hendak bekerjasama dengan MN bersama Umno atau PN dengan Bersatu.

“Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah dan memastikan PH tidak kembali berkuasa,” kata beliau.

Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, pula berkata perbincangan PAS dengan Umno akan berdepan kesukaran jika sesetengah kepimpinan parti terbabit masih bersikap seperti “abang long”.

Di sebalik kata-kata “keras” itu PAS tetap mahu menonjolkan imej “pendamai” – kononnya parti yang mahu menyelamatkan MN dan mahu mendamaikan Umno dengan Bersatu.

Dulu, PAS mendakwa hudud yang “diperjuangkannya” tidak dapat dilaksana di negara ini kerana kerajaan BN ketika itu menghalang. Sekarang PAS boleh mendakwa mereka sedaya upaya mahu menyelamatkan MN tetapi Umno yang degil.

Adakah ini yang disifatkan PAS “politik matang dan sejahtera”? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.