`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, November 17, 2021

Kenyataan Ongkili mengenai anti Putrajaya mengejutkan, kata Pemuda Upko

 

Felix Joseph Saang berkata, kenyataan ‘pedas’ Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bukan bermakna mereka anti Putrajaya atau menghasut rakyat supaya membenci kerajaan persekutuan sebaliknya untuk menunjukkan pendirian tegas mereka.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Upko Felix Joseph Saang menyifatkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Maximus Ongkili sebagai sesuatu yang amat mengejutkan rakyat Sabah.

Katanya, Ongkili sepatutnya menyokong dan membantu Ahli Parlimen dari Sabah menuntut hak dan menyuarakan apa yang patut untuk kebaikan seluruh rakyat Sabah dan Sarawak.

“Dalam laporan media baru-baru ini Ongkili menggesa Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak supaya tidak menghasut sentimen anti Putrajaya.

“Beliau sepatutnya senada dengan sentimen rakyat Sabah bukannya mengambil pendekatan ‘tunduk’ kepada Putrajaya.

“Harus difahami, kita bukan anti Putrajaya tetapi kita mahu kerajaan persekutuan memberi layanan sama rata terutamanya dari segi pengagihan peruntukan pembangunan serta hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Felix berkata, kenyataan-kenyataan ‘pedas’ Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bukan bermakna mereka anti Putrajaya atau menghasut rakyat supaya membenci kerajaan persekutuan tetapi untuk menunjukkan pendirian tegas mereka.

Katanya, Ongkili pastinya mengetahui dan sedar bahawa lapan daerah termiskin di Malaysia adalah di Sabah.

“Beliau ini merupakan menteri dari Sabah, tidakkah beliau tahu bahawa Sabah masih terlalu jauh ketinggalan dari pelbagai aspek pembangunan? Sabah masih yang termundur dan terbelakang sekali dalam banyak perkara.

“Kenapa Putrajaya tidak boleh dikritik? Sejak bila menuntut hak Sabah ini dilabel sebagai menghasut? Kenyataan menteri ini sangat luar biasa, tidak masuk akal dan amat menyedihkan rakyat Sabah,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.