PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan beliau mempunyai hak untuk bercakap mengenai bola sepak dengan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Tegas Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah, tidak ada beza antara beliau dan Tunku Ismail ketika berada di padang bola.
“Saya Presiden KFA, dia (Tunku Ismail) pemilik kelab JDT, saya ada hak (bercakap). Saya bukan bercakap dengan anak raja, saya cakap dengan pemilik kelab JDT, jangan kata saya derhaka pulak.
“Main bola apa kira derhaka tak derhaka. Kalau tidak nak score (jaring) gol kena angkat sembah dulu, mampuih lah kita, nak buat macam mana. Main bola cara bola lah, jangan dok ambil hati pulak, jangan dok heret bola masuk istana,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar secara dalam talian selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Aman.
Persidangan DUN tersebut bermula pada Ahad lalu dan berakhir pada hari ini.
Sementara itu, Sanusi berharap KDA FC dapat menewaskan JDT pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, malam ini.
“Saya harap dengan semangat jitu dan kental, azam yang tinggi dalam kalangan pemain, kedah akan dapat menewaskan JDT di kampung halaman mereka sendiri.
“Menang 2-1 pun dah cukup, saya doakan. Kedah pantang kalah, pulun Kedah pulun,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.