`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, November 12, 2021

Mata bengkak, tak dibenar hubungi keluarga, EDICT mahu polis siasat kes pukul tahanan

 

EDICT berkata, laporan itu diterima selepas hari keempat mangsa berada dalam tahanan. Turut difahamkan keluarganya tidak dimaklumkan mengenai penahanan itu. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) Menghapuskan Kematian dan Dera Dalam Jagaan (EDICT) menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap anggotanya yang terlibat dalam kes mencederakan tahanan di lokap IPD Bachok, Kelantan.

Pengarah Eksekutif EDICT, Khalid Mohd Ismath berkata, pihaknya menerima laporan mengenai seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang mengalami kecederaan serius dipercayai dipukul anggota polis ketika ditahan reman.

Lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan polis di sekitar Kota Bharu.

Khalid berkata, laporan itu diterima selepas hari keempat mangsa berada dalam tahanan. Turut difahamkan keluarganya tidak dimaklumkan mengenai penahanan itu.

“Polis tidak memaklumkan penahanan ini kepada pihak keluarga dan tidak membenarkan tahanan berhubung dengan mereka,” katanya pada sidang media secara maya.

Beliau berkata, pegawai penyiasat yang dihubungi tidak mahu memberikan kerjasama berhubung keberadaan tahanan dan berdasarkan sumber daripada keluarga, mangsa berada dalam keadaan kritikal dan mungkin belum mendapatkan rawatan.

“Mata mangsa membengkak dan mengadu penglihatan kabur namun tiada rawatan diberikan,” katanya.

Sementara itu, peguam mewakili keluarga mangsa, V Sanjay Nathan berkata, tindakan polis yang tidak membenarkan mangsa menghubungi keluarganya disifatkan sebagai salah guna kuasa.

Katanya, maklumat terperinci penahanan mangsa berhubung tempoh dan lanjutan reman termasuk seksyen terlibat juga tidak dimaklumkan pihak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, EDICT akan membantu keluarga mangsa membuat laporan polis dan tindakan undang-undang lain dalam kes itu dan pada masa sama meminta mangsa segera diberikan rawatan sewajarnya sebelum perkara tidak diingini berlaku.

“Kita ingatkan polis segera ambil tindakan terhadap anggota yang terlibat dan segera bawa tahanan tersebut mendapatkan rawatan sebelum terlambat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.