`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, November 11, 2021

Pemandu Timbalan Menteri tak mengaku memandu secara berbahaya, potong ‘double line’

 

Tertuduh, Mohd Nazre Che Mustafa, 31, didakwa memandu sebuah MPV jenis Toyota Alphard dengan cara memotong di garisan berkembar sehingga tindakan itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

PETALING JAYA: Pemandu kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary, didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini, atas pertuduhan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan memotong di garisan berkembar, dua bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Nazre Che Mustafa, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memandu sebuah MPV jenis Toyota Alphard dengan cara memotong di garisan berkembar sehingga tindakan itu membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Menurut laporan Kosmo, kesalahan itu dilakukan olehnya di Jalan Bukit Marak menghala ke Binjai, berhampiran jambatan Gong Dermin Kota Bharu, kira-kira pukul 5.20 petang pada 26 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Polis Siti Aisyah Abdul Manah, manakala tertuduh diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selain 8 Disember depan untuk serahan dokumen kes.

Sebelum ini, tular rakaman video memaparkan kenderaan bernombor pendaftaran P45, memotong kenderaan di garisan berkembar, walaupun ada kenderaan lain datang dari arah bertentangan.

Rakaman berkenaan ditularkan menerusi tanda pagar P45, yang turut menimbulkan kecaman warganet.

Susulan kejadian itu Ahmad Marzuk memohon maaf selepas klip video menunjukkan Toyota Alphard miliknya dipandu secara berbahaya dan memotong di garisan berkembar serta menerima teguran dan nasihat yang diberikan, sama ada secara terus atau melalui komen di media sosial. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.