`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 20, 2021

PKR kalah teruk kerana pengundi tolak empat ‘katak’, kata penganalisis

 

Penganalisis berpendapat kekalahan teruk Pakatan Harapan itu natijah pengundi melihat gabungan berkenaan memberi tempat kepada ‘politik katak’ yang mencetuskan pilihan raya negeri Melaka.

MELAKA TENGAH: Kekalahan teruk Pakatan Harapan, khususnya PKR pimpinan Anwar Ibrahim, adalah natijah pengundi melihat gabungan itu memberi tempat kepada ‘politik katak’ yang mencetuskan pilihan raya negeri Melaka, kata penganalisis.

“Ia adalah kekalahan teruk. PKR pimpinan Anwar yang ‘menerima’ katak politik menerima kekalahan paling teruk. PH hilang sokongan, khususnya dikalangan pengundi muda Melayu,” kata penganalisis Bridget Walsh.

PKR tewas di semua 11 DUN yang ditandinginya.

Calonnya, Idris Haron kalah di Asahan. Beliau diterima masuk PKR dan dinamakan untuk PRN setelah dipecat oleh Umno kerana menyertai tiga ADUN lain menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri, sekali gus mencetuskan pilihan raya negeri berkenaan.

Tiga ADUN berkenaan iaitu Nor Azman Hassan, Noor Effandi Ahmad dan Norhizam Hassan Baktee turut tewas pada PRN ini.

Penganalisis Oh Ei Sun berkata keputusan PRN itu amat memalukan bukan sahaja untuk Anwar, tetapi juga pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin.

PN bertanding di semua 28 kerusi tetapi hanya menang dua DUN. Sekutu utamanya PAS tewas di semua lapan kerusi yang ditandingi.

Oh bagaimanapun percaya Muhyiddin tidak akan berputus asa namun kini jelas beliau terpaksa menghadapi Barisan Nasional yang semakin kuat.

Beliau percaya keputusan PRN Melaka tidak boleh digunakan untuk membuat ramalan mengenai PRU15, yang dipengaruhi oleh perkembangan politik di Sabah dan Sarawak.

Seorang lagi penganalisis, Prof Ahmad Fauzi yakin Muhyiddin mampu “pulih daripada keputusan malam ini”, sekiranya berjaya mengikat sebarang kerjasama dengan BN pada masa depan.

“Ini sesuatu yang tidak boleh ditolak kerana PN dan BN adalah rakan dalam kerajaan persekutuan.

“Presiden Umno Zahid Hamidi sendiri sebelum ini terbuka kepada kerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya BN gagal memperolehi majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri,” kata beliau.

Ahmad berkata kesetiaan pengundi Melaka kepada BN amat tebal dan mereka tidak terpengaruh dengan kempen Muhyiddin yang mengaitkan pemimpin Umno tertentu kepada rasuah dan penyelewengan.

“Pengundi tidak terpengaruh dengan kempen kluster mahkamah. Sokongan mereka kepada Umno-BN tidak berbelah bahagi,” kata beliau. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.