`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, November 20, 2021

PRN Melaka: PAS kembali kepada Umno setelah kalah 8-0?

 

Pengundi Melaka dilihat menolak politik PAS, yang cuba memenangi undi Melayu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan parti itu di Kelantan, Terengganu, dan baru-baru ini di Kedah. (Gambar Bernama)

AYER KEROH: PAS tewas di semua lapan kerusi, tujuh daripadanya kepada Umno, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) malam ini, sekaligus mengundang spekulasi mengenai masa depan gandingannya dengan Bersatu bawah payung Perikatan Nasional (PN).

Bersatu sendiri hanya berjaya meraih dua kerusi iaitu di Sungai Udang dan Bemban. Secara keseluruhan, PN, pimpinan Muhyiddin Yassin tewas di 26 daripada 28 kerusi yang ditandingi.

Keputusan itu tidak rasmi setakat ini, namun memperlihatkan cubaan PAS dan Bersatu untuk bertapak di Melaka kecundang setelah pengundi negeri itu memberikan kemenangan selesa kepada Barisan Nasional (BN), yang berjaya menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti 2/3.

PAS tewas kepada calon Umno di Merlimau, Serkam, Duyong, Bukit Katil, Durian Tunggal, Taboh Naning, dan Kuala Linggi.

Kekalahan itu tentunya menimbulkan spekulasi akan berlaku jajaran politik baharu yang mungkin menyaksikan PAS meninggalkan Bersatu dan kembali ‘memulihkan’ hubungannya dengan Umno bawah piagam Muafakat Nasional (MN).

Pengundi Melaka dilihat menolak politik PAS, yang cuba memenangi undi Melayu dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri pimpinan parti itu di Kelantan, Terengganu, dan baru-baru ini di Kedah.

Ia termasuk langkahnya menutup kedai nombor ekor dan mengehadkan jualan arak di Kedah yang mencetuskan keresahan bukan Muslim di negara ini.

PAS sekutu utama Muhyiddin dalam PN, tetapi sebelum itu menubuhkan Muafakat Nasional dengan Umno pada 2019.

Keputusan PRN Melaka dijangka akan mendorong PAS memikirkan semula hubungannya dengan Muhyiddin yang dilihat sebagai seteru politik oleh kalangan pimpinan Umno.

Kekalahan di Melaka malam ini tentunya mengejutkan parti itu kerana ia bertanding sebagai parti dalam kerajaan persekutuan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno.

Bagaimanapun, dengan kemenangan selesa malam ini, Umno sebagai tonggak Barisan Nasional belum tentu menerima semula PAS yang dilihat boleh menjejaskan usaha BN meraih sokongan pengundi bukan Islam. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.