`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 16, 2021

Sanusi penyelamat PAS

 

Terus terang saya agak terperanjat apabila Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan tidak mahu bertanding jawatan Naib Presiden PAS pada pemilihan parti yang diadakan selari dengan Muktamar PAS 6 dan 7 November lalu.

Mengapa saya terperanjat? Kerana bagi saya beliau ialah “winnable candidate” dengan ciri dan kelayakan yang PAS perlu dan mahu. Jika benar laporan menjelang pemilihan parti yang menyatakan Sanusi tersenarai antara lima calon yang layak bertanding jawatan Naib Presiden maka sahlah ramai orang PAS mengiktiraf kemampuannya.

Tentu kita masih ingat tindakannya selaku Menteri Besar Kedah membatalkan cuti Thaipusam di negerinya kerana perayaan Thaipusam tidak boleh diadakan angkara Covid-19. Lantas “tidak perlu cuti, boleh sembahyang di rumah” kata beliau kepada penganut Hindu.

Sanusi diserang hebat bukan sahaja penganut Hindu tetapi juga pengamal agama lain. Ada juga umat Islam sendiri yang tidak setuju dengan tindakan beliau. Namun, Sanusi tidak berganjak.

Saya kira bagi ramai ahli PAS ini ciri pemimpin yang boleh dibanggakan – pemimpin parti Islam yang tidak tunduk kepada tekanan orang bukan Islam.

Bagaimana pula serangannya ke atas kerajaan Pulau Pinang yang dipimpin DAP. Isu yang dieksplotasi termasuk kemungkinan kerajaan Pulau Pinang menyedut air selut dari Sungai Muda di Kedah sekiranya gagal membuat bayaran bekalan air mentah. Beliau tidak peduli kritikan yang dilemparkan ke atasnya.

Sanusi juga kerap mengeluarkan “peringatan” mendakwa Pulau Pinang dipajak dari Kedah. Sekali lagi, beliau tidak peduli apa kata ahli sejarah yang menyanggah.

Pertikaman lidah dengan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy memberi Sanusi markah politik dalam kalangan ahli PAS .

Ini semua boleh membuat orang PAS menyanjungnya sebagai pemimpin PAS yang berani dan tegas – dua ciri utama yang semestinya dihargai parti.

Dan seminggu sebelum pemilihan PAS Sanusi dikurnia anugerah sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah yang membawa gelaran Datuk Seri. Gelaran itu boleh dimanfaat kerana ia seolah-olah memberi “isyarat” hubungan baik Sanusi dengan Istana Kedah.

Semua itu dilihat memberi Sanusi kelebihan untuk dipilih perwakilan PAS untuk merangkul satu daripada tiga jawatan Naib Presiden parti. Tetapi seperti dikatakan tadi beliau “tidak mahu bertanding”. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau awalnya ada hasrat tetapi akhirnya tarik diri. Atau sememangnya “tidak mahu tanding.” Hakikatnya beliau tidak bertanding. PAS hilang peluang dapat Naib Presiden hebat ala wira.

Sehari sebelum saya menulis artikel ini saya baca satu laporan bahawa Sanusi selaku Presiden Persatuan Bolesepak Kedah “membalas” sindiran pedas Tengku Mahkota Johor berhubungan isu tunggakan gaji pemain pasukan Kedah Darul Aman FC.

Saya tidak bercadang mengulas isu itu kerana artikel ini bukan mengenai bola sepak. Cuma ingin menegaskan tindakan beliau boleh dikira berani kerana “menjawab” putera raja Johor yang terkenal dengan kelantangannya.

Apa pun pada hari yang sama iaitu 14 November Sanusi sebagai Menteri Besar mengumumkan kerajaannya akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan Kedah bebas aktiviti perjudian.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu) kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang,” kata beliau seperti dipetik FMT.

Memang ada yang membantah, khususnya komuniti bukan Islam yang menyifatkan tindakan Sanusi penindasan dan suatu bentuk buli ke atas mereka. Ada yang kata tindakan Sanusi berkaitan PRN Melaka. Maksudkan bahan kempen.

Walau apa tujuan, motif dan matlamatnya, saya percaya kebanyakkan, kalau bukan semua, ahli PAS menganggapnya satu lagi tindakan berani Sanusi sebagai pemimpin Islam yang “mahu mencegah kemungkaran”.

Bagi saya tindakan itu bagai penyelamat parti – untuk menaikkan air muka PAS yang jatuh dengan langkah kerajaan beberapa hari lalu mengizinkan pembuat arak tempatan untuk terus menggunakan jenama “Timah” ketika PAS mendakwa itu tidak akan berlaku akibat bantahan keras mereka.

Sebelum ini kerajaan Melayu Islam pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang dianggotai PAS, menambah kekerapan cabutan khas atau ‘special draw’ nombor ramalan. Perjudian ini juga PAS dakwa mereka bantah. Tetapi penambahan tetap berlaku.

Langkah mengekalkan nama “Timah” untuk arak dan bertambah jumlah ‘special draw’ ialah tamparan buat PAS dan disifat sesetengah pihak dalam PAS sendiri sebagai “menidakkan kedudukan PAS dalam kerajaan”.

Kita tahu antara pemimpin PAS dalam Jemaah Menteri ialah TImbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Idris Ahmad yang memang jawatan Menteri Hal Ehwal Agama. Tidak kurang yang bertanya sama ada kedua dua tidak “terdaya “ untuk melakukan sesuatu untuk memastikan hasrat PAS tercapai? Terutama Ustaz Idris. .

Kedua keputusan kerajaan khasnya berhubung jenama arak “Timah” tamparan hebat ke atas PAS yang mengaku ia parti tegak Islam. Muncul Sanusi dengan larangan nombor ekor di Kedah. Ini memberi dahan untuk PAS berpaut. Walaupun itu tindakan Sanusi untuk negeri Kedah PAS secara keseluruhan dapat tumpang “glamour”.

Bagi saya tindakan Sanusi menutup aib PAS sedikit sebanyak. Saya anggap beliau wajar dilihat sebagai penyelamat PAS yang sedang dirundung malu dan kesedihan.Oleh itu, Sanusi patut disifatkan bagai wira PAS.

Benar tindakan Sanusi yang direstui PAS dilihat sebagai “extreme” dan pasti menjauhkan lagi PAS daripada orang Melayu Islam ‘moderate”. Apa tah lagi orang bukan Islam. Tetapi bukan kah sasaran PAS golongan Melayu Islam “hard core”? - FMT 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.