`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, November 25, 2021

Tuhan tahu siapa penculik Amri

 

Tuhan tahu siapa penculik Amri Che Mat. Meskipun penculiknya mungkin makan Kaya Lammington di Ben’s KLCC setiap hari Ahad.

Tuhan tahu siapa yang ambil Amri dan meskipun penculik itu rajin sembahyang tahajud malam-malam, Tuhan tetap tahu yang dia telah merampas Amri daripada keluarganya secara diam-diam.

Tuhan tahu siapa penculik Amri yang pada 24 Nov 2016, keluar dari rumahnya untuk menemui seorang sahabat. Tuhan tahu siapa penculik-penculik itu meskipun mereka tidak pernah mengaku apa yang mereka telah perbuat.

Tuhan tahu ada saksi yang melihat lima buah kenderaan menghalang laluan kereta Amri, kira-kira 550m dari rumahnya di Bukit Chabang, Perlis, sebelum beliau diculik dengan ganas. Tuhan tahu meskipun penculik-penculiknya berfikir rahsia mereka itu telah tertutup atau sengaja ditutup dengan kemas.

Tuhan tahu bagaimana penculik-penculik itu tidur malam. Seperti mana Tuhan tahu bagaimana anak-anak Amri merindui ayah mereka di tengah kedinginan malam yang kelam.

Tuhan tahu bagaimana penculik-penculik itu menjamu ketupat dan rendang di pagi hari raya girang gembira bersama-sama isteri, keluarga, dan orang tua mereka. Sebagaimana Tuhan tahu bagaimana rasa ahli keluarga Amri tersedu-sedan di pagi Aidilfitri menanti dan mengharap kepulangannya.

Tuhan tahu siapa yang menculik Amri seperti mana juga Dia Yang Maha Mengetahui itu tahu siapa yang menculik Pastor Raymond Koh di siang-siang hari di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017. Tuhan tahu berapa banyak Perdana Menteri dan kerajaan yang tidak ambil tahu dengan dua kes yang sudah disimpulkan sebagai kehilangan paksa oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam satu inkuiri panjang bermula Oktober 2017.

Tuhan tahu siapa penculik Amri meskipun seandainya Suhakam tidak membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan kedua-dua aktivis sosial, Amri dan Koh. Tuhan itu Maha Melihat dan Dia tidak perlu digertak-gertak kerana Tuhan mempunyai bukti kukuh.

Tuhan tahu siapa penculik Amri sama ada betul atau tidak rumusan Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai, bahawa individu atau kumpulan yang beroperasi dengan sokongan ejen negara telah terbabit dalam penculikan itu. Tuhan tahu betul atau tidaknya meskipun lima tahun sudah berlalu.

Tuhan tahu di mana Saiful Bahari Abdul Aziz yang dipercayai mempunyai maklumat kehilangan Amri. Tuhan tahu betapa panel Suhakam yang menyiasat kes kehilangan Amri telah mendakwa polis melakukan “usaha untuk mengaburkan” dan ia berkait dengan bekas pekerja kontrak Cawangan Khas bernama Saiful Bahari.

Tuhan tahu siapa lagi yang terlibat dengan penculikan ini. Tuhan juga tahu sama ada Amri masih bernafas atau sudah syahid hidup berseri di taman syurgawi. Tuhan tahu semua. Semua tidak tahu betapa Tuhan tidak lupa.

Tuhan benar-benar tahu kalau pun penculik-penculik Amri itu fikir bahawa orang sudah tidak lagi mengingat. Ini kerana Tuhan melihat semua yang berlaku pada malam kehilangan Amri itu dengan penuh minat.

Tuhan menanti penjahat-penjahat yang memisahkan Amri dari keluarganya itu di hari akhirat. Tuhan ingin melihat apakah kelak penculik-penculik dan pelindung mereka itu boleh menunjuk kuat. Di hadapan Tuhan, siapa yang hebat? Yang menjahat, atau Amri?

Tuhan tahu Malaysia bukan China, atau Laos, atau Argentina satu ketika dahulu. Yang mana warganegara mereka hilang diculik hilang lesap tidak diberitahu. Tuhan melihat Ismail Sabri jika ia akan mengambil berat. Tuhan tahu jika ia tidak endah maka doa orang tertindas akan menjadi halilintar mencambuk melibas Ismail berlipat.

Tuhan tahu meskipun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sudah penat kerana berapa banyak insan dihilang paksa sepanjang sejarah kewujudan manusia. Seperti mana Tuhan tahu dan menghimpunkan semua roh-roh mereka yang dihinjak itu menunggu ketibaan masa.

Tuhan tidak lupa walaupun kejadian Amri diculik itu sudah lima tahun, atau nanti enam tahun, atau menjadi sepuluh, dua puluh dan seratus tahun. Tuhan tidak lupa walaupun nanti ditakdirkan isteri Amri meninggal dunia tanpa sempat berjumpa suaminya pun.

Tuhan masih melihat gerak-geri penculik-penculik Amri. Tuhan melihat mereka itu saban hari, ke mana sahaja mereka pergi. Tuhan juga memandang kepada mereka yang memerintah atau mengeluarkan arahan. Tuhan juga sedang merenung mereka yang mendorong dan bertanggungjawab mengusulkan.

Tuhan mendengar permintaan dan doa rintih syahdu teman dan sahabat Amri. Tuhan pasti mengabulkan segala hajat dan keperluan mereka yang menyayangi Amri kerana Tuhan berpihak kepada makhluknya yang berselawat kepada Nabi.

Tuhan telah menghukum perdana menteri korup yang mana ketika dia memerintah itulah Amri dihilangkan secara paksa. Tuhan telah menghukum kerajaan yang menggantikannya kerana selepas Amri itu hilang, kerajaan yang bersumpah atas nama ‘rule of law’ itu tidak berbuat apa.

Tuhan juga menghukum kerajaan pimpinan pengkhianat yang menjatuhkan kerajaan yang bersumpah atas nama ‘rule of law’ itu kerana dia adalah menteri yang kononnya menubuhkan pasukan petugas khas menyiasat apa yang terjadi. Tuhan akan menghukum kerajaan sekarang yang juga tidak pernah kedengaran peduli.

Ini kerana Tuhan tahu dan mendengar rintih doa Norhayati Mohd Arifin, isteri Amri yang mengalunkan suaranya di malam hari agar siapa yang menyimpan suaminya diazabkan. Tuhan mendengar doa orang-orang tertindas dan Tuhan akan menimpakan kecelakaan kepada penguasa yang berbuat kezaliman.

Tuhan adalah Tuhan Yang Maha Membalas kepada semua yang dizalimi. Tuhan akan bertanyakan ulama, mufti, dan agamawan di mana mereka kerana mereka sering mengaku Tuhan adalah Tuhan mereka, sedangkan bersekongkol dengan penjahat.

Tuhan tahu siapa yang menculik Amri. Tuhan menghantar malaikat yang akan merentap nyawa penculik Amri dan malaikat itu sedang mengendapkan mereka agar dapat memulas roh keluar dari jasad mereka dengan rentap yang cepat. Hanya penculik itu tidak menyedari dalam ketawa dan gelak ingkak mereka bahawa malaikat maut sedang demikian dekat di tenggorokan membawa api menyala.

Tuhan akan menghukum setiap perdana menteri dan kerajaan yang mengabaikan penculikan warganya. Tuhan tidak akan memberkati wewenang kalian yang diperolehi atas tangis dan air mata.

Tidakkah penculik-penculik itu percaya, yang Tuhan benar-benar tahu siapa yang menculik Amri Che Mat?

Tuhan tidak akan mengampuni penculik Amri walaupun mereka pura-pura dalam doa sembahyang memanjat taubat. Tuhan tahu siapa penculik Amri. Meskipun penculiknya mungkin makan Kaya Lammington di Ben’s KLCC setiap hari Ahad. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.