`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, April 28, 2022

Khemah Amanah dan Umno Kelantan?

 

Terdapat satu laporan tentang khabar angin bahawa sebuah pasukan signifikan dalam Umno sedang menjalinkan kerjasama dengan Amanah untuk mengambil kerajaan Kelantan daripada PAS. Sekiranya ini benar, pertamanya kita perlu memuji usaha ini kerana ia dilakukan bukan secara tebuk atap atau pintu belakang, dan mengambil mandat pengundi secara tidak sah; seperti yang dilakukan oleh PAS Pusat ketika Langkah Sheraton. Tindakan berdosa PAS bekerjasama dengan Umno, pengkhianat daripada Bersatu dan PKR, serta jalinan parti di Malaysia Timur ketika itu telah menyebabkan pilihan yang dilakukan oleh rakyat pada 2018 ketika PRU14 dipersetankan.

Kononnya pemimpin Umno Kelantan iaitu Tengku Razaleigh atau Ku Li ingin melakukannya secara terang – bukan dalam gelap – dan memilih Amanah sebagai rakan kerjasama.

Untuk rekod, PAS yang memerintah Kelantan hari ini bukan lagi PAS seperti bawah teraju Nik Abdul Aziz Nik Mat. PAS yang menguasai Kelantan dan bekerja dengan ‘penyangak’ di peringkat persekutuan adalah PAS yang sudah lari dari perjuangan, selain menggunakan aneka instrumen untuk ‘menghalalkan’ perbuatan tersebut.

Sekiranya jalinan Amanah dan Umno Kelantan menjadi kenyataan ia membawa kita kepada satu lagi percaturan politik yang unik, terjadi di peringkat daerah atau rantau. Ini bermakna Umno dan Amanah Kelantan akan mengambil sikap berbeza dengan pendirian pimpinan di peringkat pusat demi menawarkan pilihan alternatif kepada pengundi di situ.

Hal ini perlu dilihat sebagai satu ‘kematangan berpolitik’ di mana pimpinan peringkat daerah dan rantau memberi signal kepada kemudi parti bahawa untuk wilayah mereka, strategi khemah lain diperlukan. Bahawa mereka berhak menentukan sendiri apa yang mesti dilakukan. Maka hanya dengan ini kebuntuan dapat diakhiri.

Kebuntuan ini perlu dipecahkan kerana di Kelantan, kepimpinan PAS telah mendatangkan keresahan yang lama buat rakyat Kelantan. Mereka, iaitu rakyat Kelantan seolah-olah hidup dalam tebusan di cekam pengundi yang hidup di perantauan. Kebanyakan pengundi luar Kelantan inilah dalang yang memberikan lagi dan lagi nyawa kepada PAS. Padahal rakyat Kelantan yang menetap di negeri tersebut amat muak dan mual dengan PAS.

Ini kerana PAS gagal menyediakan peluang pekerjaan sehingga anak-anak Kelantan mengendeng peluang pekerjaan rakyat di Selangor dan Pulau Pinang. Pentadbiran kerajaan negeri bawah PAS Kelantan nampaknya sudah tepu dan perlu direhatkan. Mereka tidak lagi kreatif. Tidak perlu kita melihat jauh, kegagalan PAS menangani isu air kotor yang tidak boleh digunakan untuk minuman atau basuhan kekal menghantui rakyat negeri tersebut. Bahkan masalah pembalakan berleluasa yang membawa kepada ancaman bencana alam masih belum diputuskan meskipun terdapat bermacam janji ditabur.

Sepertinya, formula di pusat mustahil dilaksanakan di Kelantan. Untuk mengambil Kelantan, Umno suka tidak suka perlu berkhemah dengan Amanah, demikian juga Amanah yang ingin menawar diri sebagai ganti PAS perlu menerokai kemungkinan berpakat dengan Umno. Harus diingatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai mujtahid politik sendiri pernah bekerja dengan Ku Li iaitu di mana terbentuknya kerajaan PAS-Semangat 46 pada 1990.

Oleh demikian strategi khemah Umno dan Amanah Kelantan ini akan ketiganya, bakal membuka jalan kepada ‘strategi atau khemah wilayah’ yang boleh dipraktikkan oleh negeri-negeri lain seperti Sabah, Kedah, Johor, dan Perak. Di beberapa buah negeri seperti Perak, komposisi kerusi yang ada menyukarkan penguasaan 2/3 Dewan Undangan Negeri. Ini mungkin dibaca sebagai satu ketidakstabilan. Kebanyakan negeri seperti Kedah, Perak, dan Negeri Sembilan, koalisi parti politik yang memerintah hanya memiliki kelebihan satu dua kerusi. Keyakinan untuk menjalin hubungan di peringkat wilayah dengan mengabaikan apa-apa kesepakatan di peringkat pusat boleh memberikan kebaikan kepada rakyat masing-masing.

Pengundi atau penduduk Perak sebagai contoh boleh beroleh kerajaan yang ideal di mana kerjasama parti-parti (yang tidak korup dan khianat) boleh dipateri. Untuk menjadikan ini kenyataan ahli politik (secara individu) dari kedua belah pihak boleh membina blok baharu ini sebelum PRU15 diserukan. Ini untuk mengelak penipuan kepada aspirasi rakyat. Usaha kerjasama ini juga boleh mengambil kira individu-individu berbeza yang dapat ditanggapi ‘bersih’.

Di Sabah atau Johor, DAP boleh mengambil kira kemungkinan berkhemah dengan Pejuang, Warisan, dan Muda. Malah tidak keterlaluan untuk mereka membawa masuk PSM di kawasan yang berpotensi. Dalam erti kata lain seruan khemah besar pembangkang itu boleh sahaja menjadi beberapa khemah kecil dengan kenyataan-kenyataan yang berwarna-warni dan tidak semestinya akur dengan formula khemah di pusat.

Jika cara atau pendekatan khemah wilayah ini digunapakai di Kedah, terdapat juga kemungkinan PAS Kedah diketepikan secara sah dalam PRU.

PRU15 mestilah dihadapi dengan percaturan dan strategi perang yang berkesan, unik, cekatan, dan nekad. Sekiranya pertimbangan khemah wilayah atau rantau ini diambil kira kita akan mendapati kerajaan campuran pelbagai kepala di peringkat pusat mahupun negeri. Tidak mustahil di Johor, akan ada khemah antara Bersatu, Muda, Amanah, dan DAP. Manakala di Pulau Pinang yang mungkin terancam ketepuan kepimpinan DAP yang sudah lama, boleh sahaja DAP bekerja dengan Warisan dan Muda. Ini kerana khemah Pakatan Harapan tidak selamanya selamat di Pulau Mutiara itu.

Tidak ada dan tidak mesti ada satu gabungan politik yang tetap. Ini kerana politik adalah seni memanfaatkan perubahan demi kebaikan rakyat. Untuk ini menjadi kenyataan parti-parti politik sedia ada perlu dan mesti mendorong mereka yang berjiwa besar untuk duduk semeja sekerusi. Pemimpin perlu berjiwa besar untuk menolong rakyat.

Tidak ada yang lebih benar dan jujur pada kenyataan Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed mengenai hal ini yang menyatakan, “Parti politik hanya satu persaingan untuk menawarkan apa yang terbaik yang boleh dilakukan. Agama, perkauman dan pelbagai tawaran hanya perasa dan penghias hidangan yang boleh menyebabkan pengundi terpedaya dan tersilap pilih.”

Kata-kata di atas tersangat benar dan penuh hikmah, jauh lebih jujur dari jalan tebuk atap yang dilakukan oleh PAS Pusat. -FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.