`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, May 18, 2023

Cerita Melayu oleh Melayu

 

Jika anda beritahu saya bahawa saya sedang ditipu secara terang-terangan akibat sikap lalai dan jahil saya sendiri, ia bermakna anda anggap saya seorang yang tidak sedar saya sedang ditipu lalu membiarkan diri ditipu kerana lalai dan jahil.

Dalam lain perkataan, anda melihat saya sebagai orang tidak peka, tidak peduli diri ditipu, malah tidak cerdik atau mungkin juga bodoh sehingga tidak tahu diri sedang ditipu dengan terang dan juga mengizinkan penipuan ke atas saya dijalankan. Itu sebabnya anda berkata saya sedang ditipu akibat kelalaian dan kejahilan sendiri.

Mungkinkah itu anggapan Hadi Awang apabila beliau berkata menerusi hantaran di media sosial tempoh hari bahawa “kaum Melayu dipermain-mainkan dan ditipu secara terang-terangan dalam kejahilan dan kelalaian mereka.”

Berkata pula sekutu beliau, Dr Mahathir Mohamad (yang dulu seterunya, kemudian sekutu, jadi seteru semula, dan kini sekutu) bahawa “orang Melayu tak sedar masalah menimpa mereka”, ketika menyenaraikan 12 masalah orang Melayu dalam Proklamasi Orang Melayu anjurannya.

Bolehkah disimpulkan ketika berkata orang Melayu tidak sedar juga menganggap orang Melayu lalai, jahil, tidak cerdik, atau tidak peduli tentang masalah yang menimpa mereka, atau amat bodoh sehingga masalah yang menimpa pun mereka tidak sedar?

Mahathir terkenal dengan pendapat “Melayu malas”. Untuk sekian lama dan berulang kali beliau menegaskan orang Melayu malas dan tidak mahu kerja keras. Banyak kali kita dengar kata-kata Mahathir bahawa “Melayu tidak sanggup buat kerja berat dan kasar kerana berasa ia pekerjaan hina dan berpendapatan rendah”.

Perlu ditegaskan artikel ini tidak berhasrat memutuskan sama ada pendapat Mahathir itu betul atau tidak. Bukan juga untuk mengupas mengapa beliau berkata apa yang beliau kata. Artikel ini sekadar berkongsi sedikit sebanyak apa yang pernah dikatakan beliau seperti dilapor media.

Pada September 2019 ketika membuat catatan dalam blognya, Mahathir berkata Melayu masih malas dan rela menyerahkan segala kerja kepada bangsa asing. Namun Mahathir pernah memohon maaf (jika ia boleh disifatkan demikian) kerana melekatkan label ‘malas’ ke atas orang Melayu. Umpamanya pada September tahun lalu, beliau dipetik media berkata “Saya minta maaf. Orang Melayu rajin. Tetapi masalah boleh diatasi dengan saya minta maaf? Kalau kerana saya minta maaf orang Melayu jadi kaya, baik saya minta maaf. Itu kalau nak.”

Mahathir pernah menyifatkan kegagalannya yang terbesar ialah tidak berjaya mengubah sikap malas orang Melayu. Beliau dipetik berkata, “saya sudah lakukan bermacam-macam, merayu, berdoa tetapi tidak berjaya.”

Ads by Kiosked

Penjajah Inggeris pun ada menyifatkan orang Melayu sebagai pemalas. Lantas gelaran “the lazy natives”. Kata mereka Melayu malas untuk kerja di lombong bijih timah dan estet getah. Itu digunakan untuk menjustifikasi langkah membawa tenaga kerja dari China dan India. Namun ada pendapat mengatakan orang Melayu ‘malas’ kerja di lombong dan estet kerana tidak mahu Inggeris mengaut keuntungan hasil titik peluh mereka. ‘Kemalasan’ mereka, kata sesetengah pihak, tindakan boikot. Protes secara senyap, lawan tanpa keganasan. Betul begitu? Waullahualam.

Oleh kerana Mahathir menganjurkan Proklamasi Orang Melayu dan Hadi menyokongnya demi ‘menyelamatkan orang Melayu’, bolehkah digabungkan pendapat mereka mengenai orang Melayu seperti berikut: “Dah lah malas, jahil pulak tu”?

Mahathir mendakwa Proklamasi Orang Melayu yang dibawanya bukan langkah politik. Begitu juga Hadi dalam menyokong tindakan Mahathir itu. Saya bagaimanapun tidak dapat elak daripada percaya apa yang dilakukan ialah langkah politik bertujuan menjatuhkan kerajaan dan mengambil alih kuasa memerintah negara.

Pilihan raya akan diadakan di enam negeri tidak lama lagi. Jangan nafi bahawa mereka mahu sokongan orang Melayu di peti undi – komuniti sama yang mereka anggap malas, lalai, dan jahil. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.