`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 28, 2023

Menteri cadang pusat mediasi, selesai pertikaian Islam, bukan Islam

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Mohd Na’im Mokhtar, berkata pusat mediasi itu dicadang ditubuhkan bagi mengelak perseteruan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar mencadangkan satu pusat mediasi di luar konteks mahkamah ditubuhkan bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan orang Islam dan bukan Islam.

Beliau berkata, proses mediasi itu adalah berbentuk tidak formal dan memerlukan satu platform bersesuaian untuk dilaksanakan bagi membantu pihak yang terlibat selain daripada konteks mahkamah.

“Hal ini kerana melibatkan pertikaian antara orang Islam dan bukan Islam iaitu bapa yang bukan Islam dan ibu serta anak beragama Islam, tanpa memprejudiskan mana-mana pihak…selain membabitkan dua mahkamah berbeza iaitu sivil dan syariah.

Ads by Kiosked

“Kita tidak mahu mana-mana pihak mengambil peluang ini hingga menyebabkan berlaku perseteruan serta ketidaktenteraman. Kita mahu lahirkan masyarakat bersatu padu dan saling memahami,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenalkan al-Quran terbaharu terbitan Karya Bestari, Grup Buku Karangkraf sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-40.

Beliau berkata demikian mengulas kes perebutan hak penjagaan anak selepas video rakaman tular di media sosial baru-baru ini memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun terpaksa berpisah selepas Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan hak penjagaan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya.

Difahamkan kanak-kanak itu merupakan anak kepada pasangan Orang Asli yang bercerai dan dijaga ibunya yang memeluk Islam namun menjadi mangsa perebutan hak jagaan.

Mahkamah Tinggi Kuantan pada Khamis lalu memerintahkan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada bapanya yang bukan beragama Islam menerusi perintah habeas corpus.

Na’im bagaimanapun berkata, penubuhan pusat mediasi itu masih memerlukan kajian lanjut oleh pihak berwajib agar ia boleh dilaksanakan sama ada di bawah mahkamah sivil atau sebaliknya.

“Apa yang paling penting pengantara yang dilantik dalam proses mediasi itu mestilah terdiri daripada gabungan pakar undang-undang syariah, pakar undang-undang sivil dan pakar kanak-kanak. Saya yakin dengan cara informal ini dapat menyelesaikan masalah secara adil serta kepentingan kanak-kanak tersebut dijaga,” katanya.

Ads by Kiosked

Ajaran sesat

Sementara itu, mengulas mengenai video ajaran sesat didakwa melibatkan sebuah sekolah pondok atau pesantren di negara jiran yang tular di media sosial, Na’im berkata satu jawatankuasa pakar syariah akan dibentuk secepat mungkin oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) untuk mengkaji pesantren itu.

“Kajian ini akan dibawa kepada jawatankuasa muzakarah dan seterusnya jawatankuasa ini akan bersidang dan membuat keputusan. Satu cadangan akan diserahkan kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk memutuskannya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan satu majlis agama berunsurkan ajaran sesat di sebuah pesantren di negara jiran yang menyanjung Israel dan didakwa turut disertai ramai rakyat Malaysia sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan warganet. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.