`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 21, 2023

Muhyiddin pun pernah minta rakyat sokong DAP

 

Sheikh Umar Bagharib Ali berkata walaupun Muhyiddin Yassin berasa ‘luar biasa’ untuk Umno meminta ahlinya menyokong DAP, namun ia bukan penghalang bagi parti dalam kerajaan perpaduan menerokai naratif baharu politik. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali membidas Muhyiddin Yassin berhubung sikap bingung yang dizahirkan apabila ada pemimpin Umno minta ahlinya menyokong DAP pada PRN akan datang.

Sheikh Umar Bagharib berkata, beliau pelik kerana pengerusi Perikatan Nasional itu sebelum ini pernah mengajak rakyat menyokong DAP.

Katanya, walaupun Muhyiddin rasa ‘agak luar biasa’ mengenainya, namun ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang ganjil bagi beliau yang juga presiden Bersatu.

“Ini kerana, beliau sendiri pernah berkempen agar menyokong DAP. Dalam satu ucapan pada Januari 2018, beliau pernah memberitahu prinsip Bersatu, siapa bertanding atas Pakatan Harapan, DAP, Amanah atau PKR, kita sokong 100%.

“Pada ketika itu beliau begitu yakin, setelah terbuang dari Umno, Bersatu dan Pakatan Harapan telah menjalin kerjasama. Hasilnya, Pakatan Harapan menang dalam PRU14,” katanya dalam kenyataan lapor Sinar Harian.

Sheikh Umar berkata, kali ini gabungan 19 parti telah bermuafakat untuk merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah agar sebuah kerajaan perpaduan dibentuk pasca PRU15.

“Justeru, seruan untuk mengukuhkan kerajaan ini adalah penting bagi memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi Malaysia. Ia termasuklah dalam berdepan PRN akan datang.

“Jadi walaupun Muhyiddin rasa ‘luar biasa’, ia bukanlah batu penghalang untuk parti-parti dalam kerajaan perpaduan menerokai naratif baharu politik rentas parti bagi mengekalkan kestabilan dalam pentadbiran kerajaan hari ini,” katanya.

Muhyiddin Yassin semalam menyifatkan tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Ahmad Maslan meminta ahli parti itu mengundi calon DAP pada PRN di enam negeri akan datang adalah janggal dan luar biasa.

Beliau berkata, bagaimanapun ia terserah kepada ahli parti sama ada mahu menuruti arahan tersebut atau tidak memandangkan Umno dianggapnya sudah tidak berlandas kepada perjuangan asal. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.