PETALING JAYA: Tiada kebocoran berlaku melibatkan pangkalan data mahasiswa sebaliknya ia hanya melibatkan maklumat pemohon kemasukan ke institusi itu yang boleh diakses oleh calon sahaja, kata Naib Canselor UiTM, Roziah Mohd Janor.
Katanya, maklumat dan platform dalam talian itu tidak boleh diakses secara umum kerana alamatnya diberikan kepada calon memohon kemasukan ke UiTM dalam bidang pendidikan.
“Bagaimanapun, ia cepat ditarik balik. Tentu sudah ramai orang tahu, itu pun bukannya dibuat untuk orang awam. Jadi, ada individu berkaitan dengan calon, memaklumkan di media sosial.
“Cuma silapnya di situ (dedah maklumat) tetapi bukan menggunakan sistem UiTM. Itu saya hendak jelaskan kerana orang sebut itu sistem UiTM, tetapi bukan sebenarnya.
“Malah, ia bukan pengkalan data maklumat mahasiswa kita,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, pangkalan data mahasiswa dilaporkan bocor selepas seorang pengguna Twitter mendedahkan tangkap layar sistem tersebut yang memaparkan senarai nama pemohon kursus Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL), UiTM.
Maklumat tersebut didakwa terdedah apabila calon berkenaan hendak mengesahkan maklumat peribadinya bagi menduduki ujian kelayakan memasuki bidang tersebut.
Dalam pada itu, Roziah menjelaskan, sistem tersebut diwujudkan oleh Fakulti Pendidikan bagi menyaring 12,000 calon kemasukan melalui ujian dalam talian yang perlu diduduki untuk menentukan kelayakan sebelum dipanggil temuduga.
“Fakulti Pendidikan UiTM cuba berlaku adil untuk memberi ruang kepada semua 12,000 pemohon melalui saringan objektif. Jadi mereka buat satu inisiatif inovasi menggunakan teknologi saringan dalam talian.
“Jadi apa yang berlaku, mereka hendak pastikan calon yang benar-benar memohon itu yang pergi ke laman web disediakan. Jadi, itu maklumat didedahkan kepada mereka (secara tidak sengaja),” ujarnya.
Katanya lagi, disebabkan isu tersebut juga, UiTM menangguhkan ujian saringan tersebut ke satu tarikh lain sementara pegawai terlibat membaiki sistem berkenaan dan menyelesaikan isu teknikal. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.