`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Monday, May 1, 2023

Sasar 400 anak Orang Asli masuk universiti, kata TPM

 

KUALA LIPIS: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan sekurang-kurangnya 400 anak Orang Asli akan melanjutkan pengajian di universiti awam atau institusi pengajian tinggi swasta tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata, ia merupakan sasaran terbaharu, selepas sasaran 300 anak Orang Asli ke menara gading ditetapkan sebelum ini tercapai.

Katanya, beliau yakin jumlah itu boleh dicapai berdasarkan potensi besar anak-anak Orang Asli serta pelaksanaan pelbagai program pembangunan kerajaan.

Selain itu, Zahid berkata, pihaknya turut bercadang memberi sagu hati RM1,000 menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) kepada setiap pelajar yang berjaya menjejakkan kaki ke menara gading.

“Saya melihat potensi besar dalam kalangan Orang Asli, kita jangan meremehkan keberadaan mereka dalam masyarakat kita di Malaysia,” katanya semasa berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Badan Perhubungan Umno Pahang di Laman Sejahtera Sungai Koyan.

Majlis dihadiri Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail yang juga naib presiden Umno selain dimeriahkan dengan kehadiran lebih 10,000 tetamu dari pelbagai lapisan masyarakat.

Selain aspek pendidikan, Zahid juga memberi jaminan kerajaan akan terus menambah baik kemudahan infrastruktur di perkampungan Orang Asli termasuk kemudahan air dan elektrik serta perumahan menerusi peruntukan Jakoa dan KKDW.

Beliau yang juga presiden UMNO turut memberi jaminan akan menjaga kebajikan seluruh masyarakat di desa.

“Mudah-mudahan dengan peruntukan RM11.08 bilion kepada KKDW, ia akan digunakan sebaiknya untuk membantu memajukan masyarakat desa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.