`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, May 27, 2023

‘Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’ tema Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

 

Fahmi Fadzil (tiga dari kanan) pada majlis pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 di Esplanade Taman KLCC hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan” dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema itu sejajar tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Katanya, ia juga didukung konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama, yang diinspirasikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bagi memastikan rakyat mengecapi semua bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.

Ads by Kiosked

“Pemilihan tema ini hasil kerjasama strategik dan kesepakatan pasukan panel pemikir terdiri daripada 16 pakar pelbagai bidang, antaranya ahli akademik, tokoh budaya, pengamal media, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, ikon belia dan pempengaruh media sosial.

“Seiring aspirasi tersebut, suka saya umumkan logo Malaysia Madani turut dipilih menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023,” katanya ketika melancarkan logo dan tema HKHM 2023 di Esplanade Taman KLCC.

Fahmi yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023 berkata, logo menggambarkan “tangan diangkat” ialah simbolisme kepada ikrar Rukun Negara, manakala warna digunakan adalah warna asas Jalur Gemilang, lambang kepada jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia.

Sempena pelancaran hari ini, beliau menyeru semua pihak mengguna, memapar dan menularkan logo serta tema HKHM di semua platform sebagai menzahirkan tanda cinta kepada negara, selain membantu usaha mempromosi dan menyebarluaskan erti sambutan HKHM.

“Semua agensi kerajaan serta rakan sektor swasta dan NGO turut digalakkkan bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara melalui penganjuran program sempena HKHM 2023 pada peringkat organisasi dan komuniti masing-masing.”

Katanya, tiga aktiviti utama akan diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, iaitu pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 15 Julai di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh diikuti Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept di Kuching. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.