PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad menyeru Perikatan Nasional (PN) membuang dasar “berpartian” bagi mempamer semangat penyatuan Melayu lebih mampan dan menyeluruh.
Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Khairuddin Abu Hassan, berkata sukar menyatupadukan orang Melayu menerusi parti politik.
“Melalui pendekatan berpartian sukar untuk menyatupadukan Melayu tetapi atas dasar Melayu secara ‘non partisan’ lebih senang untuk menyatupadukan orang Melayu,” katanya kepada FMT.
Khairuddin berkata: “Tun M menasihati semua pihak letak ke tepi kepentingan parti politik masing-masing, tetapi tumpu hanya pada kepentingan ‘orang Melayu’ semata-mata jika mahu melihat bangsa Melayu bersatu padu semula secara menyeluruh.”
Beliau berkata, “kesepakatan” pendirian itu dicapai Mahathir dengan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam pertemuan hampir sejam di rumah bekas perdana menteri itu, semalam.
Katanya, peranan orang Melayu untuk terus memperkuatkan PN juga dibincangkan dalam pertemuan itu.
“Ini kerana ‘tsunami’ undi Melayu kini bersama PN. Kedua-dua tokoh pemimpin ini turut menyatakan bangsa Melayu adalah kalangan yang baik dan akan terus menghormati hak kaum lain tanpa mengganggu-gugat kedudukan kaum lain di tanah air kita.
“Kaum lain juga tidak perlu mempercayai dengan dakyah tidak berasas yang mentohmah kononnya ‘gelombang hijau’ merupakan ancaman kepada kaum mahupun agama lain,” katanya.
Sementara itu, setiausaha politik Hadi, Syahir Che Sulaiman, berkata antara perkara lain disentuh adalah usaha menggerakkan NGO dan tokoh berpengaruh bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.
“Ada disentuh tentang proklamasi dan juga usaha untuk menggerakkan NGO dan tokoh-tokoh bersama,” katanya.
Terhadulu, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkongsi gambar pertemuan antara Mahathir dengan Hadi semalam di laman sosialnya.
Pertemuan itu turut dihadiri Khairuddin, Shahir, dan bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.