`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, September 21, 2023

Cemas tiada beras

Kelangkaan stok atau bekalan beras import di pasaran tempatan mutakhir ini bukanlah suatu yang baharu terjadi. Malah, pada 2008, dunia termasuk Malaysia mengalami krisis makanan yang nyaris sama. Ketika itu sudah terdapat kajian mengenai implikasi dari sudut keselamatan makanan akibat penggantungan yang tinggi pada sumber makanan import.

Kenaikan harga beras yang mendadak di pasaran dunia pada 2008 itu akhirnya dikesani kerana penyusutan nilai dollar Amerika serta kenaikan harga mendadak komoditi lain termasuk petroleum dan urea. Hal yang sama boleh terjadi lagi.

Soalnya, adakah kita telah belajar dari krisis 2008 tersebut atau tidak?

Pada tahun-tahun 1970-an, isu keselamatan makanan lebih banyak diperkatakan seputar aspek-aspek kecukupan dari sudut penawaran. Ketika itu juga aspek permintaan (yakni kemampuan mengakses) tidak begitu diberikan perhatian. Perhatian hanya berubah apabila krisis makanan melanda dunia pada awal 1980-an, lantas membuatkan Food and Agriculture Organization (FAO) mendefinisikan semula konsep keselamatan makanan.

Ekoran itu, konsep keselamatan makanan dibahagikan kepada tiga komponen merangkumi kecukupan pengeluaran makanan; kestabilan bekalan makanan; dan akses fizikal serta ekonomi oleh kumpulan yang memerlukan. Kemudian, konsep ini dihuraikan lagi untuk merangkumi pula empat komponen iaitu Kesediaan Makanan (Food Availability), Akses Makanan (Food Access), Penggunaan Makanan (Food Utilization), dan Kestabilan Makanan (Food Stability).

Oleh sebab beras (bermacam jenis nasi di negara ini) makanan ruji bagi majoriti rakyat maka beras dengan itu dilihat sebagai komoditi strategik kepada negara dari sudut kebolehdapatan, akses, utilisasi, dan kestabilan bekalan. Orang Malaysia sangat menggunakan nasi-beras.

Negara ini sedaya upaya menjamin keselamatan makanan seperti boleh dicerna dan ditekuni dalam dokumen Rancangan Malaya dan Rancangan Malaysia bagi setiap lima tahun, Dasar Pertanian Negara, Dasar Jaminan Makanan, Model Baru Ekonomi Malaysia (untuk Sektor Pertanian), Dasar Agro-Makanan bagi tempoh 2011 hingga 2020; dan terkini Rancangan Malaysia ke-12.

Cumanya, adakah kita mengorak langkah yang betul, dan adakah ia dilaksanakan dengan bersih tanpa korupsi?

Masalah Malaysia ialah kos membeli beras import jauh lebih kompetitif secara relatif berbanding kos menghasilkan beras tempatan. Makanya keselamatan makanan kita sangat bergantung terhadap sumber import yang boleh terancam oleh ketidakstabilan harga beras di pasaran dunia pada setiap masa. Ini pasti memberi kesan kepada perbelanjaan pihak kerajaan dan tentu terhadap kita pengguna sekiranya Malaysia terus-terusan meletakkan kebergantungan yang tinggi pada sumber beras import.

Hal demikianlah yang menjadikan ramai dalam kalangan kita berasa cemas oleh ketiadaan beras di pasaraya dan kedai runcit. Ini lantaran kecukupan beras (dalam hal ini keselamatan makanan) menjadi tebusan kepada ketidakstabilan bekalan, permintaan yang semakin meningkat, dan kuantiti dagangan beras di pasaran antarabangsa yang kecil menyebabkan harga beras sering mengalami turun naik.

Suka atau tidak, kita memerlukan komitmen agar pengeluaran beras tempatan ditingkatkan bagi memastikan bekalan beras negara mencukupi. Setakat ini tidak dinafikan, kerajaan melakukan aneka usaha untuk mengukuhkan industri padi dan beras negara melalui strategi peningkatan produktiviti, pengurusan stok penimbal yang cekap, dan pengukuhan institusi berkaitan.

Akan tetapi kita juga perlu sangat-sangat memahami, strategi di atas masih belum menjamin keselamatan makanan kita. Malaysia mengalami pertambahan penduduk (sama ada kerana berkembangnya populasi rakyat atau kedatangan warga asing sebagai pekerja). Ini seterusnya mendorong peningkatan penggunaan beras meningkat sehingga 2.69 juta tan metrik pada 2020.

Oleh sebab itu ekonomis dalam hitung kira keterjaminan atau keselamatan makanan bukan sahaja perlu melihat soal produktiviti dan kualiti padi dan beras; tetapi juga cakna mengkaji strategi keberkesanan penggunaan mekanisasi dan automasi, selain mempergiat penggunaan bahan sampingan padi. Ini juga dibantu oleh kerja dan gerakan untuk memperkukuh pengurusan stok penimbal beras. Pihak kerajaan juga boleh menstruktur insentif dan subsidi padi dan beras dan tentu sahaja memperkukuh pengurusan institusi padi dan beras.

Dasar Agro Makanan Negara (2011-2020) telah berakhir, dan hasilnya kita lihat pada 2023 ini. Memang tidak adil menuduh ia gagal, tetapi masih banyak ruang boleh diperbaiki. Dasar-dasar kerajaan dekad lalu khusus di era Dr Mahathir Mohamad yang terlalu memberi tumpuan kepada industri berat, perkilangan, dan kurang memerhatikan sektor pertanian mendorong kita terlalu bergantung kepada import makanan ini.

Ads by Kiosked

Sebetulnya tiada yang salah untuk mengimport. Sesebuah negara mengimport makanan atas bermacam-macam alasan seperti mendapatkan barangan makanan yang bukan hasil tempatan. Atau untuk memenuhi permintaan pengguna yang berubah-ubah di mana hari ini masyarakat B40 juga mengakui membeli dan menggunakan beras import kerana mahu mendapatkan produk yang berkualiti lebih tinggi dan menyihatkan. Kita juga mengimport makanan dengan tujuan mendapatkan input untuk pengeluaran tempatan yang mana terpakai dalam hal stok makanan ternakan. Sesebuah negara juga mengimport makanan kerana mahu mendapatkan barangan yang sama pada harga yang secara relatif lebih murah.

Oleh itu, pihak kerajaan harus memahami bahawa kekurangan bekalan beras ini tidak semestinya berlaku kerana pembelian panik daripada pengguna. Akan tetapi bekalan beras memang akan terus tidak memadai lantaran kita terlalu banyak berbelanja membeli beras luar (yang berisiko seperti diterangkan lebih awal).

Sekiranya hal paling dasar dan akar ini tidak ditangani, kita akan terus berdepan dengan krisis makanan tahun demi tahun mendatang. Mujur pentadbiran Anwar Ibrahim nampaknya menyedari kesuntukan ini memandangkan import barang-barang makanan ke Malaysia dalam lingkungan RM75 billion, sedang eksport pula di sekitar RM40 billion yang menunjukkan ketidakseimbangan. Maka usaha memperkenalkan barangan buatan Malaysia khasnya dalam pemakanan perlu digiatkan.

Putrajaya perlu menjalin hubungan terus-terusan yang baik dengan Sabah dan Sarawak. Ini kerana Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohd Sabu gesit mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Jeffrey Kitingan demi membincangkan penanaman padi berskala besar di negeri itu. Dikhabarkan kerajaan akan bekerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan perkara ini khusus dalam hal melibatkan teknologi dan kaedah pertanian yang canggih dan tepat.

Dalam erti kata lain, keterjaminan dan keselamatan makanan kita juga akan bergantung kepada kestabilan kerajaan pusat. Jika usaha untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan tidak berhenti-henti, tidak mustahil apa-apa yang ingin dilakukan akan tergendala atau disabotaj. Hal ini penting difahami kerana rakyat lapar ialah rakyat yang marah. Ketiadaan beras boleh mendorong kecemasan-kecemasan yang lain.

Ahli-ahli Dewan Rakyat yang dilantik oleh majikannya iaitu kami rakyat perlu ke Parlimen untuk berbincang memberikan idea kreatif, berfikir, dan menganalisis untuk mencari penyelesaian masalah. Bukannya bergaduh, yang mana si muda tidak sudah-sudah merengek persis bayi kehilangan tetek; manakala yang tua terlolong-lolong perasan ibarat puaka dan langsuir polong. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.