Bergema-gema lagi kedengaran suara lantang Anwar Ibrahim ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat kelmarin.
Semalam pula, media sosial sarat memuatkan klip-klip video, daripada pendek kepada yang panjang, petikan ucapan perdana menteri dikategorikan daripada ulasan berkaitan RMK12, DNAA Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi hinggalah kepada serangan terhadap dirinya dan kerajaan perpaduan pimpinannya.
Namun, apa yang bermula dengan tenang, termasuk ulasannya mengenai “hari ini kita menang, esok harga minyak turun” seperti dibangkitkan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, tuduhan zalim dalam peruntukan persekutuan kepada negeri, terutama dikuasai pembangkang – Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis – berbanding bawah kerajaan PN sebelumnya dan soal peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang hanya sementara.
Sesudah beberapa celahan dan gangguan daripada blok pembangkang, Anwar juga menyatakan beliau mahu memberi penjelasan berkait Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan membabitkan dua tajuk penting, DNAA dan pendakwaan isu 3R.
“Selalunya dalam RMK12, perdana menteri tidak jawab tetapi oleh kerana ada permintaan yang ramai daripada ahli-ahli yang berhormat, terutama mengenai DNAA, saya pilih untuk jawab. Ia tidak memuaskan semua pihak kerana mereka menyatakan bahawa ini adalah sesuatu hal yang baru yang seolah-olah perdana menteri campur.
“Kita cakap hukum, kita cakap keadilan tapi kita boleh menghukum orang hanya dengan andaian. Larut (Hamzah) tanya apakah saya berbincang (mengenai kes DNAA Zahid). Bila peguam negara buat keputusan, saya tanya dia apa alasan, dia beri 11 alasan, bukannya bincang.
“Apakah saya berbincang? Bila peguam negara buat keputusan, saya tanya dia, (itu) betul. Saya bukan bincang keputusan dia, saya tanya dia apa alasan. Itu yang dia bagi 11 alasan.
“Saya minta penjelasan dia, (itu) betul. You boleh gelak, Putrajaya, kerana you buat perkara itu, masa pentadbiran (dahulu), you buat kerja itu. Yes…,” tegas Anwar, yang menjadi detik tercetusnya kekecohan dengan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.
Dan selepas kira-kira 35 minit menggunakan gilirannya berucap, kekecohan dari detik itu menyaksikan pertikaman lidah antara kedua-dua blok sambil Anwar enggan menarik balik kata-katanya itu yang kemudian membawa kepada Radzi diarah keluar oleh Speaker Johari Abdul, dituruti oleh ahli-ahli blok pembangkang selebihnya.
Anwar, ketika meneruskan penjelasannya selepas “drama” itu, mengakui sedar mengenai rasa tidak puas hati ramai, termasuk kawan-kawannya sendiri, terhadap kes DNAA Zahid tapi menolak ia seolah-olah satu-satunya kes prima facie yang mendapat “pelepasan” sedemikian.
“Banyak (kes DNAA) saya bagi contoh, termasuk Ahli Parlimen belah sana. Dan banyak kes-kes besar yang lain yang tidak dibangkitkan. Mengapa (kes) pembesar-pembesar yang billionaire, tak dengar suara pun. Apakah kerana dia bantu kita, maka kita diam. Banyak kes-kes puluh bilion ringgit dari
negara ini, saya tak dengar jadi champion tapi hanya target kepada TPM1 (Zahid),” soalnya.
“Saya katakan dalam kes ini, dalam kes TPM1, peguam negara masa itu maklumkan dia terpaksa tarik berdasarkan alasan sekian-sekian (11 alasan yang diberikan). Saya kata tak boleh tangguh ke, dia kata ‘No’, ia tanggungjawabnya untuk lakukan sebelum persaraannya,” tambahnya.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman, yang memilih untuk kekal dalam Dewan selepas ahli pembangkang selebihnya keluar, terpaksa menelan jawapan-jawapan pedas Anwar selepas mengisytiharkan keluar daripada blok kerajaan 10 Sept lalu dan memilih menjadi pembangkang kuasa ketiga. Antara sebab utama tindakannya itu adalah kerana langkah kerajaan perpaduan yang didakwanya akhir-akhir ini bertentangan dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
Lantas, Anwar membidasnya: “Mengapa buat tuduhan melulu dan kurang sopan menyerang perdana menteri dan menganggap saya campur tangan (dalam kes DNAA Zahid). Apa bukti saya campur tangan? Peguam negara itu dipilih oleh ketua Yang Berhormat (Muhyiddin Yassin). Dan saya tidak tukar peguam negara itu.
“Lepas itu (saya) dituduh bincang. Saya bukan bincang, saya tanya apa alasan, apakah alasan kuat untuk berikan DNAA ini. Kemudian SPRM buat keputusan mengatakan siasatan diteruskan dan kalau ada bukti tambahan, akan teruskan pendakwaan. Jadi, saya diminta sekarang seolah-olah (saya) mesti arah peguam negara. Kalau saya arah peguam negara dakwa TPM1, saya jadi hero. Tapi saya tidak boleh langgar 145 (3),” kata Anwar lagi.
Kepada Syed Saddiq, perdana menteri terus bersyarah: “Yang saya pertikaikan bukan hak YB bangkitkan. Tapi saya pertikaikan bagaimana secara melulu (tuduh) munafik, kecam orang, perdana menteri yang telah tinggalkan prinsip, yang telah menggadai (prinsip) kerana nak jaga kekuatan.
“Saya nak nasihat jangan tuduh orang seperti mana dituduh begitu. Saya tidak boleh terima. Malah semua kenyataan YB atau Muda, saya tak pernah jawab tapi sebab di Parlimen sekarang saya jawab. Tapi bagilah peluang, janganlah buat tuduhan begitu melulu dan tuduhan yang sangat kasar.”
Mungkin, selepas sekian lama, Anwar memperlihatkan sisi berbezanya dengan “naik syeikh” kali ini yang puncanya dapat disimpulkan daripada penutup ucapannya sebagai menggambarkan apa yang dipendamnya terhadap pembangkang.
“Dia (pembangkang) serang kita dengan kasar dan dengan biadab terus-menerus. Dia tak peduli soal maruah orang. Dia kadang-kadang lupa saya sekarang bukan ketua pembangkang, saya perdana menteri. Maklumat, keterangan-keterangan terperinci saya perolehi.
“Saya tidak mahu ulang apa yang mereka lakukan dan Putrajaya (Radzi) saya kata tahu kerana dia bersekongkol dalam pentadbiran yang sama. Cakap soal maruah, seolah-olah kita ni tak ada maruah, maruah itu hanya untuk satu dua orang.
“Mudah-mudahan ini satu pengajaran dan saya percaya mereka akan keluar (Dewan) kerana dia tidak boleh ulas soal DNAA dan soal 3R yang kita akan bincangkan. Tapi Alhamdulillah nampak Parlimen berakhir dengan aman damai,” kata Anwar seolah-olah menyindir. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.