`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 7, 2023

Aktivis cemuh janji calon bina jeti baharu Orang Asli

 

Orang Asli mengadakan protes aman atas hak tanah di Johor Bahru Mei lalu. (Gambar Facebook Voice)

PETALING JAYA: Dua aktivis mencemuh janji seorang calon PRK Pulai untuk membina jeti baharu bagi memberi khidmat kepada masyarakat Orang Asli, jika menang PRK Sabtu ini.

Penyelaras Pusat Keprihatinan Orang Asli (COAC), Colin Nicholas, berkata janji Suhaizan Kayat dari Pakatan Harapan (PH) itu tidak sesuai dengan keperluan masyarakat Orang Asli.

“Janji seperti ini mungkin ada kesan jika dia berada di sini 50 tahun lalu, ketika pilihan raya pertama atau kedua negara kerana sekarang kita hanya terima banyak janji kosong.

“Jelas ia hanya janji pilihan raya, bukan komitmen kerajaan. Ini hanya mencerminkan sikap terdesak calon meraih undi, tetapi sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku di lapangan,” katanya kepada FMT.

Suhaizan berkata, jeti baharu itu akan memanfaatkan Orang Asli di Kampung Sungai Temon dan Kampung Bakar Batu, tetapi Nicholas berkata, masyarakat di kampung kedua itu akan berpindah ke penempatan baharu di Ulu Tiram tidak lama lagi.

Katanya, mereka terlibat dalam kes mahkamah kerana kerajaan negeri tidak mengiktiraf Kampung Bakar Batu sebagai tanah adat mereka. Setelah kes dibawa ke mahkamah, penduduk kampung meminta tempat tinggal alternatif dan bersetuju menetap di Ulu Tiram.

Nicholas mendakwa kerajaan gagal menunaikan kewajipan fidusiari mewartakan tanah itu sebagai penempatan Orang Asli dan tarikh penempatan semula masih tidak diketahui.

“Jadi, apa gunanya? Tidak masuk akal hanya menyediakan jeti sekarang. Ada ramai lagi Orang Asli yang memerlukan hak tanah dan jeti. Mengapa tidak berikan kepada mereka juga?

“Sekiranya anda benar-benar ikhlas meningkatkan taraf kehidupan dan melindungi hak mereka, isu lebih besar ialah mewartakan tanah nenek moyang mereka sebagai penempatan Orang Asli atau menambah baik kemudahan pengangkutan, tetapi tiada kepentingan politik. Isu lebih besar ialah hak Orang Asli di Johor.”

Aktivis Amani Williams-Hunt Abdullah yang lebih dikenali sebagai Bah Tony, berkata janji Suhaizan satu lagi gimik pilihan raya disasarkan kepada Orang Asli.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, katanya, isu masyarakat itu terletak di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan. Putrajaya atau kerajaan Johor boleh menyediakan prasarana seperti jeti pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi kedua-duanya sejajar dari segi politik.

“Menjadi kewajipan fidusiari mereka untuk membantu Orang Asli. Mereka tidak perlu tunggu pilihan raya. Masyarakat Orang Asli, seperti masyarakat lain, mempunyai hak diberikan kemudahan asas bersama.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.