`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, September 13, 2023

Di sebalik Rajinikanth jumpa PMX

 

Terpampang foto berita semalam yang saya baca, Rajinikanth hero filem Tamil berada di Malaysia dan berkesempatan mengunjungi PMX. Foto sosok seorang seniman bersalam dengan sosok seorang pemimpin negara memberikan makna besar kepada saya. Ini membuktikan kedua-duanya hebat dan menjadi ikon dalam bidang masing-masing. Seni dan politik.

Melalui seni Rajinikanth menjadi sangat berpengaruh sehingga tokoh politik yang juga merupakan seorang perdana menteri boleh meluangkan masa untuk bersama. Memetik kenyataan PMX dalam sebuah portal online arus perdana, beliau menghargai penghormatan yang diberikan oleh Rajinikanth terhadap perjuangannya, terutama berkaitan isu kesengsaraan dan penderitaan rakyat.

“Antara yang dibincang secara santai pastinya berkaitan elemen kemasyarakatan yang saya perjuangkan untuk dimasukkan dalam filem-filem beliau kelak,” kata PMX.

Apabila PMX menyebut ‘dalam filem-filem beliau kelak’ ini membuat fikiran saya terganggu dan sedih tentang betapa kerdilnya dunia filem kita sehingga PMX berharap dapat ‘menumpang’ kehebatan filem-filem Tamil untuk memasukkan elemen yang beliau harapkan itu. Alangkah baiknya PMX mengambil kesempatan sebegini untuk memikirkan tentang kemajuan industri filem kita sendiri supaya menjadi cukup berpengaruh di rantau Asia mahupun juga di mata dunia? Alangkah bagusnya kalau PMX berfikir untuk melahirkan sendiri tokoh filem tanah air yang mampu melebarkan pengaruh sehingga ke luar.

PMX bagi saya antara perdana menteri paling pandai menilai dan menghargai seni berbanding beberapa perdana menteri sebelum ini. Jaringan beliau dalam kalangan seniman, sasterawan, dan budayawan juga hebat. Seharusnya inilah kesempatan terbaik untuk PMX mengangkat bidang seni Malaysia. PMX mampu mengejutkan menteri dan kementerian berkaitan hal ehwal ini agar bangun segera dari tidur, segera bangkit cergas memainkan peranannya. Jangan lembab dan lemau. Jeritkan di telinga mereka agar segera majukan industri filem kita.

Bidang filem kita buat masa ini walaupun teknologinya makin canggih tetapi isi ceritanya masih dalam keadaan menyedihkan. Kerdil dan rendah diri rasanya untuk dibandingkan dengan industri filem negara-negara tetangga. Justeru, untuk menjadi hebat, PMX harus mengetuk menteri yang menjaga hal ehwal filem agar segera turun menjalankan kerja. Apa, ingat kita tidak ada ‘Rajinikanth’? Apa ingat kita tak ada ‘Kurosawa’, ‘AR. Rahman’, atau ‘Spielberg’?

Kalau menteri yang menjaga hal ehwal ini hanya selesa melihat apa yang sudah ada memanglah dia cuma nampak muka-muka itu sahaja. Memang jawabnya tak adalah kita bakat-bakat besar. Soalnya ialah peluang. Peluang! Berilah peluang kepada yang benar-benar mampu dan berkelayakan bukan kepada muka-muka yang asyik mengendeng itu sahaja. Kena kerjalah untuk menyelidiki betapa kita sebenarnya mempunyai barisan karyawan dan artis yang hebat dan mampu memajukan filem ke peringkat antarabangsa. Takkan tak tahu? Kalau tahu, berikan mereka peluang. Bantu.

Selagi kita tersekat dengan syoknya kegemilangan masa lampau tanpa mahu bergerak ke hadapan selagi itulah kita mundur di takuk yang sama. Cukuplah asyik bernostalgia dengan kehebatan P Ramlee sahaja. Asyik-asyik kita ulang P Ramlee tiada galang ganti. Sudah setengah abad P Ramlee pergi. Memanglah P Ramlee hebat! Kita harus tahu masih ada ramai seniman kita yang hebat dengan cara mereka tersendiri. Kewujudan seniman-seniman lain bukan untuk menjadi pengganti P Ramlee tetapi meneruskan kreativiti berkarya yang dianugerahkan kepada mereka. Cara mereka dengan kehebatan mereka. Tidak perlu ada ‘P Ramlee II” tetapi kita mesti mencipta ramai lagi bintang yang kehebatannya tidak menumpang nama-nama lain sebagai nombor dua.

Terus-terang saya berasa cemburu apabila Rajinikanth atau juga Ahmad Dhani bersalam dengan perdana menteri. Dari satu sisi kita melihat betapa ketokohan seniman itu setara dengan seorang pembesar negara tetapi pada sisi yang lain, itu tokoh orang sana. Bukan kita. Bayangkan betapa bangganya kita apabila bintang filem negara, pelukis negara, penyanyi negara diterima kunjungannya oleh pembesar negara lain yang mengagumi hasil kerja mereka. Itulah yang saya maksudkan.

PMX mesti boleh melakukan reformasi dalam bidang seni ini pada hari ini setelah perdana menteri sebelum ini gagal melakukannya. Jika keazamannya mahu menjadikan negara ini maju dan dihormati di mata dunia seperti yang selalu disebut dalam ucapan-ucapan beliau, jangan lupa bawa sekali kehebatan dunia seni kita. Kalau menterinya tidak mampu membawa agenda ini cari menteri lain. Ini bukan agenda iseng-iseng, ini agenda besar. Agenda memajukan industri filem Malaysia suatu agenda yang berkembar dengan janaan ekonomi dan soft power yang menguntungkan kita.

Kalau filem dan muzik hanya iseng-iseng PMX tidak akan berbesar hati menerima kunjungan Rajinikanth atau bertemu Ahmad Dhani. Tetapi sekali lagi, itu mereka punya. Kita punya mana? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.