`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 10, 2023

Gelombang hijau PN tersekat di Gemas, kata penganalisis

 

Gabungan PH-BN berjaya mematahkan usaha PN untuk merampas Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Keputusan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kekal milik Pakatan Harapan (PH) menunjukkan gelombang hijau ‘membadai’ sebahagian Selangor pada PRN lalu gagal meresap di Johor, kata penganalisis.

Sebelum ini, pemimpin PAS Sanusi Nor mahu menjadikan kemenangan di Simpang Jeram sebagai pintu masuk Perikatan Nasional (PN) menguasai Darul Ta’zim pada PRN tiga tahun lagi.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata strategi PN “menggasak” kubu PH-Barisan Nasional (BN) dengan memainkan isu mahkamah Presiden Umno Zahid Hamidi juga tersasar, menyebabkan pengaruh PN tersekat di Negeri Sembilan.

Ads by Kiosked

Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, lebih tepat gelombang itu tersekat di Gemas iaitu antara sempadan Johor-Negeri Sembilan, merujuk kemenangan PN di DUN Gemas pada PRN bulan lalu.

Syaza Syukri.

“Johor kubu kuat Umno-BN dan Pulai pun tempat kuat PH jadi bila ambil kira semua itu nampaknya orang tak ambil kisah sangat dengan kes Zahid,” kata Syaza kepada FMT.

“Nampak gaya gelombang hijau masih tak dapat ‘telus’ lagi ke selatan daripada Negeri Sembilan. Nampak kuat di Selangor tapi ke selatan belum lagi… tak mampu lagi,” tambahnya.

PH mempertahankan Parlimen Pulai menerusi Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram menikmati majoriti 3,154 undi.

Bagaimanapun, Syaza berkata berdasarkan pertambahan dua kali ganda undi diterima PN di Pulai, tidak mustahil gabungan Bersatu-PAS-Gerakan mampu menembusi negeri selatan pada pilihan raya akan datang.

“Ia bukan kekalahan sepenuhnya untuk PN. Saya rasa mereka juga sudah jangka banyak yang perlu dilakukan lagi di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Ads by Kiosked

“Walaupun tak menang, mereka boleh raikan juga ‘swing’ (peralihan undi) yang ada,” katanya merujuk 29,642 undi kepada PN semalam berbanding 14,432 undi pada PRU15.

Azmi Hassan.

Bagaimanapun, Azmi berkata PN tidak boleh mendabik dada dengan pertambahan undi itu memandangkan peratusan keluar mengundi sangat rendah iaitu 47% di Pulai.

“Kurangnya (majoriti PH) bukan disebabkan banyaknya undi diperolehi PN, tetapi peratus keluar mengundi kurang 30,000 dari PRU lepas jadi PN tak boleh kata gelombang hijau telah sampai ke Johor berdasarkan keputusan Pulai,” katanya.

Katanya, pengaruh PN di Simpang Jeram yang majoriti pengundi Melayu, juga masih lemah apabila pertambahan undi kepada calon PH, berkemungkinan besar disumbangkan pengundi Umno iaitu rakan sekutu kerajaan perpaduan.

Pada PRN Mac tahun lepas, PH memperolehi 8,749 undi sementara PN (6,350) manakala BN (6,062). PRK semalam, Nazri yang juga timbalan ketua Amanah Bakri memperoleh 13,844 undi.

“Jadi andaian mengatakan Simpang Jeram itu (yang menjadi) tumpuan utama PN kita boleh katakan gelombang hijau itu masih tersekat di Gemas iaitu sempadan Negeri Sembilan-Johor,” kata Azmi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.