`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 4, 2023

Hari ini 25 tahun dulu: Reformasi!

 

Tahun itu waktu-waktu begini, dua setengah dekad yang lalu siapa pun akan berasa situasinya memang betul-betul gila. Kuala Lumpur kecoh. Helikopter berpusing-pusing di udara. Jalan raya sesak. Ribuan manusia berarak. Trak-trak FRU bising membunyikan siren.

Berita radio dan tv ditunggu-tunggu. Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri oleh Dr Mahathir Mohamad walhal sehari sebelumnya perdana menteri itu menyatakan hubungan mereka baik. Itu kami baca di suratkhabar. Begitulah kelam-kabutnya waktu-waktu begini 25 tahun lalu. Yang berani akan turun ke jalan raya dan bersuara lantang di kedai-kedai kopi. Yang takut sekadar menyokong diam-diam. Istilah konspirasi, liwat, mala fide, menangkap kepala rakyat.

Nak cerita panjang pun kita semua dah tahu. 25 tahun dahulu September 1998, gelombang reformasi tercetus. Ia merupakan gelombang terbesar dalam sejarah politik tanahair semenjak Merdeka. Orang ramai terutamanya orang Melayu mencipta sejarah dengan beraninya turun ke jalan raya memprotes kerajaan. Ini sejarah yang besar!

Walaupun saya juga terkena kesan kejutan reformasi tetapi saya sudah pun mendapat tahu tiga hari lebih awal berita pemecatan tersebut. Saya baca Harakah edisi Merdeka 31 Ogos waktu itu. Ya, saya sudah baca Harakah sebelum era reformasi lagi. Ini kerana di sekolah tempat saya mengajar di Kuala Lipis ketika itu ramai guru berasal dari Kelantan yang mana mereka ini kebanyakannya penyokong PAS. Agak sedikit orang Kelantan yang saya kenal menyokong kerajaan waktu itu (sekarang pun saya agak begitu juga). Dari mereka yang menyokong PAS-lah saya selalu mendapat maklumat alternatif. Waktu itu akses media hanya tv, radio dan suratkhabar sahaja. Maka itu saya sering mencari akhbar Harakah untuk melihat sisi lain.

Dari Harakah edisi merdeka itulah saya baca sebuah tulisan daripada seorang kolumnis yang saya minati telah menyebut “selepas Sukan Komanwel selesai (pertengahan September 1998) Anwar Ibrahim akan dipecat, ditahan ISA dan akan dicaj dengan berbagai tuduhan”. Saya kata, ini gila. Biar betul Harakah ni! Takkanlah Harakah buat cerita mustahil ini. Mana mungkin hal begini akan berlaku. Tup-tup benar berita itu salah! Bukan selepas tamat Sukan Komanwel Anwar dipecat seperti yang ditulis oleh kolumnis itu tetapi ia berlaku tiga hari selepas saya membaca Harakah edisi itu. Awal dua minggu. Sejak peristiwa itu kehidupan saya dan mungkin juga kebanyakan daripada kita menjadi lain. Kita telah berubah. Setiap hujung minggu saya ‘pergi reformasi’ (istilah dulu-dulu merujuk kepada demonstrasi jalanan) di Kuala Lumpur. Memo, stensil, makalah, kaset dan pita video mengenai REFORMASI dibawa pulang ke Kuala Lipis dan dikongsikan bersama cikgu-cikgu pro Anwar Ibrahim. Cikgu-cikgu pro parti pemerintah agak sedikit bilangannya. Mereka berasa kecil, mengelak untuk berdebat dan mengambil sikap menikus. Saya menjadi sibuk September itu dengan hal-hal reformasi sedangkan pada ketika yang sama saya juga perlu uruskan majlis perkahwinan saya pada hujung November tahun yang sama.

Gelombang reformasi bertembung sengit dengan Mahathirisme. Ia membuka mata masyarakat yang lama tertutup tentang rasuah, kronisme dan penyelewengan. Itulah jasa reformasi yang bertanggungjawab membuka jalur pemikiran rakyat untuk melihat sebuah alternatif. Reformasi melahirkan ramai tokoh dan aktivis berani ke hadapan untuk menolak sesuatu dasar kerajaan yang difikirkan tidak baik untuk rakyat. Ada yang bangkit berjuang, ada juga menangguk di sebalik kebangkitan ini. Itulah penangan reformasi.

Suka atau tidak, sosok Anwar ikon reformasi. Pemecatan Anwar bak percikan palam pencucuh yang menggerakkan sebuah jentera. Ia terjadi secara organik. Gelombang kebangkitan ini tercetus bukan dibuat-buat. Reformasi menanggalkan rantai ketakutan pada jiwa-jiwa rakyat. Ramai pemberani lahir dan lantang melaungkan slogan reformasi. Mahathir cuba memadamkannya tetapi gagal. Gelombangnya terlalu kuat. Bagi saya, reformasi membuka sebuah pintu kebebasan yang selama ini dikunci kedap. Kalau Reformasi 98 tidak berlaku, saya percaya hari ini kita semua lesu dan layu. Bayangkan Anwar tidak melawan apabila diarahkan oleh Mahathir untuk letak jawatan seperti timbalan-timbalan perdana menteri sebelum ini – apa yang berlaku?

Tolak ke tepi apa pun teori konspirasi itu dan ini yang kita dengar sama ada Anwar ‘ada kes’ atau Mahathir suruh Anwar letak jawatan kerana khuatir kemaraan Anwar bakal menggugat kerusi presidennya di dalam Umno; bagi saya keengganan Anwar mengalah dan berundur sehingga disingkirkan dari tampuk kekuasaan seterusnya mencetuskan gelombang reformasi takdir tuhan untuk kita semua berubah membentuk pemikiran kita. Pemecatan itu hanya sebab kepada sebuah musabab. Kita bangkit menjadi celik itu yang lebih utama.

Kini Anwar sudah bergelar perdana menteri selepas merasakan getirnya sebuah perjalanan. Apa tidaknya, 25 tahun ini berbagai cabaran yang dilalui oleh beliau. Seperti sebuah hikayat yang hebat, berbagai elemen terkandung di dalam perjalanannya. Percintaan, persahabatan, kesetiaan, pengkhianatan dan akhirnya sebuah kejayaan. Bukankah itu rumusan wajib ada dalam sebuah cerita yang sedap sama ada di novel ataupun filem?

Saya ada di dalam jalan Reformasi ini. Bermula dengan melihat dari jauh, kemudian mengambil bahagian di dalamnya sehinggalah kembali bertenang menjadi pemerhati dari luar. 25 tahun inilah ada yang saya lihat teman-teman saya masih setia tegar menyokong dan ada yang sudah pergi ke sebelah lain. Itulah prosesnya dan itulah hasil daripada reformasi itu sendiri. Hari ini, Anwar sebagai perdana menteri bukan setakat bertanggungjawab melaksanakan agenda reformasi yang dilaungkan olehnya sahaja tetapi harus berhadapan juga dengan hasil reformasi yang diindoktrin oleh beliau. Produk hasil daripada agenda reformasi ini juga bersedia untuk terus menegur jika beliau dilihat menyimpang daripada apa yang beliau ajarkan.

25 tahun ibarat usia seorang anak muda yang mulai matang dan sudah mampu mengemudi sebuah tanggungjawab. Saya berusia 25 tahun ketika gelombang tersebut melibas. Usia 25 tahun itulah saya mendirikan rumahtangga. 25 tahun usia reformasi telah mendewasakan seorang kanak-kanak, mematangkan seorang remaja dan orang tua seluruh anak Malaysia. Aktivis politik, guru, penjawat awam, kaum pekerja, seniman, pengamal media semuanya masuk ke dalam kancah ’25 tahun reformasi’ ini. Generasi ini kini berada di mana-mana. Di sektor kerajaan mereka ada, di tepi jalan, di bandar dan juga di desa. Lapangannya mungkin sudah berubah seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Internet dan media sosial medan tempur pada zaman ini dan gerakan reformasi hari ini menjalar di sana. Inilah yang sedang dihadapi oleh perdana menteri reformasi hari ini, Anwar Ibrahim. Sama ada yang menyokongnya begitu jugalah yang menentangnya.

Saya mengaku 25 tahun dahulu saya sangat menyokong sosoknya. Hari ini walaupun saya tidaklah seperti dahulu tetapi saya tetap akui agenda reformasi Anwar Ibrahim lah yang membentuk pemikiran saya sepanjang usia tersebut. Untuk itu, bersempena 25 tahun usia gerakan reformasi, walaupun mungkin ada yang dah lupa ataupun sudah berasa segan menyebutnya, saya tetap mengangkat tangan ke udara sambil melaungkan Re-For-Ma-Si! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.