`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, September 4, 2023

Bila orang tua berperangai budak, patutlah disekolahkan

 

Satu laporan FMT bertarikh 1 Mac lalu menyebut mengenai perang mulut di Dewan Rakyat selepas seorang penyokong kerajaan mendesak seorang ahli pembangkang menarik balik kenyataannya yang mendakwa sikap beliau sebagai “lebih teruk daripada kera”.

Shahidan Kassim (PN-Arau) ketika perbahasannya mengenai Belanjawan 2023 melahirkan rasa kesal dengan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) yang didakwanya berperangai lebih teruk daripada kera di hutan kerana kerap mengganggu perbahasannya.

“Sepatutnya orang lama bagi contoh, bagi contoh (yang baik). Minta tarik balik perkataan itu, sepatutnya Arau bagi contoh kepada kami yang baharu ini,” kata Sany yang cuba menarik perhatian Speaker Johari Abdul agar mengarahkan Shahidan menarik balik kenyataannya itu.

Shahidan menafikan menggelar Sany “kera”, sebaliknya mendakwa cuma menegurnya agar tidak berperangai seperti haiwan berkenaan. “Ini dibenarkan (di Parlimen),” katanya.

Dalam satu sidang berbeza, Sany pula menggelar Shahidan sebagai seorang tidak beradab kerana menuturkan perkataan “bangang”

“(Ahli Parlimen) Arau memang tak beradab. Semalam (beliau) sebut orang bangang,” celah Mohd Sany merujuk kepada Persidangan Dewan Rakyat pada 6 Jun. Ketika itu, beliau membahasakan Shahidan sebagai seorang tidak beradab dan Ahli Parlimen Arau itu membalas dengan menggelar Sany sebagai tidak siuman dan bangang.

Dua kekecohan di atas hanya contoh bagaimana sidang Dewan Rakyat boleh terkeluar daripada batas-batas ketertiban hingga peraturan mesyuarat tidak lagi dihormati ketika suhu perdebatan semakin hangat di antara blok kerajaan dan pembangkang.

Minggu lalu, Johari mempertahankan cadangan menaikkan kadar denda maksimum sehingga 10 kali ganda terhadap wakil rakyat yang menyalahi peraturan Parlimen. Kata Johari, langkah menaikkan kadar denda sehingga RM10,000 itu wajar dan berpatutan. Ini kerana pelaku kesalahan sedemikian bukannya budak tapi semua orang tua di samping gelagat mereka boleh ditonton oleh semua lapisan masyarakat.

Perkataan yang dilarang digunakan seperti “bodoh”, “bangang”, “bangsat”, “penyamun” dan “penyangak” dianggap tidak berparlimen (unparliamentary) tapi kerap digunakan ketika berbahas. Carian “dewan kecoh” di YouTube saja akan menemukan puluhan klip video mengenai pertikaman lidah dalam sidang Dewan Rakyat yang tidak pun membeza-bezakan di antara muka lama dan Baharu, ahli yang berkot atau berkopiah putih atau blok tempat duduk mereka.

Hanya Februari lalu, Timbalan Speaker Ramli Mohd Noor menegur Ahli-Ahli Parlimen agar sentiasa menjaga kelakuan dan etika bagi mengelak persepsi negatif berterusan masyarakat, apatah lagi ada yang melabelkan sidang Parlimen umpama ‘zoo’.

“Ingin saya ingatkan kepada adab semasa dalam dewan, we are live (bersiaran langsung). Semalam (Rabu) saya ke kedai mamak, ini berlaku, mereka mengenali saya (dan bertanya) YB, bagaimana zoo?, saya terkejut.

“Inilah tanggapan masyarakat di luar sana. Jadi, saya ingatkan, berpeganglah pada etika dan budi pekerti,” katanya selepas sesi waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Bukan menghairankan jika cadangan menaikkan kadar denda maksimum itu mendapat bantahan, antaranya daripada Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang menyifatkan ia melanggar hak dan kebebasan Ahli Parlimen. Kata Hassan lagi, Ahli Parlimen bukannya kanak-kanak sekolah atau penjenayah yang perlu dihukum denda seperti di mahkamah.

Tapi jika Ahli-ahli Parlimen berasa diri sebagai Yang Berhormat yang maksudnya haruslah dihormati kerana mereka dipilih oleh rakyat, maka mereka hendaklah menunjukkan akhlak lebih baik ketika bersidang. Sebelum ini pernah berlaku wakil rakyat mengeluarkan kenyataan tidak wajar terhadap wanita atau mengeluarkan kata-kata kesat ketika berbahas, serta individu berkelakuan seperti ‘gangster’ di Parlimen.

“Adakah mereka budak-budak? Tidak mereka bukan budak-budak yang buat kerja ini. Semua orang tua-tua. Takkan saya nak berdiam diri,” kata Johari kepada FMT.

Seperti dijelaskannya, kadar denda yang dicadangkan itu tidak akan membebankan seorang Ahli Parlimen, yang menerima elaun mencecah RM25,000 sebulan. Lagipun, mereka yang didakwa melanggar peraturan Parlimen akan dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang turut disertai wakil kerajaan dan pembangkang, di mana mereka berpeluang membela diri. Maka, kebimbangan hukuman itu akan disalahgunakan seperti disuarakan Mas Ermieyati Samsudin (Bersatu – Masjid Tanah) tidak timbul.

Kebimbangan Johari hingga mencadangkan denda maksimum itu dinaikkan boleh difahami kerana kekecohan dalam sidang dewan bukan pun perkara baru, malah sudah kerap menjadi tontonan ketika speaker terdahulu, termasuk Azhar Azizan Harun, Mohamad Ariff Md Yusof, dan Pandikar Amin Mulia.

Ibarat patah tumbuh hilang berganti, ahli-ahli dewan sebelumnya, termasuk Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Khalid Samad (Shah Alam), Noh Omar (Tanjung Karang), dan Azeez Rahim sudah diambil alih tempat mereka.

Sebuah portal berita baru-baru ini menyenaraikan lima ahli – Shahidan Kassim (Arau), Sany Hamzan (Hulu Langat), RSN Rayer (Jelutong), Bung Moktar Radin (Kinabatangan), dan Awang Solahuddin Hashim (Pendang) sebagai yang paling kecoh. Mungkin persoalannya bukan denda tapi Ahli Parlimen haruslah secara tertib berhujah, berkelakuan baik dan menghormati peraturan mesyuarat.

Jika amaran, dikeluarkan dari dewan persidangan untuk ditenangkan atau digantung daripada menghadiri persidangan beberapa hari tidak mampu mengubah keadaan, seperti diharapkan Johari, tiba masanya Ahli Parlimen disekolahkan menerusi kocek mereka. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.