PETALING JAYA: Kepuasan sebenar guru yang bertugas di pedalaman adalah apabila muridnya berjaya memasuki “sekolah elit” dan mendapat pendidikan lebih baik di bandar.
Itu dirasai Muhammad Izzat Afif Hasim, 32, pendidik berasal dari Perak, yang kini menabur bakti di Sekolah Kebangsaan Long Miri, Baram, jaraknya lebih 800km dari ibu negeri Kuching, Sarawak.
Sekolah mempunyai 52 pelajar itu terletak kira-kira 168km dari bandar Miri dan memakan masa empat hingga lima jam perjalanan menaiki pacuan empat roda.
Selama lapan tahun mendidik anak bangsa di situ, Izzat berkata tiga muridnya berjaya “tembus” dan melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh (SBP) di Miri.
“Itu impian dan kenangan paling manis bagi saya sebagai guru pedalaman, dapat hantar anak murid belajar di Sekolah Menengah Sains Miri. Macam kami di sini (pedalaman) sasaran kalau murid itu dapat pergi ke sekolah lebih bagus, ia kejayaan bagi kami,” katanya kepada FMT.
Bapa kepada dua anak itu berkata, berkhidmat di pedalaman Sarawak tidak sesekali membuatkannya “terkurung” atau jemu sehingga mahu pulang ke Semenanjung.
Izzat berkata, dia “jatuh cinta” dengan budaya kaum pribumi di situ sejak bermastautin lapan tahun lalu.
“Di tempat saya banyak kaum pribumi Sarawak iaitu Kayan. Jadi kita belajar cara hidup mereka, cara mereka cari makan dan lain-lain…seronok,” katanya.
Katanya, biarpun terdapat jurang infrastruktur dan teknologi di pedalaman, dia tetap mahu melahirkan “murid hebat” setanding di wilayah lain.
Biarpun mengajar jauh di pedalaman, Izzat berpendapat taraf pendidikan Sabah dan Sarawak perlu “Segulai Sejalai” (seiring sejalan) dengan Semenanjung demi kesaksamaan, bertepatan tema Hari Kebangsaan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.