`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 17, 2023

Syed Saddiq: ‘Penjahat’ ke hero dalam minggu sama

 

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak pun perlu banyak pengenalan. Daripada imej ‘budak poster’ seorang aktivis dan reformis hingga membawa kepada peningkatan mendadaknya dalam arus perdana politik, tidak hairanlah jika ramai yang mahu mengebumikannya.

Diangkat jadi menteri pada usia semuda belum pun mencecah 26 tahun selepas menang kerusi Parlimen Muar pada PRU 2018, namun liku-liku yang dilaluinya selepas itu penuh ranjau dan duri. Tempoh sepanjang seminggu lalu harus mendefinisikannya sebagai seorang kuat berprinsip kepada sesetengah dan sebaliknya pula bagi yang lain.

“Saya nak bagitau kepada cytro (cybertrooper – laskar siber) PH, prinsip atau ‘principle’ dalam bahasa Inggeris ialah P-R-I-N-C-I-P-L-E, bukan P-A-L. Principal itu adalah pengetua, bukan prinsip tapi guru besar. So, get it right,” kata Khairy Jamaluddin.

Teguran pedas bekas menteri kesihatan itu bermaksud ‘menganjing’ mereka, bukan pun berseloroh atau menyindir secara kecil-kecilan. Makna kata kalau ‘principle’ pun tak tahu dibezakan atau dieja betul, tak usahlah nak memandai-mandai menegur seseorang itu berprinsip atau sebaliknya.

Lanjutan daripada menyekolahkan mereka, Khairy sebenarnya mempertahankan Ahli Parlimen Muar itu sebagai seorang berprinsip – sekurang-kurangnya lebih berprinsip daripada rakan-rakan dalam blok kerajaan perpaduan yang baru ditinggalkannya.

“Hipokrit,” kata Syed Saddiq yang ditujukan kepada kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim yang didakwanya melakukan pembohongan terbesar peringkat nasional dengan berjanji nak lawan rasuah, tidak akan gugurkan kes rasuah dan akan penjarakan kleptokrat.

“(Tapi) hari ini membebaskan mereka. Tangan kiri lawan rasuah, tangan kanan bela rasuah. Kalau kita dalam dewan ini dibisukan mulut, tidak boleh mengkritik kerajaan tanpa sangka jahat, bagaimana kita ingin bicara soal rakyat,” katanya ketika sidang Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Pada 10 September lalu, sehari selepas kerajaan perpaduan dapat mengembalikan status quo majoriti 2/3 dengan 148 kerusi Parlimen susulan kemenangan dalam PRK Pulai, Syed Saddiq mengumumkan keluar dari blok kerajaan untuk menjadi kuasa ketiga. Keputusannya itu, yang sudah menjadi buah mulut beberapa hari terdahulu, dikaitkannya dengan kes Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang.

Ads by Kiosked

Malah, Syed Saddiq menyifatkan ‘pembebasan’ presiden Umno itu sebagai permulaan menormalisasikan rasuah.

Rentetan tindakannya itu, apa yang tak dikata kepadanya – pengkhianat, tidak mengenang budi, lupa daratan dan budak suruhan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad selain berlakon suci sedangkan diri sendiri terpalit dengan berdepan pertuduhan di mahkamah.

Tapi beliau masih mampu tersenyum dari tempat duduk bersendiriannya tanpa diapit Ahli-ahli Parlimen lain setelah kerusinya dipindahkan ke blok pembangkang di bahagian belakang. Seperti diungkapkannya, perjalanan lanjut buatnya adalah ‘sunyi dan panjang’.

Untuk ditenggelami, bagaimanapun, tidak sesekali. Berdepan tekanan menggila untuknya mengosongkan kerusi Muar sekalipun, beliau menempelak mereka yang membuat desakan itu untuk mencermin diri dan mengosongkan kerusi masing-masing kerana menguburkan prinsip perjuangan mereka untuk menolak rasuah.

“Saddiq ini berprinsip. Sebab dia masih lagi pegang kepada anti ‘hoi hoi ya hoi’. Jadi, jika anda minta dia untuk kosongkan kerusinya, anda kosongkanlah kerusi anda dulu. Saddiq ni satu pakej yang bagus. Ramai yang tak ada ciri-ciri macam dia. Kerana itu, ramai yang mahu membenamnya,” kata Khairy di episod ke-48 podcast Keluar Sekejap.

Sudah tentu bekas Ahli Parlimen Rembau itu yang tewas sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam perebutan kerusi Sungai Buloh pada PRU 15, November lalu, yang bersimpati dengannya kerana dibuli, dipertikaikan bukanlah kayu pengukur terhadap Syed Saddiq tapi pandangannya juga berhak didengar.

Ads by Kiosked

Ia tidak harus dilihat berbeza dengan siaran harian di atas talian seorang penyokong Umno yang mempersendakan Syed Saddiq kononnya seorang berpinsip di sebalik kes mahkamahnya sendiri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram, belum selesai.

Tapi yang mengata itu barangkali terlupa yang dia sendiri masih perlu menghadapi perbicaraan atas dua tuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik terhadap bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang ditetapkan akan berlangsung bulan depan.

Sekurang-kurangnya juga presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu membuktikan dirinya lebih jantan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (Umno) Puad Zarkashi – dulunya dilihat pengampu terkuat ‘Bossku’ tapi kini beralih kepada Zahid – yang mencabar supaya dia benar-benar menarik sokongan terhadap kerajaan perpaduan daripada hanya mengugut untuk berbuat demikian.

“Saya bukannya ‘yes man’,” kata Syed Saddiq menyindir Puad. Kritikan daripada blok kerajaan, khususnya Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan, Ahli MKT Umno Lokman Noor Adam, Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Johari, AJK DAP Johor Boo Cheng Hau, antaranya, memang dijangkakan.

Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) pula menyuarakan sokongan, termasuk pengerusinya Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan, Timbalan Presiden Muafakat Nasional Zuraida Kamaruddin, dan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.

Senada dengan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim yang mengalu-alukan pendirian Syed Saddiq menjadi kuasa ketiga sebagai perkembangan sihat dalam politik negara, Mahathir berkata keputusan Ahli Parlimen Muar itu selari dengan janji beliau dan partinya kepada rakyat pada PRU15.

Ads by Kiosked

“Ini satu tindakan yang tegas, berani dan bermoral,” kata Muhyiddin, disusuli Shahidan yang menyimpulkan Syed Saddiq sebagai hero rakyat.

Di sebalik pernyataan itu, langkah ke hadapannya akan hanya makin mencabar. Untuk terus diserang, seperti kata bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan, adalah satu perkara pasti gara-gara tahap benci yang akan berganda-ganda ke atasnya.

“Dia mungkin akan sentiasa diserang, mungkin tahap benci orang kepada lawan ini, dia akan jadi antara top 3, top 5 figura-figura yang akan diserang oleh Pakatan Harapan dan juga Barisan Nasional,” katanya.

Cuma, mereka mungkin silap jika mengandaikan Syed Saddiq, seperti ditunjukkannya sepanjang seminggu lalu, akan tunduk. Sebaliknya, mungkin itu yang akan mengerah aura hero daripada dirinya demi menegakkan prinsip sebagai perisai. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.