`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, September 3, 2023

Tepat lantik Ahmad Terrirudin peguam negara, kata Azalina

 

Azalina Othman Said berharap pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh akan membawa kepada kesinambungan kerja-kerja yang dilaksanakan Idrus Harun dan Jabatan Peguam Negara.

JOHOR BAHRU: Pelantikan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh sebagai peguam negara berkuat kuasa 6 Sept ini disifatkan sebagai tepat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, ini disebabkan kedudukan Ahmad Terrirudin sebagai peguam cara negara adalah nombor dua selepas peguam negara.

“Beliau seorang yang profesional dan saya yakin pelantikan ini tepat. Ini kerana kita lihat ini sebagai pelantikan dalaman daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) yang memang terdiri daripada peguam-peguam pakar, mewakili kepentingan negara dalam sektor perundangan,” katanya.

Ads by Kiosked

Azalina juga berharap pelantikan itu akan membawa kepada kesinambungan kerja-kerja yang dilaksanakan Idrus Harun dan Jabatan Peguam Negara secara menyeluruh.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan dengan wakil-wakil Pusat Daerah Mengundi (PDM) DUN Kempas di Taman Dahlia malam tadi.

Ahmad Terrirudin, 55, yang merupakan ketua pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai peguam cara negara pada 25 Mac 2022, akan menggantikan Idrus yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 5 Sept ini.

Mengulas mengenai dakwaan Pemuda Umno tentang kebocoran dokumen memo dalaman Jabatan Peguam Negara, Azalina berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh dilaporkan meminta agar Ahmad Terrirudin mengesahkan sama ada berlaku atau tidak kebocoran dokumen memo tersebut seperti yang tular di media sosial.

Akmal juga berkata jika kebocoran berlaku, pihaknya akan membuat satu laporan kepada SPRM dalam masa terdekat, selepas menggerakkan seluruh ahlinya untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Ads by Kiosked

Sebelum ini, dokumen setebal 12 muka surat bertarikh 10 Okt 2019 tersebar dalam talian, didakwa sebagai memo dalaman daripada pasukan pendakwaan bagi kes Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC) yang ditujukan kepada peguam negara ketika itu, Tommy Thomas.

Dokumen itu didakwa tertulis pengesyoran enam tuduhan rasuah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Irwan Serigar Abdullah digugurkan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.