`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Wednesday, March 20, 2024

570kg lebihan makanan, minuman di 3 bazar Ramadan Melaka diselamatkan

 

Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor berkata lebihan makanan dan minuman masih boleh dimakan itu diedarkan kepada golongan memerlukan seperti pelajar institusi pengajian tinggi serta jemaah masjid terpilih.

MELAKA: Sebanyak 570.56kg lebihan makanan dan minuman tidak terjual di tiga bazar Ramadan di Melaka diselamatkan daripada dibuang ke tapak pelupusan sisa pepejal menerusi Kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran sempena Ramadan bermula 16 Mac lepas hingga semalam.

Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor berkata kempen anjuran agensi itu melibatkan Bazar Ramadan Peringgit, Jasin Bestari dan Alor Gajah, dengan penyertaan 182 peniaga atau lebih 60% peniaga di setiap bazar tersebut.

Beliau berkata lebihan makanan dan minuman masih boleh dimakan itu diedarkan kepada golongan memerlukan seperti pelajar institusi pengajian tinggi serta jemaah masjid terpilih.

“Kempen ini kita mulakan 16 Mac di Bazar Ramadan Jasin Bestari serta Alor Gajah, manakala Bazar Ramadan Peringgit semalam dan pengumpulan lebihan makanan serta minuman tidak terjual daripada peniaga terlibat bermula 7 petang oleh sukarelawan kempen tersebut.

“Lebihan makanan dan minuman itu ditimbang terlebih dahulu sebelum proses pembungkusan semula dilakukan sekiranya perlu, selain memastikan ia boleh dimakan sebelum diedarkan kepada golongan memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zaki berkata jumlah lebihan makanan dan minuman dikumpul dari Bazar Ramadan Jasin Bestari dalam tempoh dua hari sebanyak 226.7kg dan Bazar Ramadan Alor Gajah (192.86kg), manakala Bazar Peringgit yang bermula semalam sebanyak 160kg.

Beliau memberi contoh lebihan makanan dan minuman di Bazar Ramadan Peringgit akan diagihkan ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perempuan Melayu Melaka melibatkan kira-kira 700 pelajar serta sukarelawan terlibat juga dalam kalangan pelajar institut itu.

“Lebihan makanan dan minuman di Bazar Ramadan Jasin Bestari akan dihantar ke Majid Muhaimin Bemban, Masjid Ayer Merbau dan Institut Kemahiran Mara (IKM) Jasin, manakala bagi Bazar Ramadan Alor Gajah, penerima dalam kalangan pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia.”

Setakat ini, beliau berkata pelaksanaan kempen itu dibantu 96 sukarela, termasuk 40 kakitangan SWCorp, selain pelajar IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka, UTeM, IKM Jasin dan Pertubuhan Pemuda Gema Melaka.

“Kita mengharapkan lebih banyak penyertaan sukarelawan bagi menjayakan kempen ini bagi memastikan lebihan makanan dan minuman dikumpulkan daripada peniaga dapat disampaikan kepada mereka yang memerlukan.”

Dalam pada itu, Zaki berkata Melaka mencatatkan penurunan pembaziran sisa makanan sebanyak 2.49% di tapak pelupusan sisa pepejal pada Ramadan tahun lepas dan diharap peratusan itu dapat terus diturunkan tahun ini menerusi inisiatif Kempen Hargai Makanan, Elakkan Pembaziran.

Menurutnya berdasarkan kajian komposisi sisa pepejal sepanjang tahun lepas, ia mencatatkan penurunan sebanyak 23% berbanding 35% pada 2022. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.