`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 11, 2024

Kerajaan sedang kaji beras gred dan harga tunggal

 

Menteri Mohamad Sabu berkata cadangan beras dengan harga dan gred tunggal antara perkara perbincangan menyeluruh bersama pemegang taruh.

PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sedang mengkaji cadangan mewujudkan beras dengan harga dan gred tunggal, menurut menterinya, Mohamad Sabu.

Mohamad berkata cadangan itu antara perkara perbincangan menyeluruh bersama pemegang taruh, yang diharapkan akan membawa kepada suatu anjakan bagi padi dan beras negara pada masa terdekat.

“Kementerian sedang melaksana kajian dan perbincangan lanjut dengan industri padi dan beras secara menyeluruh termasuk cadangan mewujudkan satu harga dan satu gred beras tunggal, mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampuan bekalan beras tempatan dan kesan kepada pengguna,” katanya di sesi penggulungan KPKM di Dewan Rakyat.

Kementerian lain yang terlibat dalam perbincangan tersebut adalah Kementerian Ekonomi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dan Kementerian Kewangan.

Beberapa sesi libat urus dilakukan bersama petani, pengilang, dan peruncit supaya apabila cadangan dilaksanakan nanti ia akan dapat memenuhi dan memuaskan hati rakyat.

“Kita akan bincang termasuk dengan rakan pembangkang supaya memberi input sebab apabila kita laksana nanti, harap dapat sokongan semua pihak,” katanya, dan menambah proses ini akan memakan masa kerana kementerian mahu meneliti tindakan secara cermat.

“Kita harap bila buat sesuatu kita tak berubah-ubah,” katanya, dan menambah semua negeri menunjukkan keprihatinan kepada hal kecukupan beras.

Katanya, hasil libat urus itu nanti akan diangkat ke mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada 20 Mac, untuk dipertimbangkan sebagai pelan tindakan baharu industri padi dan beras. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.