`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, March 12, 2024

Pengembara berkereta melalui Tuas, Woodlands guna kod QR mulai 19 Mac

 

Untuk masuk atau keluar Singapura, pengembara tidak perlu lagi menghantar pasport kepada pegawai ICA di kaunter kereta, sebaliknya hanya perlu mengimbas kod QR dalam aplikasi MyICA. (Gambar fail)

SINGAPURA: Pengembara yang tiba dan keluar dari Singapura dengan kereta melalui tempat pemeriksaan Woodlands dan Tuas boleh menggunakan kod respons pantas (QR) bagi menggantikan pasport untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan mudah mulai 19 Mac.

Menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura, pengembara tidak perlu lagi menghantar pasport kepada pegawai ICA di kaunter kereta, sebaliknya hanya mengimbas satu kod QR yang diperoleh sebelum tiba di pusat pemeriksaan.

Untuk tujuan ini, pengembara perlu memuat turun aplikasi MyICA pada peranti mudah alih mereka dan memasukkan butiran pasport di dalam aplikasi itu untuk menghasilkan kod QR yang unik.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma daripada App Store (iOS) atau Google Play Store (Android).

Dalam pada itu, menurut ICA, butiran pasport penduduk Singapura akan dimasukkan secara automatik menerusi SingPass apabila mereka mengakses aplikasi MyICA atau menggunakan fungsi kamera terbina dalam pada aplikasi mudah alih untuk mengimbas Zon Boleh Dibaca Mesin (MRZ) pada muka surat biodata mereka di dalam pasport.

MRZ merupakan dua atau tiga baris aksara di bahagian bawah muka surat biodata pasport mereka.

Menurut ICA, warga asing yang pernah mengunjungi Singapura sebelum ini boleh menggunakan kamera terbina dalam aplikasi MyICA bagi mengimbas MRZ untuk memasukkan maklumat pasport mereka.

Bagaimanapun, pengunjung kali pertama dan mereka yang memasuki Singapura menggunakan pasport berbeza daripada kunjungan terakhir perlu menyerahkan pasport untuk pelepasan imigresen dan hanya boleh menggunakan kod QR untuk pelepasan imigresen pada perjalanan seterusnya.

ICA berkata, pengembara di dalam kereta sama boleh memasukkan butiran pasport dan menghasilkan kod QR untuk satu kumpulan bagi pelepasan imigresen.

Agensi itu berkata, inisiatif kod QR ini membolehkan pengembara menikmati pengalaman yang lebih pantas dan mudah dengan anggaran penjimatan masa kira-kira 20 saat untuk kereta dengan empat pengembara kepada hampir seminit untuk kenderaan dengan 10 pengembara.

“Selepas inisiatif ini dilancarkan, pengembara masih boleh memilih untuk menyerahkan pasport fizikal mereka kepada pegawai di kaunter, seperti amalan pada masa ini,” katanya.

ICA berkata, pihaknya merancang untuk meluaskan penggunaan kod QR ini secara progresif ke zon pelepasan lain di pusat pemeriksaan darat. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.