`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, April 19, 2024

Tunggu MoU ‘duit raya’

 

Free Malaysia Today

Asalnya Perikatan Nasional (PN) berkeras enggan berunding hingga gabungan pembangkang itu hilang sokongan enam Ahli Parlimennya yang beralih kesetiaan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Sebaliknya, sewaktu jadi kerajaan sebelum PRU15, PN langsung tidak beri peruntukan kepada pembangkang yang ketika itu diketuai Anwar.

Kini, ketika kerajaan perpaduan sudah bersetuju secara dasar untuk mempertimbangkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, mereka pula yang nampak mengada-ada seperti kanak-kanak merengek meminta aiskrim tanpa boleh berlengah-lengah lagi.

Hendak dikatakan pembangkang mahu mengheret isu itu selama boleh sebagai modal politik konon kerajaan zalim, nanti PN marah pula tapi reaksi terbaru Pengerusi PN Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak pun menunjukkan rasa berterima kasih kepada inisiatif kerajaan, yang perlu melalui proses tertentu lebih dahulu sebelum permintaan pembangkang dapat dipenuhi.

“Setuju nak mempertimbang (peruntukan), belum setuju lagi. Ada MoU, apa isinya pun kita tak tahu,” kata Muhyiddin semalam.

Apalah agaknya yang berlegar di fikiran Muhyiddin? Apakah beliau harapkan memorandum persefahaman (MoU) itu sudah siap dirangka ketika Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan bermesyuarat bincangkan isu peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang kelmarin?

Atau apakah beliau berasa mereka tidak akan dapat peruntukan itu seperti ketika beliau menjadi perdana menteri ke-8 (1 Mac 2020-16 Ogos 2021) dengan menafikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang ketika itu?

Atau barangkali beliau termakan kenyataan Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim sebelum ini yang menyatakan pihaknya melihat kerajaan seolah-olah tidak mahu memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang apabila proses ke arah itu ‘sangat panjang’. Jawapannya harus hanya Muhyiddin yang tahu berdasarkan reaksinya itu.

Terdahulu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dalam kenyataan semalam berkata Putrajaya bersetuju mempertimbangkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, dengan satu draf MoU akan dirangka untuk rundingan seterusnya.

Maknanya akan ada rundingan lagi selepas ini untuk dapatkan persetujuan pembangkang. Untuk kefahaman lanjut Muhyiddin, satu draf MoU akan dirangka terlebih dahulu dan dipanjangkan kepada pembangkang sebagai langkah perundingan seterusnya, bukannya terus dipaksakan kerajaan ke atas pembangkang.

Seperti dijelaskan oleh Ketua Whip DAP Nga Kor Ming, peruntukan yang akan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang tertakluk kepada syarat dan terma yang akan dibincangkan. “Syarat dan terma-termanya belum lagi dibincangkan tapi itu tertakluk,” katanya pada sidang media selepas lawatan Sentuhan Kasih KPKT ke Kuala Kubu Bharu, semalam.

Lagipun, langkah itu menyusuli permintaan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin seperti dilaporkan FMT pada 6 Apr lalu, yang meminta kerajaan mengemukakan cadangan rasmi berhubung peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang iaitu kira-kira RM3.8 juta setahun. Pendekatan itu digunakan semasa kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob mengikat memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik dengan Pakatan Harapan pada September 2021. Ia menetapkan beberapa syarat untuk membolehkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menerima peruntukan pembangunan sama.

Elok juga diimbau penjelasan Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 28 Nov 2023 apabila menyatakan beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang, sebaliknya mahu peraturan dihormati dengan melakukan rundingan bersama Fadillah.

“Rundinglah dahulu, saya tidak pernah meletakkan syarat atau prasyarat untuk menyokong perdana menteri. Ada beberapa peraturan (runding soal peruntukan dengan kerajaan) yang dilakukan ketika Pakatan Harapan menjadi pembangkang. Saya kadang-kadang aneh, wakil (kerajaan terdahulu) yang berunding dulu kini di sebelah sana (pembangkang)… dia tahu prosesnya berapa kali berunding tapi sekarang macam tak tahu langsung,” kata Anwar.

Perdana menteri turut menempelak Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) ketika itu yang mengajukan soalan tambahan mendakwa Ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong perdana menteri untuk mendapatkan peruntukan.

“Masa mereka (pembangkang) perintah (jadi kerajaan), harta Melayu mereka sakau banyak… ini kenyataan. Tiga tahun kamu dalam kerajaan, (bekas) menteri-menteri ada di sana (blok pembangkang), apa peruntukan yang diberi kepada orang lain dan pembangkang ketika itu? Mengapa dulu tak beri?” soalnya.

Tahun lalu, PN tidak meneruskan rundingan peruntukan untuk Ahli Parlimen pembangkang selepas Takiyuddin mendakwa Fadillah meminta mereka menulis surat dengan menyatakan jaminan tertentu. Jaminan yang didakwanya diminta kerajaan itu bagaimanapun tidak didedahkannya tapi sudah tentu tidak bermaksud perlu menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

Pada 6 Apr lalu, Hamzah mengesahkan menerima cadangan draf perjanjian berhubung isu peruntukan sama rata untuk Ahli Parlimen pembangkang melalui seorang yang mewakili individu “berpangkat tinggi” dalam negara. Nama individu berkenaan atau butiran draf perjanjian itu enggan didedahkannya atas alasan tidak mahu timbulkan polemik yang lebih besar kerana nanti membabitkan seseorang yang tinggi pangkatnya dalam negara.

Sambil kita tidak meragui “individu berpangkat tinggi” yang dimaksudkan Hamzah — yang tidak diketahui Anwar, Fadillah, mahupun jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil — selepas disahkan oleh sumber-sumber, kita percaya draf perjanjian itu memberi keyakinan kepada pihak pembangkang untuk menuntut MoU yang boleh dipersetujui kerajaan kelak.

Bukanlah menghairankan jika pembangkang selepas ini mahu menggunakan draf perjanjian daripada “individu berpangkat tinggi” berkenaan sebagai senjata dalam menuntut MoU yang akan ditawarkan kerajaan dapat diseragamkan dengannya. Kita tunggulah prosesnya satu persatu dahulu, dimulai dengan kerajaan menawarkan draf MoU yang dirangkanya, kemudian pihak pembangkang meneliti dan membincangkan untuk memberi reaksi sebelum persetujuan dapat dicapai di antara kedua-dua pihak.

Usah tergopoh-gapah seperti Muhyiddin dengan reaksinya bahawa kerajaan pimpinan Anwar belum bersetuju apa-apa lagi untuk memberi peruntukan selain tidak sabar untuk mengetahui kandungan MoU daripada kerajaan, yang seperti dijelaskan Fadillah baru hendak dirangka.

Apa pun, ia lebih baik daripada ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri kira-kira 16 bulan yang tidak pun menawarkan sebarang MoU, memanggil untuk berunding, jauh sekali memberi sebarang peruntukan kepada pembangkang hinggalah Ismail Sabri mengambil alih pentadbiran kerajaan untuk keadaan itu berubah. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.