`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 1, 2024

Kami bukan mahu ‘perang’, pemimpin Pemuda MCA beritahu DAP

 

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong berkata, keharmonian dalam kerajaan perpaduan hanya tercapai sekiranya semua pihak mengamalkan politik matang dan saling menghormati. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pemimpin sayap MCA berkata, parti itu tidak berhasrat “berperang” dengan DAP susulan pendirian mereka tidak membantu kempen Pakatan Harapan (PH) pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Ketua Penerangan Pemudanya, Neow Choo Seong berkata, Wee Ka Siong selaku presiden MCA berhak menyuarakan pendirian MCA.

“MCA tidak berhasrat berperang dengan mana-mana pihak. Seharusnya bertanya kepada mereka yang bersifat tidak matang dan sentiasa memulakan serangan bersifat peribadi terhadap MCA.

“Apakah motif mereka atau sekadar mahu melakukan provokasi dan melihat reaksi MCA?” katanya kepada FMT.

Justeru, beliau meminta semua pihak bergerak ke depan dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang hanya akan mengeruhkan keadaan.

“Semua pihak perlu ‘move on’ dan fokus perkara lebih penting. Tiada faedah kita terus berbalah. Keharmonian dalam kerajaan perpaduan hanya tercapai sekiranya semua pihak mengamalkan politik matang dan saling menghormati.”

Terdahulu, Wee dilaporkan berkata, MCA membuat keputusan tidak membantu kempen PH demi maruah parti, melainkan calon Barisan Nasional dipilih bertanding pada PRK Kuala Kubu Baharu.

MCA juga mengambil pendirian sama pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram atas alasan serupa tahun lalu.

Timbalan Setiausaha Agung MCA, Pamela Yong berkata, apa yang dibangkitkan Wee berhubung PRK Kuala Kubu Baharu hanya menjelaskan pendirian MCA sebagai parti berintegriti dan bermaruah.

Oleh itu, katanya, tiada keperluan menggadaikan prinsip parti yang diperjuangkan selama ini.

“Saya tidak fikir kami ingin mengubah sedikit pun daripadanya (pendirian parti), apatah lagi bermula sekarang.

“Lagipun, saya tak lihat itu ‘berperang’ kerana presiden hanya jelaskan tentang soal pendirian parti,” katanya kepada FMT mengulas sama ada wujud bibit untuk mengendurkan perbalahan antara MCA-DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini menyaksikan calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao akan bersaing dengan Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan calon bebas, Nyau Ke Xin. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.