`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, May 1, 2024

P Pinang teliti kenaikan gaji penjawat awam

 

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow berkata Jabatan Kewangan Negeri akan meneliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kenaikan gaji penjawat awam di Pulau Pinang. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan mengenai kenaikan gaji penjawat awam di negeri itu pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang, menurut Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata Jabatan Kewangan Negeri akan meneliti dan mengkaji terlebih dahulu khususnya mengenai penambahan perbelanjaan atau emolumen sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita perlu melihat keadaan kewangan setiap negeri. Memang kita perlu menyediakan bajet sekiranya dilaksanakan di peringkat negeri juga. Saya percaya akan menjadi cabaran kepada sesetengah negeri untuk menampung perbelanjaan tambahan ini,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula Disember ini dengan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion

Anwar yang juga menteri kewangan berkata di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang disemak, kerajaan akan memastikan gaji minimum keseluruhan penjawat awam juga mencapai melebihi RM2,000 sebulan.

Sementara itu dalam perutusan sempena Hari Pekerja, Chow berkata kerajaan negeri akan menumpukan perhatian dalam usaha menjadikan Pulau Mutiara sebagai destinasi perdagangan antarabangsa terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor, bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda.

Dengan rekod prestasi negeri yang lebih kukuh dari segi dasar dan fasiliti pelaburan, beliau yakin negeri berkenaan yang juga dikenali sebagai Lembah Silikon Timur akan terus berpotensi menjadi destinasi pilihan pelabur berkualiti serta bernilai tinggi.

“Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) bagi suku keempat 2023, Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran dua peratus dan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) sebanyak 73.3 peratus sekali gus membuktikan masyarakat negeri ini merupakan golongan yang rajin berusaha serta optimis menambah baik taraf kehidupan masing-masing,” katanya.

Tahun lepas, Pulau Pinang merekodkan aliran masuk pelaburan RM71.9 bilion, tertinggi di Malaysia, selain memudah cara pelaburan sebanyak RM13.67 bilion serta lebih 14,000 peluang pekerjaan menerusi kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCIA). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.