`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, July 19, 2024

Apa akan jadi dengan Peja?

 

hishamuddin-aun

Apa yang tidak pernah dituduh terhadap Ahmad Faizal Azumu? Pernah dikatakan bermain kayu tiga ‘bersekongkol’ dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, jadi duri dalam daging kepada Bersatu dan didakwa punca kekalahan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan pada PRN Ogos tahun lalu, Ahmad Faizal atau Peja menelan sahaja kesemuanya.

Suatu ketika pada Nov lalu, timbalan presiden Bersatu itu turut didakwa tidak lagi menghadiri mesyuarat majlis pimpinan tertinggi (MPT), yang bagaimanapun dinafikannya sebagai tidak lebih daripada usaha ahli jawatankuasa penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, mahu memburuk-burukkan dirinya.

Berselang tidak sampai setahun, Peja kini menyerlahkan dirinya sebagai seorang pemimpin berhati besar apabila mengumumkan Ahad lalu akan beri laluan kepada Setiausaha Agung Hamzah Zainudin untuk menjadi timbalan presiden Bersatu dalam pemilihan parti Oktober ini.

Sebagai antara pengasas parti, beliau boleh sahaja berkeras untuk mempertahankan jawatan nombor dua itu yang digalas sejak 2020. Menepati kelayakan selaku seorang yang menganggotai MPT melebihi dua penggal untuk terus berganding dengan Presiden Muhyiddin Yassin, Peja memilih untuk mendahulukan parti dengan menawarkan diri merebut salah satu daripada tiga kerusi naib presiden.

Faizal sebelumnya dikatakan bakal dicabar Hamzah yang dijangka dibenarkan bertanding mengikut Fasal 14.14 dan 14.16 walaupun sebelum ini tidak layak bertanding lima jawatan utama kerana belum cukup dua penggal sebagai ahli MPT.

Mungkinkah Peja ditekan untuk beri laluan? Atau ia kerelaannya mengikut ‘pelan kompromi’ Muhyiddin? Setakat ini tidak nampak tanda-tanda penentangan daripadanya, mungkin atas kesedaran makin tersisih daripada politik arus perdana dan kompromi itu sekurang-kurangnya dapat mengekalkannya dalam kepimpinan tertinggi parti.

Apa yang dilihat sebagai kekurangan Peja ialah beliau bukan Ahli Parlimen selepas tewas perebutan empat penjuru bagi kerusi Tambun kepada Anwar yang meraih 49,625 undi pada PRU15 diikuti oleh penyandang dan calon PN itu (45,889) dengan majoriti 3,736 undi. Calon BN Aminuddin Md Hanafiah memperoleh 28,140 undi manakala Abdul Rahim Tahir (Pejuang) meraih 1,115 undi.

Hamzah pula dilihat berkelebihan selepas diangkat selaku ketua pembangkang di Dewan Rakyat, yang diperjelaskan Muhyiddin ketika itu sebagai memilih untuk melihat ke depan dan masa sesuai untuk melatih orang baharu.

Terbaru, Peja akur dengan cadangan presiden bagi mengelakkan berlaku sebarang pertembungan bagi jawatan Top 5 parti. Tetapi penurunan pangkat Peja itu mungkin satu-satunya kompromi yang dicapai ketika Bersatu semakin hari semakin terdedah dengan percakaran dalaman hingga ada yang membayangkan formula Muhyiddin terhadap suatu bentuk persepakatan dianggap tidak lebih daripada ‘drama’ semata-mata.

Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin membayangkan tiada pertandingan jawatan tertinggi parti pada pemilihan Oktober ini apabila kata sepakat dicapai selepas rundingan diadakan, susulan kepada usul memintanya ‘campur tangan’ bagi mengelakkan perpecahan dalam parti.

Saya telah mendapat ilham supaya apa pun jawatan tertinggi mungkin dapat kita elakkan daripada pertembungan. Keputusan ini terbukti wujudnya semangat bertolak-ansur dalam kepimpinan tinggi untuk memberi bantuan atau kesempatan kepada pemimpin lain,
 katanya ketika berucap dalam Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dijangka menjadi tumpuan pada pemilihan Bersatu Oktober ini selepas Muhyiddin, 77, sah mengekalkan kedudukannya untuk sepenggal lagi. Selain Peja dijangka dicabar Hamzah, sekurang-kurangnya 10 pemimpin dikatakan berhasrat mengintai kerusi naib presiden, antaranya Ketua Penerangan Razali Idris, Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah dan Rafiq Abdullah, di samping Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee yang dijangka bertanding mempertahankan kerusi masing-masing.

Namun, sebarang cakap-cakap mengenai kata sepakat dan kompromi tidak pun mampu bertahan lama. Cuma sehari selepas pengumuman Muhyiddin itu, Kiandee — selama ini dilihat orang kuat presiden — melihat pemilihan Oktober ini masih terbuka kerana tiada usul setakat ini untuk sebarang jawatan dielakkan pertandingan.

Tambahnya, nama-nama dicadangkan Muhyiddin untuk jawatan tertentu tidak lebih daripada cadangan semata-mata dan kesudahannya terpulang kepada perwakilan untuk memutuskan jika ada sebarang pertandingan. Ini termasuk jawatan timbalan presiden yang mungkin menyaksikan Hamzah dicabar selepas Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali dilaporkan menolak cadangan dilantik setiausaha agung. Peja, di sebalik pengorbanannya, juga belum terjamin untuk dipilih sebagai naib presiden.

Seperti dilaporkan FMT semalam, ada ahli MPT dan ketua bahagian Bersatu dikatakan tidak senang dengan cadangan mengelakkan pertembungan jawatan tertinggi. Malah, ‘pelan kompromi’ diumumkan Muhyiddin dikatakan hanya mahu menjaga individu tertentu.

Seorang ahli MPT yang enggan dinamakan mengakui ada ahli berbelah-bahagi dengan cadangan supaya tiada pertandingan terutama untuk jawatan timbalan dan naib presiden. Pengumuman mengejut Muhyiddin pada Sabtu lalu didakwa tidak disenangi sebilangan ahli yang tidak hadir konvensyen menyebabkan tiada bantahan secara terbuka.

Ahli MPT itu juga mendakwa Peja dan Radzi mendapat manfaat jika cadangan itu direalisasikan kerana tidak perlu ‘bersusah-payah’ mengisi tiga tempat naib presiden walhal Radzi ketika memegang jawatan menteri pendidikan dari 2020 hingga 2022 didakwa tidak banyak membantu akar umbi dan banyak keputusan selaku pengerusi jawatankuasa memilih calon PRU15 serta PRN tidak mengambil sentimen bahagian di samping mempersoalkan mengapa Peja hendak ‘diselamatkan’.

Dalam pemilihan 2020 dulu kami yang duduk di bawah ini dapat ‘wahyu’ untuk pilih dia (Radzi) dan kali ini pun sama juga. Ramai juga hairan mengapa Faizal pun hendak ‘diselamatkan’ sedangkan kita tahu bagaimana ‘rekodnya’,
 kata ahli berkenaan sambil menyifatkan kedua-duanya sebagai ‘anak emas’.

Menyifatkan pelan kompromi Muhyiddin itu sebagai satu lagi drama dalaman yang tidak menawarkan sebarang perubahan positif, bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan berkata: 

Selagi kita tidak lihat satu pelan penggantian yang jelas dan peralihan generasi daripada Muhyiddin, Bersatu tidak akan dapat tunjukkan bahawa ia lebih progresif daripada Umno.

Bersamanya mengendalikan audio siar Keluar Sekejap, Khairy Jamaluddin yang mempersoalkan: 

Apa yang sedang berlaku? Mereka ini (yang dinamakan dalam formula Muhyiddin) sudah menghampiri usia 60-an dan 70-an.

Dalam pada itu, penganalisis politik berpendapat ura-ura Azmin menolak jawatan setiausaha agung mungkin disebabkan beliau mahu bertanding kedudukan lebih tinggi terutama timbalan presiden. Alasan mahu fokus pada usaha menawan Selangor dilihat tidak kukuh.

Keputusan Azmin itu boleh dibaca dari dua sudut iaitu tidak bersetuju percaturan presiden dan mahu bertanding jawatan timbalan presiden kerana yakin mampu memenanginya termasuk mengalahkan Hamzah. Ini mungkin satu tamparan kepada Muhyiddin dan membuka ruang untuk ahli lain menyatakan rasa tidak bersetuju,
 kata Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan.

Mungkin pusingan U yang dibuat Muhyiddin tahun lalu untuk kekal sepenggal lagi selepas awalnya mengumumkan tidak akan pertahan jawatan presiden lebih banyak mencetuskan kesulitan daripada mempermudah keadaan. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.