`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, January 3, 2025

Dengkinya Hadi kepada Madani?

 

faisal tehrani

Sebenarnya kasihan juga melihatkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang meroyan menggelupur menolak kerangka Madani sesakit-sakitnya. Kalau tidak dinamakan dengki, mungkin kita boleh namakan ia iri hati; atau lebih lunak — cemburu. Saya tidak pasti yang mana satu.

Sejak dari awal, pada tahun 1990an Abdul Hadi memang terkujat dan bagai kena sondol apabila mendengar istilah Madani. Pak cik-pak cik yang rumaja ketika tahun 1990-an seperti saya memang ingat kuatnya cemburu Hadi kepada Madani. Mungkin kerana Hadi tiada keupayaan menerbitkan kerangka-kerangka sedemikian rupa maka kegeraman itu meluap-luap, melubu-lubu bagaikan lava gunung berapi Krakatao.

Istilah “Madani” pertama kali diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim ketika beliau membincangkan tentang “Masyarakat Madani” semasa Festival Istiqlal, sebuah acara budaya Islam yang diadakan di Jakarta, Indonesia, pada 26 September 1995. Dalam ucapannya bertajuk “Islam dan Pembentukan Masyarakat Madani”, Anwar menekankan bahawa Islam memperkenalkan manusia kepada “cita-cita keadilan sosial dan pembentukan masyarakat madani yang merupakan masyarakat madani yang demokratik”.

Kalau kita renungkan tiada apa pun yang cacat pada gagasan ini. Malah saya difahamkan yang Anwar sudah mula menyelidiki konsep Madani semasa beliau menjadi pelajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), sebuah sekolah elit untuk pelajar lelaki Melayu. Dikatakan bahawa idealisme tentang masyarakat telah disemai melalui kelab sekolah seperti Badan Revolusi Ugama (BRU) dan Kelab MaraMunJangan (Mara Ke Hadapan Mundur Jangan).

Bersama-sama Anwar itu, ada beberapa tokoh terkenal yang terlibat dalam kelab-kelab ini termasuk Allahyarham Sanusi Junid, Fauzi Abdul Rahman, dan Yahya Ahmad. Kemudian, visi tentang masyarakat ini — walaupun belum dinamakan ‘Madani’ — diperluaskan melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dengan bantuan Allahyarham Presiden PAS, Fadzil Noor, dan pemimpin ABIM, Ni’amat Yusoff dan Razali Nawawi.

Mungkin sebab PAS tidak begitu canggih, maka gagasan seumpama ini tidak tertelur keluar daripada benak pemimpin PAS. Idea-idea besar PAS yang hebat-hebat pernah keluar hanya ketika zaman pentadbiran Fadzil Noor. Selepas era Ustaz Fadzil, PAS memang kemalapan dengan retorika dan gagasan canggih.

Gagasan “cita-cita keadilan sosial dan pembentukan masyarakat madani yang merupakan masyarakat madani yang demokratik” seperti diutarakan di Indonesia itu mendapat sambutan hangat di sana. Orang Malaysia macam tercangak-cangak selama 30 hari.

Berdasarkan prinsip asas inilah Anwar mencetuskan kerangka Masyarakat Madani. Sebulan kemudian, pada 27 Oktober 1995, Anwar, yang ketika itu adalah menteri kewangan, membentangkan belanjawan di Parlimen Malaysia Kesembilan. Ketika itulah beliau secara rasmi memperkenalkan Malaysia Madani kepada rakyat Malaysia.

Pada mulanya, konsep ini sukar difahami, terutamanya kerana gaya bahasa Melayu Anwar yang cenderung berfalsafah. Namun, secara asasnya, Anwar menyatakan bahawa usaha Malaysia untuk mencapai pertumbuhan dan pembangunan ekonomi perlu mencapai keseimbangan antara matlamat material di satu pihak dan martabat manusia, kebebasan, serta kebajikan di pihak lain. Matlamat keseluruhannya adalah untuk membentuk sebuah masyarakat madani sejati yang akan mendapat penghormatan dunia.

Dalam ucapan Anwar tatkala itu dia menyatakan; “Demikianlah falsafah pembangunan negara, ia bukan berasaskan kebendaan atau maddiyah semata-mata. Tetapi aspek kebendaan ini sekalipun, tidak kita pandang enteng, kerana kalau negara muflis, rakyat masghul dan melarat, hutang keliling pinggang, pengurusan ekonomi caca merba, cita-cita menjadi khayalan. Tetapi kenyataan sebenar ialah pembangunan Malaysia merangkumi cita-cita murni, mengangkat martabat insan, mengisbatkan kebebasan, mencabut dan membasmi keonaran di tengah-tengah masyarakat, mencerminkan ketinggian akal budi. Inilah yang kita maksudkan dengan pembinaan masyarakat madani. Watak inilah yang memungkinkan Malaysia menjadi suara dhamir, hati nurani masyarakat terpinggir dan masyarakat tertindas di dunia.”

Waktu Anwar Ibrahim menerbitkan ‘Madani’ di Dewan Rakyat, memang PAS nampak kelu dan bungkam. Dalam banyak keadaan PAS tercari-cari jalan menyanggah idea ini yang dengan cepat memukau ramai.

Walaupun asasnya bersandarkan Islam, PAS pada masa itu dengan tegas menentang kerangka ini. Demikian susah payah untuk mencari jalan menolak Madani, Hadi menyeragamkan hujah PAS bahawa Barisan Nasional (BN) gagal melaksanakan ekonomi Islam dan masih mengamalkan riba, iaitu membuat keuntungan melalui perdagangan dan perniagaan secara tidak adil dan menindas. Hadi bahkan menyatakan bahawa Madani adalah satu kegagalan kerana ia menggunakan ‘acuan Barat’.

Harus diingat, ketika Anwar menjaguhkan Madani 1.0 ini, beliau berada dalam pentadbiran Mahathir Mohamad, penasihat ekonomi negeri-negeri bawah PAS dan Bersatu hari ini (nota: Gerakan tidak disebutkan kerana tidak signifikan).
Hadi menyanggah Madani tanpa hujah tuntas di Parlimen, bunyinya begini: “…inilah masyarakat madani yang dibentuk melalui sistem ekonomi yang menghapuskan segala bentuk penindasan. Kita perlu menyedari betapa penjajah ekonomi melalui riba bukan sahaja menjadi penyakit di peringkat nasional, bahkan menjadi penyakit di peringkat internasional yang dilakukan oleh negara-negara kaya, negara-negara maju terhadap negeri-negeri miskin.”

Memang agak pelik Hadi menolak mentah Madani. Padahal ia satu gagasan sahaja, dan belum pun diaplikasikan. Ia baru diperkenalkan. Kalau manusia itu waras dan suka benda yang baik tentu pertamanya ia menyambut dengan sihat terlebih dahulu, dan jika buruk barulah kelak dikritik pelaksanaannya. Tetapi Hadi yang memang entah kenapa rasa selalu tersaingi dan terpukul dengan Anwar mencari jalan untuk menyangkal bermati-matian.

Hadi juga menyatakan bahawa fikrah Madani adalah berasaskan materialisme (fikrah maddiyah), tidak sejajar dengan syariah, korup, dan berdosa: “Fikrah maddiyah menyebabkan diputuskan hubungan ekonomi dengan Islam, timbulnya rasa bongkak sehingga tidak merasa ianya bergantung dengan perkara rezeki. Seterusnya boleh menyebabkan manusia ekonomi melakukan apa sahaja tanpa batas-batas syariah, mencari harta secara melakukan dosa besar, seperti riba’, merasuah pihak yang berkenaan, menipu dan lain-lain. Melahirkan rasa bakhil untuk mengeluarkan zakat sabilillah, sedekah dan lain-lain, bahkan sumbangan itu kalau dilakukan masih lagi mempunyai tujuan maddiyah yang dijangka memberi pulangan kebendaan daripada iklan secara budi pekerti yang dilakukan kepada masyarakat melalui Akhbar dan lain-lain.”

Hujah dan poin di atas nampaknya tidak pernah bergerak dari zaman dulu sampai dewasa ini. Masih hidangan yang sama dengan sendal tafsir ayat al-Quran mengikut selera sendiri.

Setahun kemudian Anwar menyebarkan kembali kerangka yang sama. Kali ini PAS mengubah nada mereka apabila Anwar sekali lagi membincangkan Madani semasa pembentangan belanjawan pada tahun 1996.

Ibrahim Mahmood, ketika itu Ahli Parlimen Kuala Krai, menyatakan sokongan penuh terhadap kerangka ini: “…konsep masyarakat majmuk madani sekali lagi diperkenalkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan, ketika perbentangan Belanjawan Negara baru-baru ini. Di antara ciri-ciri masyarakat madani yang digariskan adalah masyarakat yang didorong oleh kebebasan, kekuatan moral dan sifat terpuji. Kami menyokong penuh gagasan masyarakat madani yang dikemukakan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Kewangan…”

Ucapan beliau terakam dalam hansard Parlimen. Ahli Parlimen itu juga mengakui aspek Islam dalam konsep Madani seperti yang dijelaskan oleh Anwar, dengan menyatakan bahawa konsep itu berasal dari Islam sebagai ad-din atau “cara hidup”.

Dua pandangan bertentangan dari orang dua ahli Parlimen PAS ini, iaitu Hadi dan Ibrahim dapat dijadikan hujah bahawa sikap Hadi itu adalah sikap Hadi sendiri. Manakala sikap PAS ketika itu ialah penuh kewarasan, yakni seperti disebutkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai, “…kami menyokong penuh gagasan masyarakat madani…”

Hari ini apalah nasib PAS di bawah Hadi Awang. Orang-orang waras seperti Ustaz Ibrahim Mahmood dan arwah Fadzil Nor sudah tiada. Yang ada-ada mereka yang lojik-lojik sudah pun meninggalkan PAS kerana terlihat makin merapu. Yang lojik-lojik itu membentuk Amanah, yang hari ini bukan sahaja meneguhkan konsep Madani itu tetapi bahkan menawarkan pula gagasan Rahmah dan Ihsan.

Memang sukar memahami Hadi. Dan memang menghairankan ada dua tiga kerat orang yang waras seperti Ustaz Nushi Mahfodz di Semenyih (Ahli Dewan Undangan Negeri) masih boleh bertahan dengan nanar Hadi ini. Memang kasihan perlu menelan perangai kebudak-budakan ini.

Madani adalah satu pedoman untuk Anwar Ibrahim menggerakkan kerajaannya. Satu kompas dalam pentadbiran beliau. Paling tidak ia asli. Bukan seperti konsep Satu Malaysia ketika zaman Najib Razak yang tidak menentu hala. Memang kasihan kalau PAS di bawah Hadi menolak pedoman yang baik ini.

Memang ada hal yang kita tidak berpuas hati dengan pemerintahan Anwar Ibrahim hari ini. Banyaklah tidak terkata. Misalnya Akta Hasutan masih berkuku, tetapi ada kerumitan lain yang jika diteropongkan boleh difahami.

Tetapi, Hadi, sampai sekarang kita kehairanan, entah apa sebab dengkinya semacam tidak pernah habis. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.